Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) antara universiti awam yang menjadi penyumbang kepada pembangunan teknologi tahap tinggi bagi keperluan industri kritikal seperti makanan, pengangkutan, pertahanan dan perubatan. Penganjuran LIMA’25 terus mempamerkan sektor industri tahap tinggi kritikal negara iaitu pertahanan, aeroangkasa dan merin. Setiap sektor menuntut kolaborasi terpandu universiti bersama industri bagi memberi impak dan nilai tinggi untuk negara mahupun dunia.
Pasukan penyelidik UTHM tidak ketinggalan untuk turut serta dalam membangunkan komponen senjata utama untuk latihan ketenteraan bersama Syarikat ATSC iaitu sebuah syarikat yang mempelopori teknologi pertahanan negara. Inisiatif ini diambil setelah menyedari betapa penting untuk sebuah universiti melihat peranan insitusi pendidikan tinggi dalam menjadi pusat penghasilan bakat dan teknologi bagi sektor industri tahap tinggi kritikal seperti pertahanan, aeroangkasa dan marin.
Umum mengetahui bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan satu bidang ilmu yang memerlukan kemahiran dan pengetahuan bagi menghasilkan bakat yang memenuhi kehendak pasaran negara dan global. Penghasilan bakat daripada aliran TVET adalah pelbagai. Namun bagi memenuhi pasaran kerja industri tahap tinggi dan kritikal, program kemahiran aliran TVET memerlukan suntikan pengetahuan dan teknologi terkini mahupun futuristik.
Justeru itu, terma yang bersesuaian adalah TVET termaju yang menghubungkan kemahiran teknologi sedia ada dan kemahiran teknologi mendatang serta ilmu pengetahuan pada masa hadapan. Pengalaman penulis semasa meninjau pameran LIMA 2025 mendapati, industri teknologi tahap tinggi memerlukan tenaga kerja mahir dengan teknologi terkehadapan. TVET termaju mampu melahirkan ramai graduan TVET bersesuaian bagi memenuhi keperluan industri aeroangkasa seperti penghasilan komponen pesawat airbus mahupun boeing.
Melihat kepada model ‘supply and demand’ dan senario dalam peningkatan penghasilan pesawat bagi tujuan pertahanan mahupun umum, terbukti bahawa institusi akademik aliran TVET perlu anjakan dalam konteks kemahiran, teknologi, penyelidikan, inovasi dan juga komersil. Apabila perlu fokus kepada kemahiran teknologi, sudah pasti TVET termaju mempunyai atribut seperti komponen kecerdasan buatan (AI), Industri Internet of Things (IIOT), keselamatan siber dan teknologi terpecaya. Pendek kata, graduan TVET mesti dilengkapi dengan kompetensi kecerdasan buatan, pengetahuan teknologi terkini seperti IIOT, kepintaran mekatronik dan keselamatan siber untuk berkelayakan menjadi jurutera teknologi di syarikat gergasi penghasilan komponen pesawat seperti SMEAero, ATSC dan Airbus.
Penghasilan bakat TVET termaju dapat ditingkatkan dengan penyelidikan kolaborasi universiti dan industri. Pembangunan bank Solusi Industri Kritikal (Bank of Solutions for Critical Industry) penting supaya dapat mengenalpasti cabaran teknologi bidang berkaitan serta solusi yang bersesuaian.
Dengan lebih terperinci, Bank Solusi Industri Kritikal mengumpulkan produk penyelidikan dan solusi inovasi dari institusi pendidikan tinggi dipetakan kepada keperluan dalam cabaran bidang berkaitan iaitu industri pertahanan, aeroangkasa dan marin. Penghasilan Bank Solusi ini memerlukan hubungan kerjasama antara universiti dan pusat penyelidikan pertahanan seperti stride serta industri berkaitan.
Kesimpulannya, kerjasama pelbagai pihak dalam meningkatkan sektor industri tahap tinggi kritikal negara berada di landasan yang amat tepat. Pendekatan kerajaan melonjakkan aliran TVET amat bersesuaian dengan kehendak perubahan sektor ekonomi negara dan dunia. Namun bagi setengah sektor industri tahap tinggi kritikal, lonjakan TVET kepada TVET termaju amat penting. Selain itu kolaborasi terpandu merancakkan aliran ini melalui penyelidikan dan inovasi. Pendek kata bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Model Quadruple Helix gabungan agensi kerajaan, universiti dan industri mampu melonjakkan bidang ini seterusnya melonjakkan tiga industri utama tahap tinggi kritikal negara. Industri tersebut menjadi pentas utama LIMA’25 terutama dalam bidang pertahanan, aeroangkasa dan marin. Semoga Malaysia terus terbilang dan lebih pantas dari masa.

Datuk Md Jais Haji Sarday
Ahli Lembaga Pengarah
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
