Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penggunaan Artificial Intelligence (AI) dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi semakin meluas. Menurut kajian mendedahkan bahawa lebih 60% pelajar universiti di rantau Asia Tenggara menggunakan platform berasaskan AI untuk menyiapkan tugasan. Kajian mendapati bahawa 7 daripada 10 pelajar menggunakan teknologi AI sekurang-kurangnya sekali dalam tugasan akademik mereka.
Namun begitu, statistik yang sama menunjukkan 45% daripada mereka tidak memahami secara mendalam bagaimana AI berfungsi dan hampir 38% menyatakan mereka tidak pasti sama ada penggunaan mereka melibatkan unsur plagiat. Ini menimbulkan persoalan tentang tahap literasi digital dalam kalangan pelajar serta cabaran etika dan tanggungjawab kendiri.
Perkembangan teknologi AI telah membawa perubahan besar dalam landskap pendidikan tinggi. Mahasiswa kini berada dalam era yang mana maklumat berada di hujung jari, tugasan boleh disiapkan dalam masa singkat dan persoalan rumit boleh dijawab dengan sekelip mata. Namun, terdapat persoalan penting: adakah AI benar-benar membantu dalam meningkatkan kemenjadian mahasiswa, atau sebaliknya melemahkan proses pembelajaran dan pembinaan sahsiah diri?
Kemenjadian mahasiswa penting untuk membangunkan pelajar dari aspek ilmu, kemahiran, nilai, sahsiah dan kepimpinan sepanjang tempoh pengajian mereka. Ia bukan sekadar memperoleh kelulusan akademik, tetapi melibatkan pertumbuhan menyeluruh sebagai insan yang berdaya saing, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran sebenar selepas bergraduasi. Oleh itu, penilaian kesan teknologi ini terhadap intelektual, etika, emosi dan sosial adalah penting dalam menentukan kemenjadian mahasiswa.
Dari satu sudut, AI dilihat mampu meningkatkan keupayaan mahasiswa dalam menimba ilmu. Teknologi ini memberi akses kepada maklumat dengan lebih pantas dan meluas. Mahasiswa dapat memahami konsep-konsep sukar melalui penerangan interaktif dan boleh bertanya semula jika masih keliru. Dengan bantuan sistem AI, pelajar dapat menjimatkan masa dalam mencari rujukan, menjana idea dan menyusun struktur penulisan. Ini secara tidak langsung mempercepatkan proses pembelajaran dan memperkukuh kefahaman mereka terhadap sesuatu topik.
Selain itu, AI berpotensi menjadi pembantu pembelajaran yang bersifat peribadi. Dengan teknologi ini, pelajar boleh belajar mengikut gaya mereka sendiri, pada masa dan tempat yang mereka pilih. Keanjalan ini menyokong pembelajaran kendiri dan memperkasakan pelajar untuk lebih berdikari. Pelajar yang menghadapi cabaran pembelajaran tradisional seperti kekangan masa, kesukaran memahami kuliah, atau kurang keyakinan untuk bertanya, kini mempunyai alternatif yang lebih mesra pengguna. Dalam konteks ini, AI menjadi alat sokongan yang menyumbang kepada pembangunan intelektual dan kendiri pelajar.
Namun begitu, kelebihan AI juga datang bersama beberapa kelemahan yang tidak boleh dipandang ringan. Kelemahan utama ialah apabila mahasiswa terlalu bergantung kepada teknologi ini sehingga tidak lagi melalui proses pembelajaran yang sebenar. Ramai pelajar hanya menyalin jawapan atau kandungan tanpa memahami asasnya. Tugasan disiapkan dalam masa singkat tetapi tanpa nilai pemikiran kritis, analisis sendiri atau kefahaman mendalam. Jika keadaan ini berterusan, pelajar akan kehilangan keupayaan untuk berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah secara logik dan membina hujah yang mantap.
Kesan lain yang membimbangkan ialah berkaitan integriti akademik. Terdapat kecenderungan dalam kalangan pelajar untuk menyerahkan hasil tugasan yang sebahagian atau sepenuhnya dijana oleh sistem AI tanpa pengakuan atau semakan. Apabila pelajar lebih mementingkan kelulusan atau gred berbanding proses pembelajaran, maka matlamat pendidikan telah tersasar. Kemenjadian mahasiswa tidak dapat dicapai jika asasnya tidak dibina atas integriti dan usaha sendiri.
