Oleh Dr. Mohd Fauzi Yaakub, Dr. Siti Juita Mastura Mohd Saleh
BATU PAHAT- Bagi memanfaatkan lagi kepakarannya dalam bidang dron, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memberi latihan “Sijil Kompetensi Juruterbang Kawalan Jauh RCoC-B” yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kepada lima pegawai tinggi dari Jabatan Penjara Malaysia.
Lima pegawai yang diketuai oleh Timbalan Penguasa Penjara (Unit Teknikal Risikan dan Siasatan), Tuan Mohamad Zaimie Che Ani itu berjaya memperoleh Sijil Remote Pilot Certificate of Competency – Basic (RCoC-B) setelah menamatkan program latihan intensif anjuran Avitex Solution (M) Sdn. Bhd.
Untuk rekod, Avitex Solution yang juga merupakan salah sebuah Syarikat Terbitan UTHM (STU) adalah sebuah Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (RPTO) yang diluluskan oleh CAAM.
Program latihan yang dijalankan selama enam hari bermula 28 April hingga 3 Mei 2025 lalu mengiktiraf kemahiran mereka dalam mengendalikan dron secara cekap, profesional dan selamat.
Sepanjang program tersebut, para peserta telah menjalani sesi pembelajaran teori serta latihan praktikal yang merangkumi aspek keselamatan penerbangan, meteorologi, undang-undang dan peraturan penerbangan dron serta kemahiran operasi sebenar.
Kompetensi mereka diiktiraf setelah berjaya melepasi kedua-dua ujian teori dan ujian penerbangan dron seperti yang ditetapkan oleh CAAM.
Kejayaan itu melayakkan mereka untuk beroperasi sebagai juruterbang dron yang diperakui di Malaysia.
Program latihan itu merupakan salah satu inisiatif UTHM untuk meningkatkan kompetensi bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga memberikan sumbangan kepada profesion dan pegawai kerajaan dalam pelbagai sektor di negara ini.
Pengurus Bertanggungjawab RPTO UTHM, Prof. Madya Dr. Mohammad Zulafif Rahim berkata pihaknya ada bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan sebelum ini sebagai langkah positif dalam memperluas penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan sektor kerajaan.
“Ini adalah contoh terbaik bagaimana UTHM, melalui bidang teknologi mampan dan pengangkutan dapat memberi impak kepada pengurusan dan operasi jabatan kerajaan, dengan memanfaatkan teknologi canggih dalam memantapkan sistem keselamatan dan pemantauan,” katanya.
Dengan terlaksananya program itu, UTHM terus komited dalam penyediaan latihan berkualiti tinggi serta memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga kepada masyarakat, industri dan sektor kerajaan.
RPTO UTHM sehingga kini telah melahirkan hampir 200 orang Juruterbang Kawalan Jauh Professional yang diiktiraf CAAM sejak setahun pengiktirafannya sebagai satu-satunya Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh di bawah Universiti Awam Malaysia.



Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 16 Mei 2025: Lima pegawai penjara terima latihan kepakaran bidang dron
2. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 20 Jun 2025: UTHM manfaatkan kepakaran, beri latihan Sijil Kompetensi Juruterbang Kawalan Jauh Rcoc-B
