
DUBAI – Setelah bekerjasama menjalankan kajian saintifik terhadap produk kosmetik berjenama CHARMS, Ketua Penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya ChM. Dr Norhayati Muhammad bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Fasyeera Empire Sdn Bhd., Nur Basyirah Hussin berjaya membentangkan kertas kerja penyelidikan di 3rd International Conference on Dermatology and Cosmetology, Dubai, United Arab Emirates (UAE) pada 12 dan 13 Mei 2025 lalu.
Persidangan antarabangsa berprestij itu telah menghimpunkan industri yang berskala besar dan kecil, universiti terkemuka dan institusi penyelidikan, termasuklah ahli penyelidik, saintis, akademia, profesional penjagaan kesihatan, doktor, pakar dermatologi, pakar kosmetik, ahli farmasi dan pemimpin industri kosmetik.
Kajian penyelidikan yang menggunakan teknologi baharu dan ujian saintifik sebenar melalui geran industri bertajuk ‘Skin tone improvement investigation of CHARMS skincare cosmetic products’ telah melibatkan tujuh produk kosmetik CHARMS dengan sukarelawan sebagai peserta kajian bagi melihat cara penjagaan kulit muka boleh menjadi lebih selamat, lebih berkesan dan boleh dipercayai.
Hasil kajian tersebut membuktikan produk CHARMS yang merupakan produk tempatan buatan Malaysia adalah setanding dengan produk kosmetik antarabangsa dan melangkaui jangkaan mutu dan kualiti produk kosmetik tempatan yang lain.
Untuk rekod, produk-produk kosmetik CHARMS telah melalui pelbagai kajian dan ujian saintifik sejak tahun 2021 setelah bekerjasama dengan UTHM melalui Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ).
Menurut Dr. Norhayati, kajian itu termasuklah berkaitan antipenuaan dan antioksidan, ujian peningkatan tona kulit, kestabilan produk, analisis komposisi kimia, analisis DNA dan juga analisi molekul bagi pengesahan halal.
Tambah beliau, dua tahun lalu kajian itu telah berjaya meraih pingat emas dan juga anugerah “Produk Terbaik” bagi kategori pengkomersilan ketika menyertai International Research and Innovation, Symposium and Exposition (RISE) yang telah berlangsung pada 18 dan 19 Oktober 2023.
Hasil kajian tersebut juga berjaya menghasilkan dua kertas jurnal penyelidikan peringkat antarabangsa yang berimpak tinggi sehingga berjaya memperolehi Anugerah Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai jenama kosmetik tempatan pertama diterbitkan dalam jurnal penyelidikan.
Sementara itu, Ketua Jabatan iSWAJ, Dr. Muhammad Suhaimi Sulong, yang juga ketua perunding antara UTHM dan CHARMS, usahasama itu sekali gus meningkatkan keterlihatan UTHM di peringkat antarabangsa sebagai pusat menjalankan kajian dan ujian saintifik kepada produk-produk kosmetik.
“Kini, CHARMS dalam proses menjadikan UTHM sebagai makmal rasminya bagi menjalankan kajian penyelidikan dan ujian terhadap produk-produk kosmetik CHARMS.
“Terkini, melalui Pelan Pengurusan Halal UTHM 2027, makmal FAST sedang giat membuat persiapan dan persediaan dalam memperhalusi kriteria permohonan sebagai makmal yang diiktiraf di bawah MS/ISO 17025 Pengurusan Makmal, bagi meningkatkan lagi kesahan dan kebolehpercayaan pengujian peralatan makmal,” tambah beliau.