Tema Hari Kesihatan Sedunia yang disambut pada 7 April 2025 lalu iaitu “Kesihatan Saya, Hak Saya,” telah menyampaikan mesej penting Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu akses kepada penjagaan kesihatan adalah hak eksklusif setiap individu dan bukan pilihan. Tema ini muncul ketika dunia, termasuk Malaysia, bergelut dengan cabaran kesihatan yang semakin kompleks, dari penyakit tidak berjangkit (NCD) hingga tekanan mental pasca-pandemik dan jurang kesihatan antara bandar dan luar bandar.

Jurang akses kesihatan di Malaysia

Walaupun Malaysia memiliki sistem kesihatan awam yang kukuh, ketidaksamarataan akses kesihatan tetap menjadi cabaran besar, terutamanya di kawasan luar bandar. Di Sarawak, hampir separuh klinik luar bandar kekurangan doktor tetap, dan beberapa klinik hanya menyediakan ubat asas. Perkhidmatan seperti klinik bergerak dan Flying Doctors yang beroperasi sebulan sekali atau lebih jarang, sukar diakses kerana terhad kepada zon pendaratan dan cuaca yang tidak menentu. Di Sabah, penduduk pedalaman terpaksa menempuh perjalanan berjam-jam untuk mendapatkan rawatan, serta menanggung kos perjalanan yang tinggi.

Kajian NHMS 2023 juga menunjukkan peningkatan rakyat Malaysia menghadapi masalah kesihatan. Lebih separuh rakyat dewasa kini berlebihan berat badan atau obesiti, dan 2.3 juta orang hidup dengan tiga jenis NCD serentak, seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi. Keadaan ini memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara yang semakin tertekan dengan jurang akses yang ketara, terutamanya di kawasan pedalaman.

Cabaran pemakanan dan gaya hidup tidak sihat

Malaysia berdepan dua cabaran pemakanan utama iaitu kekurangan zat dalam kalangan keluarga B40 dan lebihan kalori akibat gaya hidup sedentari di bandar. Kajian SEANUTS II (2022) pula mendedahkan hampir satu daripada lima kanak-kanak bawah lima tahun mengalami bantut, manakala 15% pula berlebihan berat badan. Dalam kalangan dewasa, hampir 95% tidak mengambil buah dan sayur mengikut saranan. Keadaan ini memperlihatkan corak pemakanan yang tidak seimbang, terutamanya disebabkan oleh faktor ekonomi, kurangnya pendidikan pemakanan dan kebiasaan makan segera.

Lebihan makanan ultra-proses, pengambilan gula berlebihan dan kurang aktiviti fizikal menyumbang kepada peningkatan obesiti, diabetes dan NCD di Malaysia. Kajian NHMS 2023 menunjukkan 54.4% orang dewasa kini berlebihan berat badan, bersamaan lebih 11 juta rakyat. Dalam kalangan remaja, tabiat seperti sarapan yang tidak konsisten dan makan lewat malam menambah risiko kesihatan jangka panjang.

Isu kesihatan mental dalam kalangan remaja

Isu kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan remaja, semakin meruncing. Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2024 menunjukkan hampir 30% remaja mengalami simptom kemurungan. Faktor utama adalah tekanan berterusan akibat perbandingan imej diri di media sosial, ketagihan kepada pengesahan digital, dan ketidakstabilan emosi dalam persekitaran keluarga. Platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram menjadi medan bukan sahaja untuk kesedaran tetapi juga sumber gangguan emosi. WHO memberi amaran bahawa lebih 40% kandungan kesihatan di media sosial berisiko mengelirukan. Ini menambah cabaran besar dalam menangani kesihatan mental remaja.

Dasar kesihatan sejagat dan inklusif

Menjelang 2030, WHO menyasarkan negara-negara di dunia untuk melaksanakan pendekatan kesihatan sejagat yang inklusif dan tidak mendiskriminasi. Di Malaysia, ini memerlukan pengukuhan dasar kesihatan yang memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu pendidikan kesihatan sejak usia muda, penyediaan perkhidmatan kesihatan mental yang mudah diakses di setiap daerah, serta penguatkuasaan ketat terhadap pencemaran udara dan air. Kerajaan juga boleh memperkenalkan program pemakanan seimbang, terutamanya di kawasan luar bandar, melalui kempen kesedaran dan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO).

Pendekatan menyediakan makanan sihat dengan harga berpatutan termasuk inisiatif subsidi atau kemudahan beli berkelompok di kawasan yang kurang akses kepada kedai yang menyediakan produk berkhasiat boleh dilaksanakan. Penyediaan perkhidmatan kesihatan mental di setiap daerah juga perlu ditambah baik, dengan sokongan psikologi yang mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Bagi kesejahteraan mental, dasar kesejahteraan mental di tempat kerja yang lebih komprehensif, termasuk sokongan psikologi secara profesional dan budaya seronok bekerja perlu diperkenal dan diperkasakan. Polisi kerja fleksibel, seperti hari bekerja dari rumah dan pengaturan waktu kerja yang lebih fleksibel, perlu diberi keutamaan. Menggalakkan cuti khas untuk kesihatan mental dapat memberi sokongan kepada pekerja yang memerlukan.

Inisiatif untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan pemakanan sihat di tempat kerja atau komuniti, termasuk menyediakan kemudahan senaman, ruang rehat dan rawat atau aktiviti fizikal boleh dijadikan budaya di organisasi. Pendidikan mengenai pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal juga perlu dimulakan sejak usia muda, dengan program pendidikan di sekolah. Pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, tetapi juga membantu mengurangkan beban pada sistem kesihatan negara pada masa hadapan.

 

 

Profesor Madya Dr. Khairunesa Isa

Jabatan Sains Sosial

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 20), 24 Jun 2025: Tingkat pendidikan kesihatan dalam masyarakat 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 24 Jun 2025: Tingkat pendidikan kesihatan dalam masyarakat 

Tingkat pendidikan kesihatan dalam masyarakat