Cadangan untuk menaikkan had usia persaraan kepada 65 tahun telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat, ahli ekonomi, pakar dasar awam dan kesatuan pekerja. Usul ini bukan sekadar satu perubahan angka, tetapi turut melibatkan pelbagai aspek sosioekonomi, kesihatan, produktiviti, peluang pekerjaan, serta kesejahteraan golongan muda dan warga emas. Oleh itu, perlu satu kajian yang teliti dan holistik perlu dilakukan sebelum pelaksanaannya agar ia memberi manfaat jangka panjang kepada negara.

Malaysia kini berada di ambang menjadi negara menua, dengan 15% penduduk dijangka berumur 60 tahun ke atas menjelang 2030. Oleh itu, menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun dilihat sebagai langkah bersedia menghadapi cabaran ini. Jangka hayat rakyat Malaysia juga semakin panjang, iaitu sekitar 75 tahun, berbanding 60-an pada era 1980-an. Maka, berbanding zaman dahulu, warga emas hari ini lebih sihat, berpendidikan tinggi dan masih mampu menyumbang kepada produktiviti negara dalam jangka masa yang lebih panjang.

Majoriti pesara di Malaysia menghadapi masalah simpanan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan pasca-persaraan. Laporan menunjukkan bahawa lebih 50% pencarum berumur 55 tahun kebawah memiliki kurang daripada RM10,000 dalam akaun persaraan mereka. Ini menunjukkan risiko tinggi terhadap kemiskinan dalam kalangan warga emas. Jika usia persaraan dilanjutkan ke 65 tahun, mereka akan mempunyai lima tahun tambahan untuk menjana pendapatan dan menambah simpanan. Ini boleh mengurangkan kebergantungan mereka kepada anak-anak dan bantuan kerajaan.

Tenaga kerja berusia 60-an mempunyai memiliki pengalaman, kemahiran dan kebijaksanaan yang sangat berharga dalam organisasi. Mereka boleh menjadi mentor kepada pekerja muda dan memainkan peranan penting dalam pemindahan ilmu dan budaya kerja. Dalam sektor tertentu seperti akademik, perundangan, perubatan dan penyelidikan, pengalaman adalah aset yang sukar diganti. Negara maju seperti Jepun dan Jerman turut memanfaatkan tenaga kerja berusia ini untuk memastikan kesinambungan kepakaran. Maka, dengan strategi pengurusan sumber manusia yang baik, golongan ini boleh menjadi pemacu kepada kecemerlangan organisasi.

Namun begitu, cadangan ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan belia. Mereka bimbang peluang pekerjaan akan berkurangan jika warga emas terus kekal dalam pasaran kerja. Isu pengangguran belia adalah membimbangkan berbanding kadar pengangguran nasional sekitar 3.1%. Jika peluang naik pangkat atau kemasukan baharu disekat kerana penjawat lama tidak bersara, ini boleh menjejaskan motivasi dan pembangunan kerjaya belia. Oleh itu, sebarang perubahan perlu disertai dengan perancangan teliti untuk mengimbangi keperluan dua generasi ini.

Walaupun jangka hayat rakyat semakin panjang, kualiti kesihatan perlu diberi perhatian. Ramai warga emas menghadapi penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi yang boleh menjejaskan kemampuan bekerja. Jika mereka bekerja dalam keadaan uzur, ia boleh membawa kesan negatif terhadap kesejahteraan fizikal dan mental mereka. Oleh itu, kenaikan umur persaraan mestilah bersifat fleksibel dan berdasarkan pilihan individu serta kesesuaian kerja. Model persaraan secara berperingkat atau kerja separuh masa boleh diperkenalkan sebagai alternatif.

Daripada sudut majikan, cadangan ini mungkin meningkatkan kos operasi kerana mereka perlu terus membayar gaji, manfaat kesihatan dan caruman KWSP untuk tempoh yang lebih panjang. Tambahan pula, tenaga kerja senior biasanya menerima gaji lebih tinggi berbanding pekerja muda. Jika organisasi tidak menyesuaikan struktur kos dengan berkesan, ia boleh menjejaskan daya saing mereka. Maka, sokongan dasar daripada kerajaan seperti insentif cukai atau dana latihan semula perlu disediakan untuk menggalakkan penerimaan polisi ini dalam sektor swasta.

