Oleh Noor Farhanah Mohamad Amin
PAGOH – Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih gelaran ‘Juara Keseluruhan’ setelah menumpaskan dua lawannya ketika menyertai Kejohanan Sukan Antara Kolej Kediaman (SUKOL) 2025 yang diadakan pada 17 dan 18 Mei 2025 lalu bertempat di sekitar Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP).
Kejohanan anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti (PSKU) dan KKKP selaku tuan rumah itu melibatkan penyertaan 400 atlet yang bertanding dalam tujuh acara iaitu Boling Padang, Renang, Ping Pong, Aerodance, Catur, Olahraga dan Futsal.
KKKP yang dinobatkan sebagai ‘Juara Keseluruhan SUKOL 2025’ berjaya mengutip 13 pingat emas, enam perak dan 13 gangsa.
Manakala tempat kedua diraih oleh Kolej Kediaman Dalam Kampus (KKDK) dengan kutipan 10 pingat emas, 10 perak dan lima gangsa.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Kolej Kediaman Luar Kampus (KKLK) dengan kutipan tujuh pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa.
Untuk rekod, SUKOL merupakan platform penting dalam pencarian bakat baharu dalam kalangan pelajar untuk persediaan menghadapi kejohanan anjuran Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Majlis Peluncuran SUKOL 2025 yang diadakan pada 16 Mei 2025 lalu bertempat di Dewan Konvensyen HPTP telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Afandi Ahmad, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh.
Manakala majlis penutup yang berlangsung pada 18 Mei pula disempurnakan oleh Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor.
Hadir sama, Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Menjalankan Fungsi Naib Canselor UTHM; Sr. Dr. Anuar Mohd Salleh, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti; Dr. Mohd Nizam Attan, Pengetua KKDK merangkap Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Kediaman; Ts. Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh, Pengetua KKKP serta Noreina Kepal @ Nasir, Pengetua KKLK.
Sementara itu, PSKU mewakili UTHM turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta yang telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.
“Penganjuran SUKOL diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menggilap potensi dan bakat pelajar dalam bidang sukan serta memupuk budaya bersukan dalam kalangan warga universiti,” kata Dr. Anuar.




