Perubahan iklim global merupakan satu isu yang hangat diperkatakan, baik di peringkat tempatan, nasional hinggalah ke peringkat antarabangsa. Ramai penyelidik merumuskan bahawa perubahan iklim global akan memberi kesan yang ekstrem kepada iklim di seluruh dunia. Rumusan dalam media menyatakan bahawa mulai tahun 2025 akan bermula kemarau yang panjang yang memakan masa bertahun-tahun. Walaupun ia satu ‘rumusan’, ianya tidak boleh di pandang ringan kerana sekiranya benar-benar berlaku, implikasinya sangat besar dan bersediakah kita?

Umum mengetahui bahawa perubahan iklim yang ekstrem sudah pasti memberi impak yang negatif kepada persekitaran termasuk manusia, haiwan, flora dan fauna. Oleh yang demikian, semua pihak harus memainkan peranan dalam memberi informasi kepada masyarakat. Di Malaysia,  laman sesawang Jabatan Metrologi Malaysia (MET) memainkan peranan yang penting dalam menyalurkan maklumat kepada masyarat berkaitan  iklim, perubahan cuaca  dan  kejadian bencana di seluruh dunia.

Pengertian cuaca ekstrem

Cuaca ekstrem merupakan satu fenomena iklim yang luar biasa dan berpotensi berlakunya bencana. Cuaca pula merujuk kepada suhu udara dalam sesuatu masa dan tempat tertentu. Ciri-ciri cuaca boleh dilihat berlakunya perubahan suhu, cahaya matahari, kelembaban udara dan kelajuan angin. Cuaca ekstrem boleh melangkaui 39 darjah celcius.

Manakala iklim pula merujuk kepada keadaan udara di sesuatu tempat dalam jangka waktu yang lama. Cuaca ekstrem bisa terjadi karena pemanasan global. Contoh cuaca ekstrem iaitu musim kemarau berkepanjangan dan hujan lebat yang sering terjadi. Faktor yang menyebabkan berlakunya cuaca yang ekstrem adalah aktiviti manusia seperti kepesatan pembangunan,  penggunaan bahan bakar secara tidak terkawal, kesan rumah kaca, penggunaan kenderaan bermotor, aktiviti perindustrian, pembakaran dan kemusnahan.

Menurut laporan ‘World Health Organization’ (WHO) 2023, fenomena gelombang haba berterusan di Eropah pada pertengahan tahun 2022 telah menyebabkan lebih 20,000 kematian akibat strok haba. Di Malaysia pula, 200 kes penyakit berkaitan haba telah dilaporkan, yang mana 22 kes adalah strok haba. Oleh itu, tindakan aktif hendaklah diambil bagi mengelak kejadian penyakit berkaitan haba daripada berlaku.

Di Malaysia, cuaca yang ekstrem bukan sahaja memberi kesan terhadap kehidupan sosial masyarakat bahkan turut mengesani aktiviti ekonomi. Cuaca yang ekstrem akan mengesani kehidupan petani apabila aktiviti pertanian tidak dapat dijalankan dengan lancar dan mengalami kerugian akibat kemarau yang panjang. Selain itu, aktiviti diluar juga terpaksa dihentikan. Pada tahun 2023, Malaysia pernah berhadapan dengan cuaca yang ekstrem. Gelombang haba yang tinggi pada waktu itu telah membawa kepada satu kes kematian, membabitkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dari Kampung Perupok, Bachok, Kelantan. Pada tahun 2023 juga,  pusat ramalan iklim APEC Climate Center di Busan, Korea meramalkan, El Nino kuat dijangka akan berlaku bermula Jun 2023, sekali gus menyebabkan Malaysia dan Indonesia akan menjadi lebih kering dan panas bermula Jun hingga Oktober 2024.

Kejadian yang berlaku pada tahun 2024, tidak mustahil, akan berlaku pada tahun 2025. Berhadapan dengan situasi ini sudah pasti memerlukan persediaan daripada semua lapisan masyarakat. Selain daripada mengubah gaya hidup iaitu mengurangkan aktiviti luar, masyarakat juga perlu diberi pendidikan dan kesedaran dalam menghadapi cuaca ekstrem. Ia bukan sahaja berkisar tentang kurangkan aktiviti diluar, bahkan harus meliputi aspek aktiviti sosial yang lain supaya, masyarakat dapat menyesuaikan diri dengan cuaca ekstrem melalui beberapa kaedah gaya hidup yang sihat.

Masyarakat harus sentiasa diingatkan kepentingan untuk mengambil lebih banyak cecair, kurangkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas, elakkan memakai pakaian yang tebal dan sekiranya berlaku strok haba apakah tindakan awal yang perlu dilakukan. Pihak sekolah, universiti, ibu bapa harus memainkan penting dalam memastikan anak-anak berada dalam keadaan terkawal. Peranan dan pemantauan ibu bapa adalah penting bagi memastikan peristiwa kematian akibat strok haba tidak berulang lagi.

 

 

Profesor Madya Dr. Haryati Shafii

Pensyarah Pengurusan Pembinaan,

Penyelidik Utama Sustainable Construction,

Infrastructure and Environmental Management (CSIEM),

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 11), 11 Julai 2025: Masyarakat perlu sedia berdepan kesan cuaca esktrem