Kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) kini menjadi nadi kepada pelbagai sektor kehidupan moden. Teknologi AI dapat mempercepatkan pelbagai tugasan yang dahulunya memerlukan masa yang panjang serta kemahiran yang tinggi. Teknologi AI digunakan dengan meluas dalam sektor pendidikan, kesihatan, perkilangan mahupun hiburan. Sebagai contoh, dalam sektor hiburan, penghasilan imej, video serta suara yang kelihatan tulen kini boleh dilakukan dengan mudah melalui peranti mudah alih dan aplikasi percuma.

Namun, di sebalik segala kemudahan dan kecanggihan ini, teknologi AI turut membuka ruang kepada penyalahgunaannya. Tanpa sempadan moral atau etika, teknologi yang sepatutnya membawa manfaat kini dijadikan alat untuk mengeksploitasi, menjatuhkan maruah serta memusnahkan kehidupan seseorang. Sebelum ini, telah tular penyebaran gambar lucah palsu pelajar sekolah yang diedit menggunakan teknologi AI dan dijual di media sosial pada harga serendah RM2, menunjukkan dengan nyata betapa seriusnya ancaman penyalahgunaan teknologi AI.

AI: Pemacu Revolusi atau alat memfitnah?

Teknologi AI seperti deepfake membolehkan wajah individu ditampal ke dalam kandungan lucah dengan begitu meyakinkan. Jika perbuatan seumpama ini tidak ditangani dengan segera, ia akan menyumbang kepada kerosakan sosial yang besar. Dalam kes seperti ini, individu yang menjadi  mangsa sukar atau tidak dapat membuktikan bahawa mereka tidak terlibat kerana masyarakat sudah lebih dahulu membuat penghakiman berdasarkan kandungan yang kelihatan tulen.

Ini menjadikan AI sebagai senjata siber baharu yang mampu memusnahkan maruah individu tanpa sebarang sentuhan fizikal. Malah, pelaku jenayah ini hanya memerlukan beberapa minit untuk menghasilkan kandungan berbentuk seksual terhadap sesiapa sahaja dengan menggunakan gambar mangsa yang diambil dari profil media sosial atau sebarang jejak digital.

Kesan kepada mangsa: Lebih daripada sekadar aib

Walaupun imej tersebut adalah palsu, kesan terhadap mangsa adalah nyata. Antara implikasi yang dihadapi termasuklah:

Trauma emosi dan tekanan psikologi – Mangsa mengalami gangguan emosi, ketakutan dan rasa malu yang mendalam apabila wajah mereka dipaparkan dalam konteks yang tidak senonoh.

Stigma sosial dan pengasingan – Mangsa akan dijauhi oleh rakan-rakan atau kenalan dan mungkin ahli keluarga akibat tanggapan negatif masyarakat.

Kemusnahan masa depan – Penyebaran bahan palsu ini boleh menjejaskan peluang akademik, kerjaya serta kepercayaan orang ramai terhadap individu yang menjadi mangsa.

Eksploitasi dan ugutan – Terdapat kes yang mana pelaku menggunakan bahan palsu ini untuk memeras ugut mangsa agar memberikan sejumlah wang jika tidak mahu bahan palsu ini disebarkan.

Apa yang  lebih membimbangkan, bukan sahaja mangsa yang terjejas tetapi seluruh ahli keluarga juga turut menanggung beban dan kesan negatif akibat penyebaran bahan palsu ini. Dalam masyarakat Malaysia yang sangat mementingkan nilai kekeluargaan dan maruah, kejadian sebegini merupakan suatu tamparan hebat dan tidak boleh diterima oleh keluarga.

Undang-undang: Cukupkah untuk lindungi rakyat?

Malaysia mempunyai beberapa peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk menangani jenayah digital dan eksploitasi seksual seperti ini. Antaranya ialah:

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 233) – Tindakan boleh diambil terhadap pihak yang menyalahgunakan kemudahan rangkaian (internet) sekiranya mereka menyebarkan bahan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, jelik atau mengancam kesejahteraan awam.

