JEPUN, 2 Mei 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencipta sejarah apabila sekumpulan pelajarnya berjaya meraih Naib Juara kategori Open Challenge: Presentation, Q&A and Demonstration of Robots’ Unique Capability dalam Pertandingan AI Robotik, RoboCup Japan Open 2025 anjuran ROBOCUP JAPAN REGIONAL COMMITTEE bertempat di Shiga Daihatsu Arena, Jepun.

Pasukan Kamerider Ascension yang terdiri daripada pelajar-pelajar tahun tiga Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) juga turut meraih tempat ketiga kategori Overall/Bridge Competition Education League.

Kejayaan tersebut disokong oleh penguasaan teknologi terkini seperti sistem AI Vision berasaskan Large Language Model yang membolehkan robot memahami pertuturan dan video seperti manusia, setanding dengan teknologi ChatGPT serta penggunaan Robot Operating System (ROS) untuk kawalan pergerakan robot dan model bahasa VOSK bagi kefahaman dan pertuturan.

Platform robot mudah alih yang digunakan adalah Jupiter Robot, hasil kolaborasi dengan Malaysia AI Robotics Society (MARS) dan pengarahnya, Profesor Dr. Jeffrey.

Kumpulan pelajar yang dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Abu Ubaidah Shamsudin dan Dr. Mimi Faisyalini Ramli itu terdiri daripada Muhammad Luqmanul Hakeem Ramli, Mohammad Fahmi Mohammad Sahir, Muhammad Mustaqim Jamaluddin dan Muhammad Syahmi Aiman Mohd Ali.

Sementara itu, Dekan FKEE, Profesor Ts. Dr. Asmarashid Ponniran menyifatkan pencapaian itu sebagai cerminan keberkesanan inisiatif Program GRITT dan Misi Holistik UTHM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, inovatif dan bersedia menggalas cabaran teknologi masa depan.

“Ini bukan sekadar kemenangan, tetapi permulaan kepada kebangkitan generasi jurutera masa hadapan,” katanya.