Seramai 402,956 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut yang dilaksanakan di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara. Keputusan SPM dianggap sebagai penentu hala tuju masa depan, sama ada meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, memasuki alam pekerjaan, mahupun menyertai latihan kemahiran.
Pengumuman keputusan ini menjadi titik permulaan bagi calon merancang masa depan mereka. Dalam era yang berteraskan teknologi, pemilihan laluan selepas SPM amat penting agar selari dengan keperluan IR 4.0.
Semua calon boleh memohon program Asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda di 20 universiti awam, 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan empat Institusi Latihan Kemahiran Awam berdasarkan kelayakan yang ditetapkan.
Dalam era IR 4.0, landskap pekerjaan berubah dengan pantas, dipacu oleh kemajuan teknologi seperti AI, Internet Kebendaan, automasi dan data raya. Teknologi baharu ini memberi kesan ketara terhadap tenaga kerja masa depan dengan kemahiran tradisional akan digantikan oleh kemahiran digital dan teknikal yang lebih tinggi.
Justeru, lepasan SPM perlu bijak dalam memilih jurusan pengajian supaya tidak tersasar daripada keperluan pasaran kerja masa depan yang semakin kompetitif dan berteraskan teknologi baharu.
Pemilihan jurusan pengajian yang tepat bukan sahaja membuka lebih banyak peluang kerjaya, malah menjadi asas kepada kestabilan kewangan dan kesejahteraan hidup dalam jangka panjang. Dalam konteks IR 4.0, jurusan yang berkaitan dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semakin mendapat tempat kerana sektor ini merupakan nadi utama pembangunan teknologi masa kini.
Bidang seperti kejuruteraan perisian, analitik data, keselamatan siber dan kejuruteraan automasi antara jurusan yang diramal mengalami pertumbuhan tinggi dari segi permintaan kerja. Oleh itu, lepasan SPM harus mengutamakan bidang-bidang ini agar tidak tercicir dalam arus perkembangan ekonomi digital global.
Namun begitu, tidak semua pelajar cenderung kepada bidang teknikal semata-mata. Dalam ekosistem IR 4.0 yang kompleks, turut wujud keperluan terhadap jurusan bukan teknikal yang berkait rapat dengan teknologi, contohnya pemasaran digital, pengurusan teknologi dan inovasi perniagaan.
Pelajar yang berminat dengan komunikasi, psikologi, mahupun kesenian, boleh memilih jurusan yang mengintegrasikan elemen digital dan teknologi. Sebagai contoh, bidang seperti reka bentuk grafik digital, animasi 3D dan pengurusan kandungan digital, semakin berkembang dan mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran kerja yang dipacu teknologi hari ini.
Selain itu, pemilihan jurusan juga harus disandarkan kepada minat dan kebolehan individu. Kecanggihan teknologi hari ini membuka pelbagai peluang kepada pelajar untuk menyesuaikan minat mereka dengan keperluan industri. Misalnya, seorang pelajar yang minat dalam seni boleh menceburi bidang reka bentuk digital atau seni interaktif; sementara pelajar yang meminati perniagaan boleh memilih bidang e-dagang atau kewangan digital.
Kemampuan untuk menggabungkan minat dengan kemahiran digital adalah aset penting dalam membina kerjaya yang fleksibel, relevan dan mampan dalam jangka masa panjang. Oleh itu, penting bagi lepasan SPM untuk mendapatkan maklumat yang tepat, terkini dan menyeluruh berkenaan jurusan dan prospek kerjaya yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi dan agensi pekerjaan.
Tambahan pula, pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) juga merupakan satu laluan kerjaya yang sangat signifikan dalam IR 4.0. Ramai yang masih beranggapan bahawa TVET adalah laluan ‘kelas kedua’ berbanding pengajian akademik, sedangkan realitinya, graduan TVET kini semakin mendapat tempat dalam pelbagai industri yang memerlukan kemahiran teknikal tinggi.
Jurusan seperti automasi industri, penyelenggaraan mesin, serta teknologi makanan dan pertanian pintar sangat relevan dalam era ini. Dengan adanya pelbagai inisiatif kerajaan untuk memperkasa pendidikan TVET melalui pengiktirafan antarabangsa dan kerjasama industri, pelajar yang memilih laluan ini tidak hanya terhad kepada kerja-kerja teknikal semata-mata, malah berpotensi menjadi usahawan industri.