Kanun Keseksaan (Seksyen 292 dan 509) – Menangani perbuatan mengaibkan serta penyebaran bahan lucah.

Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 – Melindungi golongan di bawah umur daripada eksploitasi seksual secara digital.

Namun begitu undang-undang ini tidak cukup khusus untuk menangani jenayah yang dilakukan hasil penyalahgunaan teknologi AI. Tiada definisi perundangan khusus untuk kandungan deepfake, penyebaran kandungan sintetik atau pemalsuan wajah dalam konteks digital. Di samping itu, proses perundangan sering kali lambat, manakala pelaku bijak menggunakan saluran sukar dikesan seperti akaun palsu dan aplikasi media sosial yang tidak dikawal selia oleh  kerajaan.

Pendidikan digital: Bukan sekadar lindungi mangsa, tetapi juga cegah pelaku

Satu pendekatan penting dalam menangani isu ini ialah pendidikan dan kesedaran. Ramai dalam dalam kalangan pelajar dan remaja tidak menyedari bahawa suntingan wajah untuk tujuan lucu atau gurauan sebenarnya boleh dikategorikan sebagai jenayah siber jika ia menyentuh isu maruah dan seksual. Justeru itu, penting untuk mewujudkan kempen kesedaran yang melibatkan seluruh masyarakat, bukan sekadar melindungi bakal mangsa tetapi juga mendidik agar individu tidak menjadi pelaku.

Kerajaan dan pihak berkuasa juga digesa untuk melaksanakan program kesedaran secara menyeluruh di sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat. Ini boleh dilakukan melalui pengenalan kurikulum pendidikan moral dan keselamatan digital, ceramah, kempen dan bengkel literasi digital. Program-program ini boleh dilaksanakan dengan kerja sama badan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti setempat.

Selain itu, perlu juga ada satu saluran aduan yang mudah diakses yang membolehkan mangsa melaporkan insiden penyalahgunaan AI tanpa rasa takut atau malu. Pelindungan identiti mangsa dan tindakan segera terhadap pelaku akan memberikan isyarat jelas bahawa negara tidak berkompromi terhadap jenayah ini.

Saranan kepada kerajaan

Untuk membendung penyalahgunaan teknologi AI secara lebih berkesan, kerajaan disaran mempertimbangkan langkah antaranya menggubal undang-undang khas berkaitan penyalahgunaan AI dan kandungan deepfake termasuk hukuman penjara dan denda yang lebih berat. Selain itu kerajaan perlu menubuhkan agensi pemantau AI nasional yang bertanggungjawab terhadap pematuhan etika, penyelidikan dan aduan penyalahgunaan. Manakala platform digital dan media sosial perlu diwajibkan untuk memperkenalkan sistem pengesanan serta pelaporan automatik terhadap kandungan lucah palsu atau disunting. Kerajaan juga perlu melabur dalam pembangunan teknologi pertahanan AI nasional untuk menjejak, menghalang dan memadam kandungan yang bersifat eksploitasi. Di samping itu, kempen literasi digital kebangsaan yang menyasarkan golongan muda serta ibu bapa perlu digiatkan bagi membantu masyarakat memahami risiko dan tanggungjawab dalam dunia digital.

Kesimpulannya, kita tidak boleh menolak kemajuan teknologi, tetapi kita mesti memastikan teknologi digunakan secara beretika. Penyalahgunaan AI bukan lagi perkara masa hadapan kerana ia telah berlaku dan sedang memberi kesan mendalam kepada mangsa, keluarga dan masyarakat. Sekiranya tiada tindakan konkrit diambil, kita bakal menyaksikan generasi yang trauma, hilang arah dan tidak mempercayai keselamatan dunia digital. Maka, seluruh ekosistem daripada pembuat dasar, pendidik, penguatkuasa dan masyarakat  harus bersatu menangani cabaran ini dengan segera dan berkesan.

 

 

Dr. Zubaile Abdullah

Pensyarah Kanan

Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)