Dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi, ekonomi digital telah menjadi salah satu pemacu utama perubahan dalam landskap ekonomi global. Ekonomi digital merupakan aktiviti ekonomi yang menghubungkan individu, perniagaan, peranti, data dan operasi melalui teknologi digital. Ia merangkumi transaksi dalam talian merentasi pelbagai sektor dan teknologi, seperti Internet, teknologi mudah alih, data besar, serta teknologi maklumat dan komunikasi. Terkini, ekonomi yang dipacu oleh teknologi digital dan internet, termasuk e-dagang, media digital dan pelbagai aplikasi teknologi telah lahir dan berkembang dengan pantas didorong oleh inisiatif transformasi pendigitalan, peningkatan infrastruktur digital dan peningkatan perkhidmatan yang berkaitan . Salah satu elemen penting dalam ekonomi digital ialah peranan media digital yang semakin berkembang pesat, membuka ruang kepada pelbagai jenis pekerjaan baharu yang sebelum ini tidak pernah wujud.

Media digital telah membuka banyak peluang pekerjaan baharu di Malaysia, didorong oleh sokongan dan inisiatif kerajaan dalam memajukan ekonomi digital. Kerajaan memperkenalkan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan MyDIGITAL bagi memperluaskan akses internet serta mempercepat transformasi digital dalam pelbagai sektor, sekali gus mewujudkan pekerjaan dalam bidang teknologi digital, kandungan kreatif dan ekonomi gig. Selain itu, melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), kerajaan menawarkan program seperti Global Online Workforce (GLOW) yang melatih rakyat menjadi pekerja bebas dalam ekonomi digital, serta memberikan insentif kepada syarikat dalam industri animasi, e-sukan dan pemasaran digital.

Dalam sektor e-dagang, program seperti eUsahawan, Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce membantu usahawan tempatan beralih ke platform digital, mencipta peluang pekerjaan dalam pemasaran digital, pengurusan laman web dan pembangunan aplikasi e-dagang. Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk membantu usahawan tempatan beralih ke platform digital dan memperluaskan jangkauan pasaran mereka. Program seperti eUsahawan, Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce memainkan peranan penting dalam memberi latihan, bimbingan serta insentif kepada para peniaga untuk meningkatkan daya saing mereka dalam ekonomi digital.

Melalui program eUsahawan, usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberikan pendedahan kepada strategi pemasaran digital yang berkesan, termasuk penggunaan media sosial, analisis data pelanggan, serta teknik pengiklanan dalam talian. Program ini bertujuan untuk membangunkan kemahiran keusahawanan digital dalam kalangan rakyat Malaysia dan memastikan mereka dapat bersaing dalam pasaran yang semakin berkembang. Sementara itu, Shop Malaysia Online memberi tumpuan kepada galakan penggunaan platform e-dagang melalui pelbagai insentif seperti baucar diskaun, subsidi penghantaran dan kempen promosi yang melibatkan pelbagai pasar raya dalam talian. Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan pembeli untuk berbelanja secara digital tetapi juga membantu perniagaan tempatan meningkatkan jualan mereka secara signifikan. Dalam masa yang sama, Go-eCommerce menyediakan sumber pembelajaran dan sokongan kepada usahawan yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka dalam talian. Melalui platform ini, usahawan dapat mengakses modul latihan, panduan teknikal serta sokongan daripada pakar industri untuk memahami aspek seperti pengurusan laman web, automasi perniagaan dan pembangunan aplikasi e-dagang.

Kesemua inisiatif ini bukan sahaja mempercepatkan transformasi digital dalam sektor perniagaan tempatan tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang seperti pemasaran digital, pengurusan laman web dan pembangunan aplikasi e-dagang. Dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan teknologi digital, semakin ramai individu dapat menceburi industri ini, antaranya ialah sebagai pereka grafik, pakar pengoptimuman enjin carian (SEO), pengurus media sosial serta pembangun perisian.

