Negara sebelum ini telah dikejutkan dengan satu bencana yang besar iaitu tragedi letupan paip gas di Putra Heights yang berlaku pada 1 April 2025 lalu. Tragedi itu telah mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan yang besar kepada harta benda, persekitaran dan yang paling tragis adalah kecederaan kepada penduduk sekitar. Mengikut laporan daripada media massa tempatan, tragedi ini telah mengakibatkan kemusnahan harta benda yang tinggi iaitu 78 rumah, 10 rumah kedai, dan 327 kenderaan. Insiden ini turut melibatkan lebih daripada 600 keluarga yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dengan bantuan kerajaan negeri dan persekutuan. Tragedi yang berlaku ini memberi satu signal kepada kita akan perlunya meningkatkan kesedaran dan keselamatan masyarakat, terutamanya di kawasan yang berdekatan dengan infrastruktur industri.

Di Malaysia, secara umumnya kejadian bencana akibat daripada kegagalan infrastruktur industri yang berfrekuansi tinggi jarang berlaku. Ini kerana pematuhan terhadap aspek keselamatan dan Kesihatan adalah elemen yang ditekankan dalam sebarang pengoperasi pekerjaan. Walau bagaimanapun, tragedi yang berlaku ini membenarkan bahawa, bencana boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Ia juga mengingatkan kita bahawa pentingnya pemantauan secara berkala terhadap apa juga aktiviti yang melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan.

Sesuatu tragedi yang berlaku, dikatakan bencana apabila ia melibatkan kemusnahan, kerosakan, kecedaraan dan kematian sama ada kepada persekitaran mahupun kepada manusia.  Oleh yang demikian, masyarakat perlu ditingkatkan pengetahuan dan kesedaran mereka terhadap keselamatan persekitaran dan sentiasa cakna dengan sebarang perubahan kacau ganggu yang berlaku di persekitaran tempat tinggal mereka. Ini bukan sahaja merujuk kepada keselamatan daripada jenayah kecurian atau pecah masuk rumah, tetapi juga merangkumi keselamatan daripada sebarang kacau ganggu, pencerobohan yang boleh mengakibatkan gangguan terhadap keselesaan, ketenteraman dan keselamatan keluarga.

Justeru, sudah tiba masanya kita yang merupakan sebahagian daripada masyarakat perlu mengambil endah dan cakna terhadap aspek kesedaran dan keselamatan bersama. Ini kerana bencana boleh berlaku bila-bila masa dan tidak mengira lokasi geografi. Kepekaan masyarakat dalam perkara ini akan dapat bersama-sama membantu menyelamatkan lebih banyak kerosakan dan kemusnahan harta benda.

Berikut merupakan langkah-langkah dalam meningatkan kesedaran dan keselamatan masyarakat.

  1. Kempen kesedaran awam terhadap bencana: Kerajaan (termasuk agensi Kerajaan dan sekolah), Pihak berkuasa Tempatan (PBT), Badan Bukan Kerajaan dan orang perseorangan boleh melancarkan kempen kesedaran terhadap bencana alam, bencana buatan manusia seperti gempa bumi, banjir, keselamatan daripada kebakaran api dan gas. Kempen ini termasuklah pengetahuan dan pendedahan terhadap bencana, tindakan kecemasan dan bagaimana bertindak sekiranya berhadapan dengan bencana tersebut.   Dengan kemudahan dan capaian internet yang memuaskan, kempen seperti ini akan mudah disebarkan kepada semua lapisan masyarakat, baik di bandar mahupun luar bandar.
  2. Latihan kecemasan: Latihan simulasi gempa bumi, banjir, kebakaran dan letupan boleh dianjurkan oleh pihak komuniti, sekolah, institut pengajian tinggi, pihak swasta untuk memberi pengetahuan, kesedaran dan latihan kepada masyarakat dan penduduk setempat dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan.
  3. Pemantauan infrastruktur: Pemeriksaan berkala terhadap apa juga aktiviti pembinaan, infrastruktur atau apa sahaja aktiviti yang melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan hendaklah berlaku secara berkala. Ini mengelak kemungkinan berlakunya perkara-perkara yang tidak diduga. Ini kerana kemalangan biasanya berlaku diluar daripada jangkaan kita.
  4. Penglibatan komuniti: Penglibatan penduduk setempat adalah penting sebagai mata dan telinga masyarakat dan kerajaan dalam memastikan keselamatan diri dan tempat tinggal mereka. Penduduk bukan sahaja perlu dilibatkan dalam kempen keselamatan bahkan perlu sentiasa cakna dengan persekitaran. Persatuan komuniti setempat atau pun Jawatankuasa Kampung (JKK) boleh dilibatkan dalam bersama-sama menjayakan program keselamatan komuniti untuk meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab bersama. Selain itu, komuniti perlu segera membuat laporan sekiranya didapati berlaku peristiwa, kejadian atau kerosakan yang tidak sepatutnya berlaku di kawasan tempat tinggal mereka.

Kesimpulannya, tragedi ini merupakan peringatan bersama bahawa keselamatan harta benda dan nyawa masyarakat mestilah menjadi keutamaan dalam apa juga situasi.  Kita tidak boleh bertolak ansur apabila ianya melibatkan aspek keselamatan. Justeru, langkah-langkah yang proaktif dan kerjasama antara pihak berkuasa, agensi yang terlibat dan masyarakat, perlu dilakukan bagi memastikan sebarang risiko insiden seperti ini tidak berulang. Keselamatan adalah tanggungjawab bersama, dan setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan komuniti.

 

 

Profesor Madya Dr. Haryati Shafii

Pensyarah Pengurusan Pembinaan

Penyelidik Utama Sustainable Construction,

Infrastructure and Environmental Management (CSIEM),

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)