Era IR 4.0 telah menyebabkan perubahan besar dalam landskap kehidupan manusia. Dunia kini bergerak pantas seiring dengan perkembangan teknologi baharu seperti AI, analitik data raya, automasi, robotik dan internet kebendaan. Pelbagai usaha telah digerakkan bagi memastikan generasi muda menguasai kemahiran digital agar mampu bersaing dalam ekonomi global.
Namun, dalam usaha melahirkan generasi digital yang cerdik dan mahir teknologi, ada satu cabaran besar yang perlu diberi perhatian, iaitu semakin hilangnya adab dalam kalangan sebahagian anak muda.
Generasi muda hari ini tampil dengan kelebihan luar biasa dalam penggunaan teknologi. Mereka mampu menghasilkan kandungan digital yang menarik, mengurus platform e-dagang, mengendalikan aplikasi AI dan menyesuaikan diri dengan pelbagai perisian baharu yang kompleks.
Laporan Digital menyatakan bahawa 98.1 peratus rakyat Malaysia menggunakan internet, dengan kadar penggunaan telefon pintar mencecah lebih 97 peratus. Anak muda, khususnya kelompok usia antara 18 hingga 35 tahun, mendominasi penggunaan teknologi ini.
Adab bukan sekadar etika luaran atau tingkah laku sopan semata-mata. Ia mencerminkan nilai dalaman seperti hormat, sabar, jujur, bertanggungjawab dan kasih sayang. Tokoh-tokoh besar islam seperti Imam Malik, Imam Al-Ghazali dan Imam Syafie menegaskan bahawa ilmu tanpa adab akan membawa kepada kesombongan dan kehancuran.
Tanda-tanda hilangnya adab boleh dilihat dalam banyak aspek kehidupan harian. Sebagai contoh, ada generasi muda yang tidak hormat terhadap guru, mengejek tokoh ilmuwan di media sosial dan menggunakan bahasa kesat di platform sosial.
Selain itu, penggunaan media sosial yang tidak terkawal juga mempercepatkan keruntuhan adab. Ruang maya sering dijadikan tempat untuk melepaskan kemarahan, mencaci, menyebar fitnah dan memperlekeh orang lain. Bahasa kesat, gelaran menghina dan perbualan kasar menjadi norma dalam ruang komen.
Semua ini berlaku kerana wujudnya jurang besar antara literasi digital dan literasi emosi serta moral. Golongan muda bijak menggunakan teknologi, tetapi kurang dididik untuk berinteraksi secara berhemah.
Peranan guru dalam mendidik generasi beradab menjadi semakin mencabar. Guru bukan sahaja perlu mengejar silibus dan pencapaian akademik, malah kini dibebani pula dengan tugas pentadbiran dan tekanan prestasi. Dalam kesibukan mengejar kecemerlangan akademik dan pembangunan kemahiran teknikal, ruang untuk mendidik adab menjadi semakin sempit.
Jika pelajar melihat guru sekadar penyampai maklumat atau fasilitator semata-mata, maka hilanglah roh pendidikan sebenar yang sepatutnya membina manusia seimbang dari aspek kognitif, afektif dan psikomotor.
Pendidikan seharusnya menyatukan kecanggihan ilmu dengan kehalusan nilai. Di sinilah letaknya kepentingan pendidikan bersepadu yang menggabungkan teknologi dengan pendekatan insanih. Pendidikan nilai perlu diterapkan secara berterusan dalam setiap mata pelajaran dan tidak boleh diserahkan hanya kepada guru Pendidikan Moral atau Pendidikan Islam semata-mata.
Guru Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Kejuruteraan juga perlu menanamkan unsur nilai seperti ketepatan, kejujuran dan tanggungjawab dalam proses pembelajaran.
Keluarga pula merupakan asas utama kepada pembentukan adab. Anak-anak mula belajar tentang sopan santun, hormat dan tanggungjawab sejak kecil daripada ibu bapa. Namun, apabila terlalu banyak masa dihabiskan di hadapan skrin tanpa pengawasan atau tanpa batasan masa, mereka akan membina persepsi nilai daripada dunia maya yang belum tentu kebenarannya.
