
Sebagaimana dunia yang luas ini memiliki pelbagai negara, bahasa dan budaya, begitu juga dengan personaliti manusia. Pernahkah anda mendengar istilah introvert dan ekstrovert? Dua personaliti ini acap kali dibandingkan apabila membincangkan sifat dan cara seseorang berinteraksi dengan dunia sekeliling.
Individu yang memiliki personaliti introvert secara amnya dikenali sebagai seseorang yang bersifat pendiam dan lebih selesa berada dalam persekitaran yang tenang. Selain itu, mereka juga cenderung untuk berfikir secara mendalam, lebih gemar menyimpan perasaan mereka sendiri dan dikenali sebagai pendengar yang baik. Berbeza pula dengan personaliti ekstrovert yang mana golongan ini secara amnya dikenali sebagai seseorang yang petah berkomunikasi, bersifat peramah dan tidak kekok untuk bergaul dengan individu yang baru dikenali. Dalam erti kata lain, mereka ini gemar akan interaksi sosial dan lebih mudah bergaul dengan orang di sekeliling mereka.
Namun begitu, walaupun golongan introvert kurang gemar berada dalam persekitaran yang ramai, adalah tidak adil untuk melabelkan mereka sebagai ‘kera sumbang’. Ramai yang menganggap bahawa individu introvert adalah anti-sosial, walhal mereka sebenarnya lebih cenderung untuk berinteraksi dalam skala yang kecil. Berbeza dengan ekstrovert yang memperoleh tenaga melalui interaksi sosial, golongan introvert memerlukan ruang untuk bersendirian bagi mengisi semula tenaga mereka. Lebih-lebih lagi jika interaksi sosial tersebut dilakukan dalam kumpulan atau skala yang besar.
Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang tertanya-tanya, bagaimana pula jika anda memiliki sebahagian daripada kedua-dua personaliti introvert dan ekstrovert? Sudah pastinya personaliti ini juga wujud dan dikenali sebagai ambivert. Ambivert adalah individu yang lebih fleksibel kerana memiliki ciri-ciri personaliti kedua-dua di atas. Kebiasaannya, mereka mampu menyesuaikan diri daripada segenap aspek tingkah laku mereka agar bersesuaian dengan pelbagai situasi dan konteks sosial yang berbeza. Ambivert dikenali sebagai golongan yang bukan sahaja menikmati interaksi sosial seperti golongan ekstrovert, dalam masa yang sama mereka juga menghargai masa bersendirian seperti golongan introvert.
Walaupun personaliti introvert dan ekstrovert terlalu berbeza ibarat langit dan bumi, namun kedua-dua personaliti ini mampu melengkapi antara satu sama lain. Sebagai contoh, anda merupakan seorang ekstrovert dan memiliki rakan yang berpersonaliti introvert. Individu ekstrovert mampu memberi galakan dan keyakinan kepada individu introvert agar keluar daripada zon selesa mereka dan mengambil bahagian dalam interaksi sosial di samping berjumpa dengan kenalan baharu. Daripada perspektif lain pula, golongan introvert memainkan peranan dalam membantu golongan ekstrovert memahami bahawa berehat daripada kesibukan sosial bukan bermaksud waktu mereka menjadi tidak produktif atau membosankan. Sebaliknya meluangkan masa bersendirian mampu mengurangkan tekanan di samping menjadikan seseorang lebih fokus.
Gabungan antara personaliti introvert dan ekstrovert mewujudkan keseimbangan yang harmoni dalam masyarakat. Ekstrovert menyumbangkan semangat dalam interaksi manakala introvert pula menyumbangkan ketelitian dalam segala hal. Selain itu, ekstrovert juga menghidupkan suasana dengan perlakuan mereka yang lebih spontan, manakala introvert pula memberi nilai tambah dengan refleksi dan pemikiran mereka yang lebih mendalam serta analitik.
Tidak seharusnya masyarakat membuat perbandingan personaliti mana satukah yang lebih baik antara keduanya. Jika kita tidak mampu untuk belajar sifat antara satu sama lain, paling tidak kita boleh cuba untuk raikan perbezaan tersebut kerana kedua-dua personaliti ini adalah berbeza. Perbezaan tersebut sudah pastinya mampu mewarnai dunia dengan keunikan mereka yang tersendiri.
Farhana Abd Hamid
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)