Selain aspek intelektual dan etika, penggunaan AI yang berlebihan juga boleh menjejaskan kemahiran insaniah pelajar. Dalam proses pembelajaran tradisional, pelajar diajar untuk berinteraksi, berkomunikasi, berbincang dan berkolaborasi. Namun, apabila semua penyelesaian datang dari mesin, pelajar menjadi semakin pasif dan kurang terlibat dalam aktiviti berkumpulan. Ini secara tidak langsung melemahkan kemahiran komunikasi, empati dan kepimpinan dalam pembentukan sahsiah dan keseimbangan emosi.
Pengalaman bersosial juga terjejas apabila pelajar terlalu bergantung pada teknologi. AI tidak mampu menggantikan interaksi manusia yang membina hubungan dan jaringan sokongan. Pelajar yang banyak bergantung pada teknologi untuk semua tugasan mungkin merasa kurang keperluan untuk berbincang dengan rakan, menyertai aktiviti kokurikulum atau meminta tunjuk ajar dari pensyarah. Akibatnya, mereka mungkin terasing, kurang keyakinan diri dan tidak bersedia untuk berkomunikasi dengan komuniti sebenar selepas tamat pengajian.
Dalam hal ini, institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam mengimbangi penggunaan teknologi dan pembinaan jati diri pelajar. Pihak universiti perlu menyediakan garis panduan jelas tentang penggunaan teknologi dalam tugasan dan penilaian. Pensyarah juga perlu mereka bentuk tugasan yang menggalakkan pemikiran kritis, penglibatan lapangan dan pembinaan nilai. Contohnya, tugasan yang memerlukan pelajar melakukan temubual dengan pemain industri, pengumpulan data secara primer atau kajian kes berdasarkan situasi sebenar akan memaksa pelajar untuk keluar dari zon selesa mereka dan benar-benar memahami topik yang dikaji.
Selain itu, pentaksiran juga perlu dikaji semula agar tidak bergantung semata-mata kepada esei atau laporan yang boleh dijana oleh teknologi. Penilaian lisan, pembentangan, portfolio refleksi, kerja lapangan dan tugasan berkumpulan perlu diperluaskan. Kaedah ini dapat mendorong pelajar untuk lebih aktif, berinteraksi dan menunjukkan hasil kerja berdasarkan pengalaman dan usaha mereka sendiri. Dengan cara ini, AI akan kekal sebagai pembantu, bukan pengganti kepada proses pembelajaran.
Mahasiswa juga harus dididik tentang tanggungjawab mereka dalam memanfaatkan teknologi secara beretika. Mereka perlu sedar bahawa kejayaan dalam pengajian bukan semata-mata dinilai dari segi gred, tetapi juga dari aspek kemahiran sebenar yang mereka bangunkan. Mereka harus menggunakan teknologi untuk meningkatkan kefahaman, bukan mengambil jalan pintas untuk menyiapkan tugasan. Kesedaran ini penting bagi memastikan mereka mampu berdikari dan beretika apabila melangkah ke dunia kerjaya kelak.
Dari perspektif jangka panjang, mahasiswa yang hanya bergantung kepada teknologi tanpa kemahiran sebenar akan sukar menyesuaikan diri dalam persekitaran pekerjaan yang dinamik dan mencabar. Majikan mencari individu yang boleh menyumbang idea, berfikir secara kreatif, menyelesaikan masalah dan bekerjasama dengan orang lain. Semua ini tidak boleh digantikan oleh teknologi. Oleh itu, adalah penting bagi mahasiswa untuk menilai kembali cara mereka menggunakan AI dan mengambil tanggungjawab penuh dalam proses pembelajaran mereka.
Sebagai kesimpulan, AI berpotensi besar untuk meningkatkan kemenjadian mahasiswa jika digunakan secara bijak, beretika dan seimbang. Ia boleh mempercepatkan akses kepada maklumat, menyokong pembelajaran kendiri dan membantu pemahaman konsep yang rumit. Namun, kebergantungan melampau kepada teknologi ini boleh melemahkan nilai integriti, kemahiran insaniah dan kemenjadian pelajar. Justeru, pelajar, pensyarah dan institusi perlu berganding bahu untuk memastikan teknologi ini menjadi pemangkin kepada pendidikan berkualiti, bukannya penghalang kepada pembentukan insan yang holistik.

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Harian Metro (muka surat: 14), 14 Mei 2025: Pembantu bukan pengganti

2. MyMetro (hmetro.com.my), 14 Mei 2025: Pembantu bukan pengganti
https://www.hmetro.com.my/rencana/2025/05/1218307/pembantu-bukan-pengganti
