AYER KEROH – Pasukan Kebudayaan Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti (PSKU), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bolot anugerah ketika menyertai Pertandingan TVET GOT TALENT anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi pada 13 Jun 2025 lalu.
Pertandingan peringkat kebangsaan sempena sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 itu berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.
Pasukan Karisma Tari Teater UTHM bimbingan staf PSKU, Rosdi Abdullah yang membawa persembahan tarian kreatif telah menjuarai kategori berkumpulan, manakala Wan Hariz Zikry Wan Ahmad yang menyanyikan lagu sedetik lebih telah menjuarai kategori solo serta turut merangkul ‘Anugerah Peserta Paling Popular’ yang diundi oleh para penonton melalui QR Cord yang dipaparkan.
Anugerah disampaikan oleh Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.
Untuk rekod, sebanyak 120 penyertaan di peringkat saringan, hanya 10 sahaja mara ke peringkat akhir.
Menurut Rosdi, lebih 1000 penonton membanjiri dewan MITC Melaka untuk menonton 10 persembahan hebat dari pelbagai institusi pengajian tinggi seperti universiti, kolej kemahiran, politeknik dan kolej vokasional.
“Para peserta berkumpulan terdiri daripada Muhammad Ihsan Sofri, Alif Hakimi Hazrul Nazly, Nira Nabilah Baqiah Abu Bakar, Mahathir Mohd Akhar, Nur Alyaa’ Syafiah Alimin, Aiman Syauqie Razali, Siti Syazlin Bahrol, Razita Ridhwah Razlan, Caleybrenna Henry dan Muhammad Azamuddin Hajijul.
“Manakala untuk kategori solo pula diwakili Wan Hariz Zikry Wan Ahmad,” katanya.

