Setiap kali tanggal 16 Mei menjelang, kita diingatkan akan jasa besar para pendidik yang telah menjadi obor perjalanan bangsa sejak sebelum merdeka hingga ke era Malaysia Madani hari ini. Sambutan Hari Guru 2025 yang bertemakan “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” bukan sekadar penghormatan kepada guru masa kini, tetapi juga pengiktirafan terhadap guru-guru terdahulu yang telah mengasaskan tapak kukuh bagi kemajuan negara.
Jika hari ini Malaysia berdiri sebagai negara membangun yang pesat dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, teknologi, pendidikan dan sosial, itu adalah sebahagian daripada hasil didikan, bimbingan dan pengorbanan generasi guru masa lalu. Mereka tanpa lelah mendidik dalam keadaan serba kekurangan seperti di kelas berdinding papan dan berlantai tanah namun tetap cekal membina jiwa merdeka dalam kalangan anak bangsa.
Guru terdahulu merupakan arkitek awal yang mencorak pemikiran kebangsaan, memupuk semangat patriotik, serta menyemai benih nilai murni dalam generasi pasca-kolonial. Mereka bukan sekadar mengajar membaca dan menulis, tetapi turut membangunkan kesedaran rakyat terhadap makna kemerdekaan, erti tanggungjawab dan pentingnya ilmu sebagai jalan keluar daripada kemiskinan dan kejahilan.
Kesinambungan ini diteruskan oleh guru masa kini yang menggalas cabaran berbeza iaitu mendidik generasi digital, menyesuaikan diri dengan perubahan kurikulum, serta menghasilkan pelajar holistik dalam ekosistem pendidikan yang semakin kompleks. Dalam konteks ini, guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi menjadi pemimpin pembelajaran (learning leaders), fasilitator sahsiah dan ejen pembudayaan nilai sejagat.
Sebagai pemacu reformasi pendidikan, guru perlu tangkas menyesuaikan diri dengan perubahan paradigma – daripada pedagogi konvensional kepada pendekatan berpusatkan pelajar, daripada bilik darjah fizikal kepada pembelajaran digital, dan daripada penilaian berasaskan peperiksaan kepada pemupukan kemahiran insaniah dan kebolehpasaran. Perubahan ini bukan mudah, dan memerlukan latihan berterusan, dasar yang menyokong, serta pengiktirafan terhadap kepakaran guru sebagai profesional pendidikan.
Dalam mendepani arus perubahan ini, aspek kesejahteraan guru tidak boleh diabaikan. Guru yang dihormati dan disokong oleh masyarakat akan lebih bersedia memainkan peranan sebagai agen perubahan. Justeru, agenda reformasi pendidikan mesti turut mempertimbangkan beban kerja, peluang peningkatan profesional dan keseimbangan antara kerjaya serta kehidupan peribadi guru.
Walau zaman berubah, teras keguruan tetap kekal iaitu keikhlasan mendidik, kesabaran membimbing dan semangat membina insan. Kredibiliti seorang guru tidak hanya diukur melalui kelulusan akademik atau pensijilan profesional, tetapi pada kesungguhan untuk terus belajar, berinovasi dan menyentuh kehidupan pelajar secara bermakna.
Sumbangan guru kepada kemenjadian murid tidak terhad kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Ia mencakupi pembentukan karakter, jati diri dan keupayaan pelajar menjadi warganegara bertanggungjawab, beretika serta menyumbang kepada masyarakat. Dalam konteks Malaysia Madani, peranan guru menjadi semakin strategik iaitu membina asas negara yang progresif tetapi berakar pada nilai dan adab.
Guru turut menyimpan harapan agar pelajar tampil dengan semangat ingin tahu, menghormati ilmu dan menjunjung nilai murni. Dalam masa yang sama, guru mengharapkan masyarakat menghargai profesion perguruan, bukan hanya pada hari sambutan, tetapi secara berterusan menerusi sokongan dasar, pembangunan profesional dan kesejahteraan emosi warga pendidik.
Kita harus sedar, reformasi pendidikan tidak mungkin berlaku tanpa menyokong guru sebagai jantung sistem. Mereka bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi pencorak masa depan negara. Oleh itu, usaha meningkatkan martabat guru wajar menjadi agenda nasional yang berterusan.
Akhir kata, Hari Guru bukan sekadar hari memberi ucapan atau hadiah, tetapi hari merenung hakikat bahawa tanpa guru, tiada masa hadapan bagi masyarakat dan negara. Sesungguhnya, guru telah, sedang dan akan terus menjadi pemacu utama kepada kemajuan Malaysia dari generasi ke generasi.

Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa
Jabatan Sains Sosial
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
