KLUANG – Bagi meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan murid sekolah, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program “Eksplorasi Air: Generasi Prihatin Air” pada 21 Jun 2025 lalu.
Program inisiatif Kursus Kokurikulum Berkredit Muzik Moden dengan kerjasama Yayasan UTHM dan Pusat Kecemerlangan Pencemar Mikro (MPRC), UTHM itu melibatkan penyertaan murid dari Sekolah Kebangsaan Seri Intan, Kluang.
Program itu diadakan bertujuan mendidik serta menyemai nilai tanggungjawab dalam kalangan murid terhadap isu air bersih dan pemuliharaan alam sekitar melalui pendekatan pendidikan tidak formal tetapi interaktif.
Antara pengisian utama ialah ceramah kesedaran alam sekitar bertajuk “Sayangi Air, Jaga Alam” yang disampaikan oleh Dr. Mohd Hairul Khamidun, penyelidik dari MPRC UTHM.
Ceramah tersebut memberi pendedahan kepada murid berkaitan krisis air yang semakin membimbangkan, termasuk pencemaran sungai, pembaziran air dan kepentingan menjaga sumber air untuk generasi masa hadapan.
Menurut Dr. Hairul, usaha memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar seharusnya dimulakan sejak peringkat awal pendidikan.
“Jika murid faham dari kecil tentang nilai air dan kesannya terhadap kehidupan harian, mereka akan lebih cenderung menjadi agen perubahan dalam komuniti,” katanya.
Program itu turut menggabungkan elemen pembelajaran sains secara praktikal menerusi aktiviti eksperimen interaktif yang memfokuskan kepada sifat fizikal air.
Para peserta diberi peluang untuk melakukan sendiri eksperimen berkaitan ketegangan permukaan, fenomena sifon dan arus turbulen.
Aktiviti itu berjaya menarik minat murid untuk mendalami konsep sains berkaitan dengan sifat air secara lebih mendalam dan menyeronokkan.
Selain aspek sains, program itu turut menyelitkan ‘Pertandingan Penapis Air’ yang memberi ruang kepada murid untuk meneroka kreativiti dalam membina penapis air mini menggunakan bahan mudah didapati seperti karbon teraktif, pasir, sekam padi dan terak keluli.
Hasil reka bentuk yang pelbagai menggambarkan pemahaman murid terhadap sistem penapisan dan kepentingan rawatan air.
Aktiviti itu secara tidak langsung menggalakkan pemikiran kreatif dan penyelesaian masalah secara kritis, selaras dengan kehendak Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang ditekankan dalam sistem pendidikan negara.
Lebih penting, pertandingan ini juga membuka ruang kepada murid untuk memahami peranan bahan semula jadi dan bahan terpakai dalam menghasilkan sistem rawatan air yang mesra alam dan mampu milik.
Program itu secara langsung menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 6), iaitu Menjamin Akses kepada Air Bersih dan Sanitasi untuk Semuasekali gus membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap cabaran global.
Melalui pendekatan pendidikan tidak formal dan aktiviti kolaboratif sebegitu, murid bukan sahaja belajar tentang sains dan alam sekitar, malah membina nilai tanggungjawab sosial dan semangat kerja berpasukan.