Malaysia kini memperuntukkan umur persaraan wajib pada 60 tahun di bawah Akta Umur Persaraan. Namun, undang-undang ini tidak melarang majikan melanjutkan perkhidmatan pekerja atas persetujuan bersama. Jika usia persaraan minimum dinaikkan ke 65 tahun, perlu ada semakan menyeluruh terhadap undang-undang buruh, termasuk perlindungan hak pekerja warga emas, keperluan latihan kemahiran semula, dan prosedur penamatan perkhidmatan yang adil. Ia juga perlu diselaraskan dengan dasar gaji minimum, caruman KWSP dan perlindungan PERKESO.

Tidak semua jenis pekerjaan sesuai untuk dilanjutkan hingga umur 65 tahun. Pekerjaan berasaskan tenaga fizikal seperti buruh binaan, operator kilang, dan pekerja ladang mungkin tidak sesuai untuk dilaksanakan oleh warga emas. Ini berbeza dengan pekerjaan profesional atau kerja dari rumah yang lebih bersifat intelektual dan fleksibel. Maka, perlaksanaan dasar usia persaraan 65 tahun perlu mengambil kira keunikan setiap sektor dan memberi opsyen kepada pekerja serta majikan untuk membuat keputusan berdasarkan kesesuaian individu.

Bagi sesetengah individu, persaraan adalah fasa dinanti untuk berehat. Memaksa mereka untuk terus bekerja boleh memberi tekanan mental. Kajian menunjukkan bahawa persaraan yang dirancang dengan baik boleh meningkatkan kesejahteraan psikologi. Oleh itu, pendekatan dasar baharu perlu memberi ruang kepada warga emas untuk membuat pilihan sama ada ingin terus bekerja atau bersara, tanpa dipaksa oleh sistem. Sokongan kerajaan dalam bentuk program pra-persaraan dan bimbingan kewangan juga penting untuk memudahkan peralihan ini.

Beberapa negara maju telah menaikkan usia persaraan minimum mereka. Sebagai contoh, Jepun dan Korea Selatan telah memanjangkan usia persaraan kepada 65 tahun, malah menggalakkan pekerjaan hingga 70 tahun. Namun, pelaksanaan ini dilakukan secara berperingkat dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti sokongan sistem kesihatan, persekitaran kerja yang mesra warga emas, serta budaya kerja fleksibel. Oleh itu, Malaysia perlu belajar daripada pengalaman negara lain dan tidak meniru secara membuta tuli. Setiap dasar harus disesuaikan dengan konteks tempatan, struktur demografi dan keupayaan sistem sosial negara.

Cadangan menaikkan usia persaraan kepada 65 tahun harus disertakan dengan dasar yang komprehensif untuk menjamin keberkesanannya. Antaranya ialah penggubalan sistem pekerjaan fleksibel bagi warga emas, insentif cukai untuk majikan yang menggaji pekerja berumur lebih 60 tahun, perluasan program latihan semula kemahiran, dan peningkatan jaringan keselamatan sosial. Selain itu, kerajaan juga perlu menambah baik sistem pencen dan KWSP agar lebih lestari dan mampan dalam menghadapi penuaan populasi. Penyertaan belia dalam pasaran kerja pula perlu diperkukuh dengan dasar pemadanan pekerjaan yang efektif dan program latihan vokasional yang relevan.

Secara keseluruhannya, cadangan untuk menaikkan had usia persaraan kepada 65 tahun merupakan satu langkah strategik dalam menangani isu penuaan populasi, simpanan persaraan yang tidak mencukupi, dan kehilangan tenaga kerja berpengalaman. Namun, ia juga berpotensi menimbulkan kesan sampingan terhadap belia, kos majikan, dan kesihatan warga emas.

Maka, pelaksanaannya mestilah teliti, inklusif dan berperingkat dengan mengambil kira kepelbagaian sektor, kemampuan individu dan sokongan sistem sosial. Dasar ini bukan hanya soal umur, tetapi soal keseimbangan antara produktiviti, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat pelbagai generasi. Dengan perancangan yang menyeluruh dan tadbir urus yang baik dengan pelbagai pihak, Malaysia boleh melaksanakan transformasi ini secara berhemah demi masa depan negara yang lebih mampan.

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 16), 28 Mei 2025: Teliti pelbagai sudut jika umur persaraan dinaikkan 65 tahun 

 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 28 Mei 2025: Teliti pelbagai sudut jika umur persaraan dinaikkan 65 tahun 

Teliti pelbagai sudut jika umur persaraan dinaikkan 65 tahun