Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Kamarudin Ambak

BATU PAHAT – Seramai 730 murid tahap satu dan dua Sekolah Agama Pintas Puding telah menyertai program Kidsafe UTHM 2025 pada 29 April 2025 lalu, sekali gus mencatat rekod jumlah penyertaan teramai sejak program itu dilaksanakan pada tahun 2013.

KidSafe UTHM diadakan saban tahun bertujuan meningkatkan lagi pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan jalan raya terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Untuk rekod, program itu telah diasaskan oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Pemanduan Bijak atau Smart Driving Research Center (SDRC), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Penganjuran program kali ini telah diuruskan oleh empat pensyarah Kursus Kejuruteraan Trafik dan Keselamatan iaitu Profesor Madya Dr. Munzilah Rohani, Profesor Madya Ts. Dr. Kamarudin Ambak, Noorliyana Omar dan Zarina Md Ali.

Menurut Dr. Munzilah, pelbagai aktiviti interaktif seperti simulasi kemalangan dan ceramah kesedaran tentang keselamatan jalan raya telah diadakan bagi memberi pengalaman pembelajaran yang praktikal kepada para peserta.

Aktiviti lain termasuklah permainan secara berkumpulan seperti teka-silang kata, kuiz santai, soalan cepu emas dan tayangan video kreatif.

“Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di bawah program KidSafe ini dapat membentuk generasi muda yang lebih bertanggungjawab dan berpengetahuan tentang keselamatan jalan raya, sekali gus membantu mengurangkan risiko kemalangan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Pelaksanaan program ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada komuniti sekolah, tetapi juga kepada pelajar kursus Kejuruteraan Trafik dan Keselamatan, FKAAB yang dapat menimba pengalaman berharga ketika menjalankan program Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM) ini,” katanya.

Tambah Dr. Munzilah, pihaknya turut berbesar hati menerima jemputan pihak luar terutama sekolah rendah dan menengah bagi menjayakan program KidSafe seumpama ini di institusi masing-masing.

**Maklumat lanjut layari page Facebook KidSafe UTHM dan tonton YouTube program KidSafe yang telah dijalankan di SMK Sri Gading di pautan berikut – https://youtu.be/Nu9svrbQ5Bw