KUALA LUMPUR – Tiga pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari Program Diploma Teknologi Animasi, Pusat Pengajian Diploma (CeDS) berjaya meraih anugerah ketika menyertai MR.DIY Art Competition 2025 yang telah berlangsung pada 23 Mei 2025, bertempat di KEN Gallery, enara Ken TTDI, Kuala Lumpur.

Muhammad Hariz Mohd Najib telah menerima Creative Artist Award melalui karya bertajuk ‘Jejak Perpaduan’ dan membawa pulang wang tunai RM4 ribu, manakala Ainin Sofiya Saharuddin dengan karya ‘Jiwa’ dan Mohammad Yasin Mohd Salleh dengan karya ‘The Birds of Malaysia,’ masing-masing menerima Spotlight Award dan membawa pulang RM3 ribu setiap seorang.

Anugerah telah disampaikan oleh tokoh-tokoh penting dari syarikat MR.DIY Trading Sdn. Bhd. iaitu Presidennya,Henry Woon, Zaleha Mohd Mydin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR.DIY serta Prof. Dr. Ong Teng Aik dan Dato’ Seri CP Loo, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MR.DIY.

Turut hadir meraikan kejayaan itu, Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad FASc, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi); Dr. Muhammad Faizal Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma; serta Mokhtar Yahya, pensyarah yang membimbing ketiga-tiga pelajar dalam projek akhir kursus Asas Seni Lukis dan Senireka.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen UTHM dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut memiliki bakat luar biasa dalam bidang kreatif dan inovatif.

Pertandingan seperti ini menjadi platform penting bagi menghimpunkan para peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi serta organisasi seni dari dalam dan luar negara, dalam usaha menonjolkan hasil karya serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam memartabatkan industri kreatif tanah air.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 30 Mei 2025: 3 pelajar UTHM raih anugerah dalam MR DIY Art Competition 2025

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/my-ipt/3-pelajar-uthm-raih-anugerah-dalam-mr-diy-art-competition-2025