Oleh Prof. Madya Dr. Siti Sarah Omar

BATU PAHAT – Penganjuran “Open Day Dapo Rakyat” yang berlangsung pada 7 Mei 2025 lalu di Taman Mutiara Perdana, Batu Pahat menjadi medan buat usahawan B40 dan asnaf mengetengahkan inovasi makanan sedia dimakan.

Program anjuran White Space Resources, sebuah syarikat pemula keusahawanan sosial pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu turut mendapat kerjasama daripada Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC UTHM) serta Payments Network Malaysia (PayNet) melalui PayNet Cambah.

Seramai lebih 60 pengunjung terdiri daripada agensi kerajaan, wakil industri dan komuniti setempat hadir bagi menjalin jaringan perniagaan serta menyemarakkan lagi semangat keusahawanan mikro, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan asnaf yang semakin berani tampil ke hadapan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyumbang lebih 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mencatat pertumbuhan 5 peratus pada tahun 2023.

Justeru, program sebegitu bukan sahaja relevan malah kritikal dalam menyokong pembangunan ekonomi negara daripada akar umbi.

Pengasas Dapo Rakyat, Naqibah Azman berkata, dapur pusat itu berfungsi sebagai fasiliti pemprosesan makanan berdaftar yang membolehkan usahawan menghasilkan produk secara besar-besaran dengan kawalan kualiti yang konsisten.

“Dapo Rakyat kini dalam proses mendapatkan pensijilan Halal dan MESTI bagi meningkatkan kebolehpasaran produk ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Melalui program tersebut, pelbagai produk menarik diketengahkan seperti ikan pais, ayam ungkep, maruku, sambal kering jeruk tenggiri, bawang goreng dan serunding arnab, yang kesemuanya dihasilkan oleh usahawan komuniti setempat,” katanya.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan sesi rasa makanan, pameran produk serta perkongsian kisah kejayaan usahawan.

Beberapa agensi pembangunan keusahawanan seperti INSKEN, MARA, SME Bank, Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian Negeri Johor serta Perbadanan Usahawan Negeri Johor (PUJB) turut mengambil bahagian dalam memberi sokongan jaringan industri.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Haji Md Jais Haji Sarday, wakil Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Pegawai Kanan Pejabat Daerah Batu Pahat.

Kehadiran mereka menambah nilai kepada usaha merapatkan jurang antara usahawan mikro dan sistem sokongan yang tersedia di peringkat negeri dan persekutuan.

Lebih membanggakan, Dapo Rakyat turut mengangkat agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam operasinya.

Inisiatif itu memberi impak langsung kepada SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dengan meningkatkan pendapatan golongan B40 dan asnaf, SDG 8 (Pekerjaan dan Pertumbuhan Ekonomi) melalui penyediaan peluang pekerjaan, dan SDG 12 (Pengeluaran Bertanggungjawab) dengan mengurangkan pembaziran makanan serta memaksimumkan penggunaan sumber tempatan secara mampan.

Tambah Naqibah, melalui konsep Circular Economy, Dapo Rakyat mengoptimumkan bahan mentah dari komuniti setempat, dan pada masa sama, memupuk kesedaran pemprosesan mesra alam.

“Kami bukan sahaja membantu usahawan menghasilkan produk berkualiti tetapi juga memupuk amalan pemprosesan yang lestari,

“Program Open Day Dapo Rakyat ini sekali gus mengukuhkan peranan UTHM sebagai peneraju inovasi sosial dan keusahawanan lestari, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi Global Technopreneur University menjelang 2030.

“Dengan sokongan padu pelbagai agensi dan komuniti, Dapo Rakyat bukan sekadar sebuah dapur, ia kini menjadi pemangkin perubahan sosioekonomi, mencetuskan gelombang baharu dalam landskap keusahawanan mikro negara,” katanya.

Justeru itu, semua pihak termasuk agensi, korporat dan komuniti digalakkan untuk bersama menyokong inisiatif yang menjurus kepada pemerkasaan ekonomi masyarakat berpendapatan rendah.

Usaha kolaboratif mampu memperluas kesan sosial dan membawa perubahan yang lebih bermakna kepada komuniti di seluruh negara.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 31), 31 Mei 2025: Dapo rakyat pacu keusahawanan mikro, angkat produk asnaf 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 31 Mei 2025: Dapo rakyat pacu keusahawanan mikro, angkat produk asnaf

Dapo rakyat pacu keusahawanan mikro, angkat produk asnaf