Oleh Prof. Madya Dr. Fadillah Ismail

KULAI – Seramai 147 pelajar dan 12 guru Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra (STARP), Kulai telah menyertai program “Jom Explore Data dengan SPSS” anjuran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 22 April 2025 lalu.

Sebagai sebuah universiti teknikal yang berteraskan teknologi dan kejuruteraan, UTHM terus memperkasa usaha mendekatkan pelajar prauniversiti dengan kemahiran analitik dan penyelidikan digital yang relevan dengan keperluan masa kini.

Program iTU telah dilaksanakan dengan penglibatan 18 pensyarah dan 14 fasilitator pelajar tahun akhir FPTP, bertujuan memperkukuh kecekapan teknologi dan literasi data pelajar melalui penggunaan perisian analisis statistik SPSS.

Selari dengan kehendak kerja kursus STPM yang menyumbang 50 peratus kepada penilaian akademik, bengkel ini disusun berasaskan pendekatan aplikasi pembelajaran berimpak tinggi.

Pelajar diberi pendedahan menyeluruh kepada asas penyelidikan dan latihan praktikal SPSS, merangkumi input data, analisis deskriptif, serta interpretasi output secara visual dan sistematik.

Pengalaman pembelajaran yang interaktif ini bukan sahaja meningkatkan literasi data pelajar, malah mengukuhkan keberkesanan misi pemindahan ilmu antara universiti dan komuniti setempat.

Kejayaan program itu turut membawa kepada termeterainya Letter of Intent (LoI) antara UTHM dan SMK Tunku Abdul Rahman Putra (STARP), sebagai simbol komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang akademik dan penyelidikan berasaskan teknologi.

Berinspirasikan aspirasi Malaysia MADANI, UTHM terus memperteguh peranannya sebagai peneraju pendidikan TVET yang memfokuskan kepada penguasaan teknologi, celik data dan kebolehpasaran graduan, sejajar dengan keperluan industri semasa dan cabaran era digital.