PUTRAJAYA, 7 Mei 2025 – Pensyarah kanan, Profesor Madya Ts. Dr. Noor Akhmazillah Mohd Fauzi dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima Anugerah Kecemerlangan (Institusi Pendidikan) MSAE 2025 sempena Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2025 yang berlangsung di Wisma Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Putrajaya pada 7 Mei 2025 lalu.

Anugerah berprestij itu telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam bidang kejuruteraan pertanian dan makanan.

Konvensyen NAFEC 2025 yang membawa tema “Agro Teknologi Pemacu Pengeluaran Makanan Negara” telah menghimpunkan para akademik, penyelidik, pemain industri dan pembuat dasar dari seluruh negara, dalam usaha bersama memodenkan sektor pertanian menerusi aplikasi inovasi dan teknologi terkini.

Anugerah Kecemerlangan MSAE yang dianjurkan oleh Malaysian Society of Agricultural and Food Engineering (MSAE) itu bertujuan mengiktiraf kepakaran dan dedikasi tokoh-tokoh dalam bidang kejuruteraan pertanian dan makanan di Malaysia.

Penganugerahan itu sekali gus menyerlahkan peranan penting Dr. Noor Akhmazillah sebagai tokoh akademik yang memberi inspirasi bukan sahaja kepada warga UTHM, tetapi juga kepada komuniti akademik dan masyarakat umum.

Dalam perkembangan berkaitan, sektor pertanian dan agromakanan negara menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan kadar 4.2 peratus pada tahun 2024 dan menyumbang sebanyak 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun, para pakar menegaskan bahawa kebergantungan kepada kaedah konvensional harus dikurangkan, dan pendekatan moden serta inovatif perlu diterapkan secara lebih meluas bagi memastikan kelestarian serta daya saing industri.

Konvensyen NAFEC 2025 turut menjadi medan penghargaan kepada pencipta inovasi baharu dalam sektor pertanian dan agromakanan, sekali gus menggalakkan lebih banyak idea baharu yang mampu membawa impak besar kepada pembangunan negara.

Sementara itu, seluruh warga UTHM turut mengucapkan tahniah kepada Dr. Noor Akhmazillah atas anugerah dan kecemerlangan yang diraih.

Semoga beliau terus membuktikan bahawa komitmen terhadap ilmu dan inovasi mampu melonjakkan kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi.