LANGKAWI – Sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan UMW Aerospace dan Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATSSB) dan satu letter of intent (LoI) bersama Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn. Bhd. (AAT) bagi memperkukuh hubungan antara sektor pendidikan dan industri penerbangan negara.
Menurut Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Menjalankan Fungsi Naib Canselor, UTHM kerjasama strategik yang bakal terjalin itu mampu mendekatkan jurang antara dunia akademia dan industri, seiring dengan aspirasi negara dalam melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing melalui program-program akademik yang relevan dengan keperluan industri dan berimpak.
“Saya melihat inisiatif seperti ini amat penting bagi memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara, terutama dalam bidang yang kritikal seperti penerbangan dan aeroangkasa, selain selari dengan visi dan bidang keutamaan UTHM iaitu bidang pengangkutan,” katanya.
UMW Aerospace bakal bekerjasama dengan UTHM dalam usaha mempertingkat kemahiran dan pengalaman pelajar melalui work-based learning (WBL).
Melalui kerjasama itu, pelajar bukan sahaja menerima bimbingan secara langsung daripada tenaga kerja berpengalaman, malah turut didedahkan kepada teknologi sebenar dan amalan kerja industri bertaraf global.
Kerjasama itu juga sejajar dengan komitmen kedua-dua pihak dalam menyokong aspirasi Malaysia Aerospace Industry Blueprint 2030, khususnya dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi, memperluas kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan, serta memacu pertumbuhan ekosistem aeroangkasa negara ke arah menjadi hab serantau yang berdaya saing.
SIME UMW Aerospace merupakan anak syarikat milik penuh UMW Holding Berhad yang memainkan peranan penting dalam industri aeroangkasa negara, khususnya dalam penghasilan komponen kritikal pesawat.
Pada masa yang sama, UTHM juga turut memeterai MoU dengan SATSSB bagi menyatu kepakaran industri dan akademik melalui kerjasama dalam pertukaran staf dan latihan industri, membantu staf Senai Airport melanjutkan pengajian di UTHM termasuk kursus pendek bagi peningkatan kompetensi dan sebarang kerjasama dalam membangunkan program profesional industri bagi bidang yang berkaitan.
Ketua Pegawai Eksekutif SATSSB, Kennedy Ayu berkata kerjasama seperti itu bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, tetapi juga memperkukuh ekosistem industri penerbangan negara.
“Ia mencerminkan komitmen SATSSB untuk menyokong pembangunan negara melalui jaringan kerjasama yang bermakna dan berimpak tinggi.
“Dengan sokongan penuh daripada semua pihak, projek pembangunan sistem ini menjadi bukti bahawa universiti awam tempatan mampu menghasilkan penyelesaian teknologi tinggi yang relevan dengan keperluan penerbangan moden negara,” katanya.
Untuk rekod, SATSSB merupakan sebuah anak syarikat Kumpulan MMC Corporation Berhad yang berperanan sebagai pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Manakala LoI bersama AAT pula melibatkan kerjasama bagi program profesional keselamatan siber kawalan trafik udara dan pusat operasi keselamatan untuk memantau ancaman ancaman digital.



