Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) secara rasminya telah berjaya didaftarkan sebagai Penyedia Latihan Berdaftar di bawah Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Kelulusan ini telah diberikan selama setahun berkuatkuasa 29 April 2025 sehingga 28 April 2026.

Sebagai institusi berprestij yang komited dalam menyediakan pendidikan berkualiti, pendaftaran itu membuka peluang untuk UTHM terus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang lebih kompetitif melalui pelbagai program latihan profesional.

Menurut Pengarah UTHM Bitara, Prof. Dr. Wan Fauzi @ Wan Fauziah Wan Yusoff, sebagai Penyedia Latihan Berdaftar, UTHM akan berfungsi sebagai pemacu kepada peningkatan kemahiran tenaga kerja negara.

“Latihan yang ditawarkan memberi fokus kepada bidang yang relevan dengan industri, membolehkan peserta memperoleh pengetahuan terkini serta kemahiran praktikal yang boleh diterapkan dalam persekitaran kerja.

“UTHM juga akan memastikan setiap program latihan memenuhi piawaian tinggi yang ditetapkan oleh HRD Corp, sejajar dengan misi “Delivering Quality, Developing Excellence,” katanya.

Peserta yang mengikuti kursus di bawah program latihan UTHM akan menikmati pelbagai manfaat.

Antaranya pembiayaan kursus yang diiktiraf oleh HRD Corp boleh mendapat pembiayaan melalui levi yang dikumpul daripada majikan berdaftar, peningkatan kemahiran menerusi kursus yang dirancang bersesuaian dengan keperluan industri terkini dan memberi kelebihan dalam pasaran kerja.

Peserta juga berpeluang meningkatkan kerjaya menerusi latihan yang disediakan, selain membantu peserta meningkatkan daya saing dan membuka peluang kenaikan pangkat atau kerjaya baharu.

Mereka juga akan menerima sijil yang diiktiraf yang boleh meningkatkan nilai profesional mereka.

Dengan pendaftaran ini, UTHM akan terus melangkah mara ke hadapan dalam usaha memperkasa modal insan dan mempersiapkan tenaga kerja yang lebih mahir dan berdaya saing.

Untuk maklumat lanjut mengenai program pensijilan profesional yang ditawarkan oleh UTHM, sila layari laman web rasmi UTHM Bitara: [UTHM Bitara: (https://www.uthmbitara.uthm.edu.my).