Oleh Dr. Radzi Ambar, Ts. Dr. Khalid Isa, Muhammad Faisal Ahmad Juhari

BATU PAHAT – Prihatin dengan musibah yang menimpa pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Pusat Pembangunan Pelajar (PBP) telah melaksanakan misi bantuan kebajikan khusus untuk pelajar yang terkesan banjir di sekitar Simpang Renggam, Pontian dan Rengit, Johor pada 23 Mac 2024 lalu.

Misi tersebut melibatkan kunjungan ke empat rumah pelajar yang terjejas banjir bagi menyampaikan pek bantuan barangan keperluan yang disumbangkan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), UTHM.

Misi kesukarelawan itu diketuai oleh Ts. Dr. Khalid Isa, Pengarah PBP; Dr. Radzi Ambar, Ketua Jabatan Nilai dan Kesukarelawanan Pelajar, PBP; serta Muhammad Faisal Ahmad Juhari, wakil daripada Kelab Sukarelawan UTHM.

Selain menyerahkan bantuan, para sukarelawan turut meluangkan masa untuk berbual dan bertanya khabar kepada pelajar dan keluarga yang terkesan, selain memberi kata-kata semangat dan sokongan moral dalam menghadapi situasi yang sukar itu.

Sesi pertemuan itu juga telah memberi peluang kepada UTHM mendapatkan informasi berkaitan latar belakang pelajar, antaranya ada kes pelajar yang tinggal bersama adik-beradik kerana telah kehilangan ibu bapa, serta ada yang kehilangan bapa dan terpaksa bergantung kepada ibu sepenuhnya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Selain itu, ada pelajar yang turut berdepan dengan kesukaran menjalani hidup seharian akibat kerosakan peralatan penting di rumah seperti peti ais dan mesin basuh akibat banjir yang melanda.

Menurut Dr. Khalid, pelaksanaan misi itu bukan sahaja mencerminkan keprihatinan UTHM, khususnya Kluster Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) terhadap kebajikan pelajar, tetapi juga bertujuan memastikan mereka tidak merasa keseorangan dalam menghadapi musibah itu.

“Semoga bantuan yang diberikan ini dapat meringankan beban para pelajar dan keluarga, memberi kelegaan emosi serta menyuntik semangat dan ketabahan mereka dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

UTHM berharap inisiatif seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada usaha universiti dalam membudayakan semangat keprihatinan dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa serta warga kampus.