Ekonomi gig turut berkembang dengan sokongan kerajaan melalui perlindungan sosial seperti Perlindungan Sosial Pekerja Gig oleh PERKESO, memberi manfaat kepada pemandu e-hailing, penghantar makanan dan freelancer digital. Selain itu, kerajaan memperkenalkan program Digital Skills Training Directory dan Malaysia Tech Entrepreneur Program (MTEP) untuk membekalkan kemahiran digital kepada belia dan pekerja, membolehkan mereka menceburi bidang seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data dan pembangunan perisian. Dengan pelbagai inisiatif ini, lebih ramai rakyat Malaysia dapat memanfaatkan teknologi digital untuk membina kerjaya dan menjana pendapatan dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.

Media digital, yang merangkumi platform seperti media sosial, laman web dan aplikasi mudah alih, telah mencipta ekosistem baharu untuk perniagaan dan individu. Melalui media digital, peluang pekerjaan baharu seperti pencipta kandungan (content creator), pengurus media sosial, pakar pemasaran digital dan pereka grafik digital telah berkembang pesat. Contohnya, pencipta kandungan kini menjadi salah satu kerjaya popular, yang mana individu menggunakan platform seperti YouTube, Instagram dan TikTok untuk berkongsi video, foto dan maklumat yang relevan kepada penonton atau audiens mereka.

Selain itu, pengurus media sosial kini menjadi tulang belakang bagi banyak syarikat dalam mengurus kehadiran mereka di dunia maya. Tugas ini merangkumi strategi pemasaran, berinteraksi dengan pelanggan dan memantau data analitik untuk meningkatkan prestasi kempen dan pemasaran. Kepentingan media sosial sebagai saluran pemasaran utama telah menyebabkan permintaan tinggi terhadap individu yang mahir dalam bidang ini.

Ekonomi digital juga memperkenalkan konsep pekerjaan fleksibel, yang mana individu boleh bekerja dari mana-mana sahaja dengan hanya memerlukan sambungan internet. Contohnya, “freelancer” dalam bidang reka bentuk grafik, penulisan atau pembangunan perisian kini boleh menawarkan perkhidmatan mereka kepada pelanggan di seluruh dunia. Platform dalam talian seperti Fiverr, Upwork dan Freelancer telah menjadi jambatan penghubung antara pekerja bebas dan majikan tempatan atau global, ini telah menjadikan sempadan geografi bukan lagi halangan.

Selain pekerjaan langsung, media digital juga mendorong pertumbuhan dalam sektor pendidikan digital. Kursus dalam talian seperti yang ditawarkan oleh Coursera, Udemy dan Skillshare membolehkan individu mempelajari kemahiran baharu yang berkaitan dengan ekonomi digital. Dengan itu, lebih ramai individu dapat mempersiapkan diri untuk memasuki pasaran kerja yang semakin berubah. Sebagai contoh, kursus dalam bidang seperti analitik data, pemasaran digital dan kecerdasan buatan kini sangat diminati kerana relevansinya dalam dunia digital.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi digital dan media digital juga membawa cabaran tersendiri. Isu seperti keselamatan data, eksploitasi pekerja bebas dan ketidakseimbangan akses kepada teknologi masih menjadi perhatian. Oleh itu, kerajaan, sektor swasta dan individu perlu bekerjasama untuk memastikan perkembangan ekonomi digital yang inklusif dan mampan.

Secara keseluruhannya, media digital telah membuka ruang kepada pelbagai jenis pekerjaan baharu yang memberi manfaat besar kepada individu dan ekonomi secara keseluruhannya. Dengan inovasi teknologi yang terus berkembang, peluang dalam ekonomi digital dijangka akan terus meningkat. Masyarakat perlu mengambil peluang ini dengan mempelajari kemahiran baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dunia pekerjaan. Ekonomi digital bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan, tetapi juga mencipta persekitaran yang dinamik dan inovatif untuk generasi akan datang.

Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar

Pensyarah Kanan

Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)