Oleh Muzaffar Salleh, Suriayati Baharom

Menyedari perlunya menyokong Revolusi Perindustrian 4.0, kampus pintar dan pendigitalan TVET dalam memacu transformasi pendidikan negara, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membangunkan pusat data yang memenuhi piawaian antarabangsa Tier 3 ANSI/TIA-942 dikenali sebagai Gerbang Digital UTHM.

Pusat data baharu tersebut dibangunkan antara bangunan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) dengan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE).

Lokasi strategik itu dipilih bagi memudahkan mobiliti pelajar dan pensyarah untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) kedua-dua fakulti ke bangunan tersebut.

Menurut Pengarah Pusat Teknologi Maklumat UTHM, Profesor Dr. Nazri Mohd Nawi, pembangunan yang telah bermula pada Januari 2022 lalu dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2026.

“Pusat ini turut menawarkan perkhidmatan kolokasi sebagai Infrastructure As A Service (IAAS) kepada pihak luar yang berminat dengan kadar bayaran yang kompetetif berbanding penyedia perkhidmatan yang sama di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Gerbang Digital UTHM turut mengimplimentasikan ciri-ciri keselamatan fizikal dan logikal dalam reka bentuknya.

“Ia dilengkapi dengan dua unit firewall, kawalan pintu dengan imbasan wajah, kamera litar tertutup dan Sistem Pemantauan Persekitaran (SPP).

“Pusat data ini mengoptimakan operasi Information and Communication Technology (ICT) dengan memastikan ruang penempatan peralatan ICT disejukkan secara efisien menggunakan kaedah in row cooling dengan dua jenis containment iaitu cold dan hot aisle,” jelas Prof. Nazri.

Manakala hosting server untuk sistem aplikasi UTHM juga akan menggunakan infrastruktur Hyperconverged (HCI) serta server berspesifikasi tinggi yang dapat memberikan prestasi hosting yang tinggi.

Teknologi virtualization pada server fizikal itu akan membolehkan jumlah hosting yang tinggi disediakan menggunakan jumlah fizikal server yang kecil, sekali gus mengurangkan masa penyelenggaraan dan kos elektrik untuk operasi server.

Pusat data itu akan meneruskan penggunaan dua talian internet daripada pembekal yang berbeza sebagai sandaran untuk memastikan risiko kegagalan sambungan ke internet diminimakan.

Penggunaan HCI dan infrastruktur cloud native untuk memberikan perkhidmatan hosting kepada sistem-sistem aplikasi UTHM akan memberikan kebolehan penambahan dan pengurangan sumber CPU, RAM dan disk space dengan lebih mudah.

Sementara itu, pusat data itu juga memastikan kesinambungan operasi berterusan untuk sistem kritikal semasa bencana dengan menggunakan dua sumber penerimaan bekalan utama elektrik yang berbeza dan disokong oleh Genset dan UPS.

Ia juga memastikan fail sandaran pangkalan data dibuat lebih daripada satu lokasi storan.