Dalam masa yang sama, kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, pemikiran kritis, kreativiti dan kerja berpasukan kekal penting dalam mana-mana bidang kerjaya. Dalam IR 4.0, mesin mungkin mampu menggantikan banyak kerja rutin, namun kemahiran manusia dalam menyelesaikan masalah kompleks dan membuat keputusan strategik tidak dapat diganti sepenuhnya.
Oleh itu, pelajar perlu mengimbangi pemilihan jurusan dengan pembangunan kemahiran insaniah yang menyeluruh. Institusi pengajian tinggi dan kolej vokasional kini banyak menekankan pembelajaran berasaskan projek dan kolaborasi industri untuk membina kemahiran ini dalam kalangan pelajar sejak awal.
Satu lagi aspek yang penting dalam membuat pilihan jurusan ialah kebolehan menjangkakan arah aliran pekerjaan masa hadapan. Menurut laporan dari World Economic Forum (WEF), sekitar 92 juta pekerjaan akan hilang secara global pada tahun 2030, tetapi sebanyak 170 juta pekerjaan baharu akan wujud. Ini menunjukkan bahawa pelajar harus bersedia dan sentiasa bersedia belajar semula dan menambah kemahiran baru sepanjang kerjaya mereka.
Dasar kerajaan seperti Dasar Revolusi Industri Keempat Nasional (4IR) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) menyediakan hala tuju yang jelas kepada pembangunan modal insan berasaskan teknologi. Inisiatif seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan program kerjasama antara universiti dan industri memberikan peluang kepada pelajar untuk mendapatkan latihan praktikal dan pensijilan industri yang meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Oleh itu, lepasan SPM harus mengambil peluang ini untuk menyertai kursus jangka pendek, program pensijilan atau program sambilan semasa pengajian untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran yang kompetitif.
Selain itu, ibu bapa, guru kaunseling, dan pihak sekolah juga memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar memilih jurusan yang sesuai. Dalam dunia yang semakin kompleks ini, pendedahan awal kepada kerjaya masa depan, lawatan industri, program mentor, serta simulasi kerjaya digital boleh membantu pelajar memilih jurusan yang tepat.
Dalam banyak kes, pelajar memilih jurusan hanya berdasarkan pengaruh rakan sebaya atau desakan ibu bapa tanpa memahami realiti industri sebenar. Keputusan ini akhirnya membawa kepada kadar pengangguran siswazah yang tinggi dan ketidakpadanan kemahiran di pasaran kerja.
Penyediaan maklumat kerjaya dan jurusan secara dalam talian dalam bentuk interaktif juga dapat membantu pelajar memahami laluan kerjaya yang pelbagai dan dinamik dalam IR 4.0.
Akhir sekali, lepasan SPM perlu dididik bahawa kejayaan kerjaya bukan sekadar bergantung kepada jurusan yang dipilih, tetapi kepada sikap, komitmen dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. Dunia pekerjaan hari ini bukan lagi linear, seseorang mungkin bermula dalam bidang kejuruteraan, dan berakhir dalam bidang perniagaan digital atau menjadi pereka kandungan.
Oleh itu, jurusan yang dipilih hari ini perlu dijadikan sebagai pintu masuk kepada dunia pembelajaran sepanjang hayat dan bukan sekadar tiket untuk mendapat kerja.
Kesimpulannya, lepasan SPM perlu memilih jurusan secara bijak dengan mengambil kira prospek kerjaya masa hadapan, kebolehan dan minat individu, serta keperluan industri dalam era IR 4.0. Pilihan yang tepat bukan sahaja membentuk masa depan yang terjamin, malah menyumbang kepada pembinaan negara yang berdaya saing dalam pasaran global.
Oleh itu, setiap lepasan SPM perlu dibimbing dan dilengkapi dengan maklumat serta pendedahan yang mencukupi bagi mereka memilih jurusan yang mampu membina masa depan yang gemilang dalam dunia yang mencabar.

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 16), 1 Mei 2025: Lepasan SPM perlu bijak pilih jurusan era IR 4.0

2. Utusan (utusan.com.my), 1 Mei 2025: Lepasan SPM perlu bijak pilih jurusan era IR 4.0