Ibu bapa perlu sedar bahawa dalam mendidik anak menjadi pakar teknologi, mereka juga perlu membimbing anak untuk menjadi manusia berjiwa luhur. Interaksi harian, cara menegur, layanan terhadap orang tua, cara bersyukur dan meminta maaf akan membentuk jiwa anak-anak dengan lebih berkesan berbanding sebarang perisian pembelajaran digital.
Media dan masyarakat turut memainkan peranan besar dalam menanamkan adab. Jika media terus memaparkan kandungan hiburan yang kasar, lucah dan tidak sensitif terhadap nilai murni, maka anak muda akan terbiasa dengan suasana yang menormalisasikan kebiadaban.
Sebaliknya, jika lebih banyak kandungan yang mengandungi nilai kasih sayang, toleransi, empati dan hormat kepada orang tua diketengahkan, maka mesej positif ini akan menyerap dalam jiwa generasi muda. Masyarakat perlu menjadi cermin nilai yang baik kerana anak muda belajar melalui pemerhatian.
Usaha membentuk generasi digital yang beradab memerlukan pendekatan menyeluruh. Pendidikan formal perlu diperkasakan dengan modul pembangunan karakter dan kemahiran insaniah. Institusi pengajian tinggi perlu menilai semula keutamaan dalam kurikulum agar tidak terlalu menekankan aspek teknikal semata-mata.
Program kokurikulum dan aktiviti sukarelawan perlu dimanfaatkan untuk membina kepekaan sosial dan nilai kemanusiaan dalam diri pelajar. Pembinaan adab tidak boleh berlaku dalam ruang kuliah sahaja, tetapi perlu diperkukuh melalui pengalaman sebenar bersama masyarakat.
Penggubalan dasar negara juga perlu mengambil kira keseimbangan antara pembangunan teknologi dan pembinaan nilai. Kerajaan perlu mempromosikan kesedaran adab digital yang komprehensif bagi melahirkan generasi muda yang celik maklumat, beradab dalam tutur maya, serta memiliki jati diri digital yang bertanggungjawab.
Inisiatif ini bukan sekadar pendidikan asas, tetapi satu usaha strategik untuk membentuk ekosistem digital negara yang lebih beretika, seimbang dan bermaruah selaras dengan aspirasi negara digital berdaya saing di peringkat global.
Pakar pendidikan menyarankan bahawa kecemerlangan manusia tidak boleh diukur melalui angka keputusan peperiksaan atau kemahiran teknikal semata-mata. Kecemerlangan sebenar ialah apabila seseorang mampu menggunakan ilmunya untuk memberi manfaat kepada orang lain, dengan penuh hormat dan tanggungjawab.
Anak muda hari ini bakal menjadi pemimpin, pencipta teknologi, pembuat dasar dan pembina negara. Maka, mereka perlu dilengkapi bukan sahaja dengan kecerdasan digital tetapi juga dengan jiwa yang tenang, hati yang bersih dan akhlak yang tinggi.
Kemajuan teknologi adalah satu keperluan yang tidak boleh dielakkan. Namun, dalam mengejar teknologi, aspek kemanusiaan tidak boleh ditinggalkan. Generasi yang terlalu bergantung kepada mesin tetapi gagal berinteraksi dengan empati akan menghasilkan masyarakat yang ketandusan jiwa. Apabila manusia hilang nilai dalam diri, teknologi yang dibangunkan boleh digunakan untuk tujuan yang salah dan merosakkan.
Oleh itu, membina generasi digital perlu disertai dengan pembinaan rohani, sahsiah dan adab. Pendidikan perlu kembali kepada asas, iaitu membina manusia yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan kemahiran. Guru perlu diberi ruang dan sokongan untuk mendidik jiwa, bukan sekadar menyampaikan fakta. Keluarga perlu menjadi institusi nilai yang pertama, dan masyarakat perlu menjadi contoh teladan.
Bijak digital belum cukup jika adab semakin menghilang. Kemajuan sebenar bukan sahaja terletak pada ciptaan manusia, tetapi juga pada kemampuan manusia untuk menjaga kemanusiaannya. Hanya dengan adab, ilmu menjadi berkat. Hanya dengan adab, kemajuan menjadi rahmat.

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
