Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) mutakhir ini telah membawa perubahan besar dalam cara perisian dibangunkan. Istilah baharu seperti vibe coding muncul sebagai fenomena terkini, mencabar pendekatan pengaturcaraan tradisional. Vibe coding merujuk kepada pendekatan baharu dalam pembangunan perisian yang berasaskan penggunaan AI untuk menjana kod melalui arahan bahasa semula jadi. Secara ringkasnya, vibe coding bermaksud menggunakan AI bagi membina perisian dengan hanya menerangkan apa yang dikehendaki, tanpa perlu menulis kod secara manual. Istilah ini dipopularkan sekitar awal 2025 oleh Andrej Karpathy, yang berkhidmat sebagai pengarah di Jabatan AI Tesla, yang menggambarkannya sebagai cara pengaturcaraan yang mana pembangun “memberi sepenuhnya kepada ‘vibes’ dan seolah-olah melupakan bahawa kod itu wujud”

Konsep vibe coding adalah lanjutan daripada evolusi platform no-code/low-code, tetapi dengan keupayaan yang lebih besar hasil kemajuan AI generatif. Jika platform low-code tradisional membolehkan pembangunan perisian melalui antara muka grafik dengan pengetahuan teknikal minimum, vibe coding melangkah setapak ke hadapan: ia hanya memerlukan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa semula jadi, sementara hal-hal penulisan kod diserahkan kepada AI.

Pendekatan vibe coding ini membawa beberapa kelebihan ketara. Pertama, ia mendemokrasikan pembangunan perisian dengan membuka akses kepada golongan yang tiada kemahiran pengaturcaraan untuk merealisasikan idea mereka dalam bentuk digital. Kedua, vibe coding dapat mempercepatkan proses pembangunan. Tugas yang dahulunya mengambil masa berminggu atau berbulan, kini boleh disiapkan dalam jangka masa beberapa jam sahaja dengan bantuan AI. Keupayaan ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah menjimatkan kos pembangunan terutamanya bagi individu atau perniagaan kecil dengan mengurangkan keperluan untuk menggaji pembangun bagi tugasan yang mudah.

Walau bagaimanapun, vibe coding bukanlah penyelesaian mutakhir. Konsep ini lebih sesuai dianggap sebagai perubahan budaya kerja pengaturcaraan, berbanding suatu metodologi formal pembangunan perisian. Dalam projek kecil atau prototaip, pendekatan ini berfungsi dengan baik. Namun, apabila skop sistem mula berkembang besar dan kompleks, kelemahan vibe coding menjadi jelas. AI semasa mempunyai had dalam memahami konteks luas sesuatu sistem; jika banyak modul dan komponen saling berinteraksi, AI berisiko untuk “terlupa” konteks yang tidak dinyatakan secara eksplisit, menyebabkan ia menjana kod yang bertindan atau bercanggah dengan bahagian lain (fenomena ini digelar context collapse). Selain itu, keputusan reka bentuk awal yang dibuat melalui AI sukar diubah kemudian kerana AI cenderung “terkunci” kepada seni bina awal yang dihasilkannya, menjadikan refaktorasi besar-besaran sesuatu sistem sangat mencabar. Oleh itu, bagi projek perisian berskala besar, peranan pembangun berpengalaman masih kritikal untuk memantau struktur kod, membuat keputusan seni bina, dan melakukan penyesuaian kompleks yang di luar kemampuan semasa AI.

Dengan latar perkembangan seperti vibe coding dan AI yang semakin pintar, persoalan timbul, adakah pengajian formal dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan Sains Komputer masih relevan? Sesetengah pihak berhujah bahawa jika AI boleh menjana kod, nilai ijazah konvensional mungkin berkurang. Namun, hakikatnya isu ini kompleks dan memerlukan pertimbangan yang kritis.

Penulis berpendapat, walaupun teknologi seperti AI dan vibe coding semakin berkembang, pengajian formal dalam bidang IT dan Sains Komputer kekal relevan. Dari segi peluang kerjaya, data semasa menunjukkan bahawa walaupun AI akan menggantikan beberapa jenis pekerjaan, ia juga akan mencipta banyak peluang baharu. Laporan Future of Jobs 2020 oleh World Economic Forum meramalkan menjelang 2025, AI dan automasi bakal menghapuskan kira-kira 85 juta pekerjaan di seluruh dunia, terutamanya melibatkan tugas rutin atau berulang. Akan tetapi, dalam tempoh yang sama, teknologi ini dijangka mewujudkan 97 juta pekerjaan baharu dalam bidang-bidang baharu.

Dari segi nilai kemahiran teknikal, pendidikan formal dalam IT/Sains Komputer masih menyediakan asas yang sukar digantikan. Kurikulum universiti biasanya merangkumi prinsip-prinsip teras seperti struktur data, algoritma, teori pengkomputeran, pangkalan data, rangkaian, dan keselamatan siber. Pengetahuan fundamental ini membentuk cara berfikir secara logik dan sistematik yang sangat berharga apabila berhadapan dengan sebarang teknologi termasuk AI. Namun, untuk kekal relevan, universiti perlu menjalin kerjasama dengan industri, menggalakkan projek inovatif, dan menggabungkan kemahiran semasa dalam silibus.

Sebagai kesimpulan, ijazah IT/Sains Komputer ibarat kompas di tengah lanskap teknologi yang berubah-ubah. Ia membekalkan arah dan panduan asas, tetapi pengembaraan terletak pada tangan individu untuk terus belajar dan menyesuaikan diri. Dengan menguasai ilmu teras serta bijak menggunakan pendekatan vibe coding, para pembangun perisian dan graduan IT dapat melangkah ke alam kerjaya dengan keyakinan. Mereka bukan sahaja berpeluang merebut peluang kerjaya baharu yang terhasil daripada ledakan AI, bahkan mampu menjadi peneraju inovasi yang mencipta solusi masa depan. Relevansi pengajian IT/Komputer akan terus terjamin selagi matlamat akhirnya tercapai iaitu melahirkan insan yang mahir, kritis, dan adaptif dalam meneroka batas baharu antara teknologi dan manusia.

 

 

 

Dr. Nur Ariffin bin Mohd Zin

Penyelidik Utama

Applied Information System Focus Group (AIS)

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)