Hutan adalah warisan dan merupakan khazanah negara yang sangat berharga. Selain daripada hasil galian dan minyak yang merupakan sumber kekayaan negara, hutan sangat penting untuk kestabilan ekosistem alam. Hutan di Malaysia merupakan salah satu ekosistem hutan hujan yang tertua di dunia, dengan sejarah evolusi jutaan tahun. Hutan-hutan yang terdapat di Sabah dan Sarawak bukan sekadar kawasan hutan biasa, tetapi ia adalah khazanah hutan yang luar biasa yang usianya menjangkau ratusan tahun dan menyimpan segala khazanah berharga termasuk menjadi habitat kepelbagaian flora dan fauna yang berharga.
Umumnya mengetahui kepentingan hutan kepada kehidupan. Hutan sering kali dikaitkan sebagai paru-paru bumi. Ketika proses fotosistesis berlaku, tumbuh-tumbuhan akan membebaskan oksigen dan menyedut gas karbon dioksida. Selain fungsinya membekalkan oksigen, dalam masa yang sama tumbuhan berupaya untuk menyeimbangkan suhu bumi daripada terlampau panas akibat pemanasan global dan aktiviti manusia.
Gangguan terhadap eskosistem alam
Penebangan hutan secara tidak terkawal akan menyebabkan gangguan terhadap ekosistem alam. Kemusnahan hutan akan menyumbang dan menyebabkan berlakukan hakisan tanah, runtuhan tanah, sungai menjadi cetek, banjir besar, peningkatan suhu bumi, kehilangan habitat flora dan fauna, kematian dan kepupusan tumbuhan dan haiwan dan banyak lagi. Selain itu, penebangan hutan juga boleh menyumbang kepada kemusnahan kawasan tadahan hujan dan sebagainya.
Di Malaysia kemerosotan hutan sejak kebelakangan ini sering kali dikaitkan dengan aktiviti penebangan hutan bagi aktiviti pembangunan dan pertanian. Atas tiket pembangunan, hutan yang berusia ratusan tahun, akhirnya ranap dan musnah bagi memberi laluan kepada pembangunan negara. Rekod dunia menunjukkan keluasan hutan semakin merosot di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. Data hutan adalah sensitif dan dinamik dengan beberapa elemen antaranya seperti perubahan status guna tanah, termasuk penetapan dasar baharu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan memberi kesan kepada peningkatan serta pengurangan data hutan tahunan.
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengesahkan Malaysia masih mempunyai kawasan berhutan seluas 18.27 juta hektar atau 55.31 peratus daripada keluasan tanah negara sehingga 2018. Keluasan hutan membabitkan hutan simpanan kekal (HSK) seluas 10.92 juta hektar atau 33.06 peratus, kawasan perlindungan (PA) dan perlindungan sepenuhnya (TPA) sebanyak 3.31 juta hektar atau 10.01 peratus serta hutan berstatus tanah kerajaan ialah 4.04 juta hektar atau 12.24 peratus.
Data keluasan hutan yang dilaporkan oleh National Communication di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) menyatakan bahawa keluasan hutan adalah tidak termasuk keluasan ladang seperti getah, kelapa sawit dan lain-lain tanaman yang dianggap sebagai litupan pokok sahaja.
Hentikan pencerobohan hutan
Pencerobohan hutan harus dihentikan dengan segera. Hutan harus diselamatkan. Walau atas apa sahaja alasan atau tiket pembangunan, ia wajar dihentikan. Kita telah melihat begitu banyak kesan daripada penebangan hutan kepada manusia dan hidupan lain. Semakin banyak hutan ditebang, maka semakin banyak kita mengundang konflik kepada manusia dan alam sekitar. Kesan yang ketara sejak kebelakangan ini adalah banjir besar yang kerap berlaku di beberapa buah negari yang memperlihatkan air yang kekuningan dan mengandungi lumpur yang banyak. Ini mengambarkan seolah-olah berlaku sesuatu yang luar biasa di kawasan pedalaman hingga begitu banyak lumpur dibawa arus banjir yang deras.
Masyarakat harus sedar, bahawa pembangunan yang hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja adalah tidak berbaloi dengan mengorbankan kawasan hutan. Adalah tidak adil jika pihak yang kuat mengaut keuntungan. Manakala masyarakat yang lemah menanggung rugi.
Pengurusan hutan berteknologi tinggi
Pengurusan hutan adalah sangat penting, demi kelestarian alam sejagat. Walau bagaimanapun, liputan hutan yang luas dan bentuk muka bumi yang tidak sekata mengudang cabaran dalam pengurusannya. Pengurusan dan pengawalan kawasan hutan secara konvensional di Malaysia, perlu ditambah baik menggunakan teknologi terkini bagi mengawal dan menghalang pencerobohan hutan. Penggunaan teknologi bagi menganalisis keluasan kawasan berhutan seperti Geographical Information System (GIS), data geospatial dan imej satelit boleh membantu mengukuhkan cerapan data dapat memberi gambaran maklumat lebih tepat dan terperinci. Adalah diharapan dengan pengguna teknologi ini dapat membantu menyediakan data dan maklumat lebih tepat serta digunakan dalam membantu menambah baik pelaksanaan pengurusan hutan secara berkekalan di Malaysia.

Profesor Madya Dr. Haryati Shafii
Pensyarah Pengurusan Pembinaan
Penyelidik Utama Sustainable Construction,
Infrastructure and Environmental Management (CSIEM),
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
