Hari Biodiversiti Antarabangsa 2025 yang membawa tema “Be Part of the Plan,” menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk terlibat aktif dalam usaha memelihara dan memulihara biodiversiti.
Malaysia, sebagai salah satu daripada 17 negara mega biodiversiti dunia, menempatkan lebih 20 peratus spesies haiwan global dan memiliki hutan tropika yang berusia lebih 100 juta tahun. Dalam usaha memelihara kekayaan alam ini, institusi masjid di Malaysia berpotensi memainkan peranan penting sebagai pusat pendidikan, kesedaran dan tindakan komuniti dalam pemuliharaan biodiversiti. Ia juga selaras dengan prinsip Islam yang menekankan keseimbangan dan kelestarian alam.
Islam menyatakankan bahawa manusia adalah khalifah di bumi dan bertanggungjawab untuk memakmur serta menjaga alam sekitar. Firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 61 yang bermaksud “Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.” Ayat ini menekankan tanggungjawab manusia untuk mengurus dan memelihara bumi dengan bijaksana, termasuk menjaga biodiversiti yang merupakan sebahagian daripada ciptaan Allah.
Dengan lebih 6,000 masjid dan hampir 17,500 surau di seluruh Malaysia, institusi ini mampu memaikan peranan besar dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan memelihara alam sekitar dan biodiversiti.
Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) yang diperkenalkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menekankan aspek pengurusan persekitaran sebagai salah satu komponen penilaian. Ini termasuk pengurusan sisa, penggunaan tenaga yang efisien dan pemeliharaan landskap hijau di kawasan masjid. Dengan mematuhi garis panduan ini, masjid bukan sahaja meningkatkan kualiti persekitarannya tetapi juga menyumbang kepada usaha pemeliharaan biodiversiti.
Program “Masjid Hijau” yang dilaksanakan dengan kerjasama Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) berupaya memperkasakan peranan masjid dalam kelestarian alam. Melalui program ini, masjid digalakkan untuk mengamalkan teknologi hijau, seperti penggunaan tenaga solar, sistem pengumpulan air hujan dan pengurusan sisa yang efisien. Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan jejak karbon masjid tetapi juga menjadi contoh kepada komuniti sekitar.
Beberapa masjid di Malaysia telah melaksanakan aktiviti yang menyokong pemeliharaan biodiversiti. Sebagai contoh, Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur melaksanakan program “Baja Kompos Ramadan Barakah” yang mengitar semula sisa makanan menjadi baja kompos. Inisiatif ini bukan sahaja memanfaatkan sisa makanan tetapi juga menyumbang kepada kesuburan tanah dan pemeliharaan ekosistem.
Inisiatif ini seharusnya diperluaskan ke masjid-masjid lain di seluruh negara memandangkan aktiviti jamuan sememangnya sangat dekat dengan pelbagai pengisian yang diadakan di masjid. Apabila ada jamuan sudah pasti terdapat sisa makan yang akan terbuang. Jamuan juga biasanya akan turut disertai dengan pembuangan bekas makanan dan minuman yang diperbuat daripada plastik, kertas ataupun polisterin. Sekiranya masjid juga menjadi tempat memasak, hendaklah dipastikan mintak masak terpakai tidak dialirkan ke parit, akan tetapi diasingkan bagi tujuan kitar semula. Oleh itu penghasilan produk dari sisa buangan merupakan salah satu usaha pemeliharaan biodiversiti yang boleh digerakkan oleh pihak masjid.
Dari sudut penggunaan air bagi tujuan mengambil wuduk, sememangnya wujud potensi besar bagi para penyelidik untuk membuat kajian secara serius agar air wuduk di masjid-masjid dapat digunakan semula bagi tujuan lain seperti untuk siraman pokok, pembersihan tandas dan sebagainya. Ini sekali gus dapat mewujudkan persekitaran masjid yang lestari dan mesra alam sekitar.
Pada ketika ini, wujud keperluan untuk masjid-masjid utama dijadikan pusat pemurnian naskhah al-Quran lama yang sebelum ini lebih banyak menggunakan kaedah pembakaran. Terdapat beberapa penyelidik termasuklah dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang telah menghasilkan mesin insinerator al-Quran patuh syariah. Sekiranya pusat insinerator al-Quran ini dapat ditingkatkan jumlahnya, pastinya naskhah-naskhah al-Quran lama atau yang rosak akibat bencana banjir dapat diuruskan dengan cara yang lebih mesra alam dan pada masa yang sama memenuhi keperluan syarie.
Masjid juga perlu menggalakkan penanaman pokok dan mewujudkan taman komuniti di kawasan masjid. Ini boleh dilaksanakan melalui program penanaman pokok dan membina taman komuniti yang menempatkan spesies tumbuhan tempatan, sekali gus menjadi habitat kepada pelbagai fauna.
Selain daripada itu, program pendidikan alam sekitar juga perlu dijadikan pengisan sampingan kepada aktiviti rutin masjid. Ini boleh dilakukan melalui penganjuran bengkel dan seminar mengenai kepentingan biodiversiti dan cara-cara memeliharanya untuk ahli kariah khususnya kepada golongan muda.
Masjid juga boleh menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan dan NGO dalam projek atau aktiviti pemuliharaan alam sekitar seperti pembersihan sungai, pemuliharaan hutan dan pemantauan spesies terancam. Sebelum ini, pelbagai organisasi dan NGO Islam telah terlibat dalam program pemuliharaan, pendidikan alam sekitar dan kempen kesedaran. Sebagai contoh, kerjasama antara masjid dan NGO seperti Malaysian Nature Society (MNS) dalam program seperti Raptor Watch dan Pesta Sayap telah meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara habitat burung migrasi dan ekosistem paya bakau. Dengan percambahan aktiviti seperti ini, masjid akan dilihat lebih versatil dalam memainkan peranan mendidik masyarakat dan tidak terhad kepada aktiviti keagamaan semata-mata.
Program pendidikan alam sekitar di sekolah-sekolah agama dan madrasah juga memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang peka terhadap isu-isu alam sekitar. Melalui pendekatan ini, nilai-nilai Islam tentang pemeliharaan alam dapat disemai sejak usia muda. Program latihan dan bengkel untuk imam, guru agama dan pemimpin komuniti tentang isu-isu alam sekitar juga boleh membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam menyampaikan mesej pemeliharaan alam kepada masyarakat.
Masjid juga boleh memainkan peranan dalam menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada tahun 2023 melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui dengan memasang panel solar dan menggunakan teknologi hijau lain untuk mengurangkan penggunaan tenaga fosil. Ini sekali gus dapat menjimatkan bil utiliti bulanan yang ditanggung oleh masjid.
Institusi masjid di Malaysia mempunyai potensi besar dalam memelihara biodiversiti melalui pendidikan, amalan hijau dan penglibatan komuniti. Dengan memanfaatkan garis panduan SPMM dan inisiatif seperti Masjid Hijau serta menjadikan prinsip-prinsip Islam sebagai asas, masjid dapat menjadi contoh dalam usaha pemeliharaan alam sekitar. Sempena Hari Biodiversiti Antarabangsa 2025, adalah wajar untuk memperkukuh peranan masjid dalam memastikan kelestarian alam untuk generasi akan datang.

Shafry Salim
Pengarah Pusat Islam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:

