Sebelum ini Malaysia telah dikejutkan dengan tragedi kebakaran yang meragut nyawa hampir semua ahli keluarga di sebuah rumah di Umbai, Melaka. Dalam insiden itu, hanya seorang sahaja yang berjaya diselamatkan. Kebakaran rumah seperti itu bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi ia sentiasa meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat. Ia menjadi peringatan kepada kita semua tentang pentingnya langkah-langkah keselamatan kebakaran, terutamanya dalam reka bentuk bangunan dan penggunaan bahan binaan serta hiasan dalaman.

 

Punca utama kebakaran rumah

Terdapat beberapa punca utama yang boleh menyebakan kebakaran rumah. Salah satunya adalah kebocoran gas memasak. Pemasangan yang tidak betul atau keusangan paip atau saluran getah gas boleh menyebabkan kebocoran yang mudah terbakar apabila bersentuhan dengan sumber api.

Seterusnya pendawaian elektrik yang tidak selamat, litar pintas atau beban lampau pada soket elektrik sering kali menjadi penyebab kebakaran. Terutamanya di rumah-rumah lama, pendawaian mungkin sudah usang dan tidak selamat digunakan.

Selain pendawaian elektrik, barangan elektronik boleh menyebabkan kebakaran jika tidak digunakan atau diselenggarakan dengan betul. Risiko utama termasuk mengecas peranti elektronik terlampau lama, kerosakan kabel, beban litar berlebihan dan penggunaan produk palsu atau rosak.

Juga pembakaran terbuka seperti penggunaan lilin, pembakaran colok atau kertas upacara keugamaan dan pembakaran sampah yang tidak dikawal secara betul juga boleh menyebabkan kebakaran jika dibiarkan tanpa pengawasan.

Selain itu merokok di dalam rumah, terutamanya di atas katil atau sofa, juga merupakan faktor risiko utama. Puntung rokok yang tidak dipadamkan dengan sempurna boleh menyebabkan kebakaran.

Akhir sekali penggunaan perabot atau hiasan dalaman yang dibuat daripada bahan mudah terbakar (seperti kayu tidak rawat atau fabrik sintetik) boleh mempercepatkan penyebaran api dalam kebakaran.

 

Teknologi kalis api

Dengan kemajuan teknologi dalam industri binaan, penggunaan bahan kalis api semakin menjadi tumpuan sebagai salah satu cara untuk mengurangkan risiko kebakaran. Bahan kalis api direka khas untuk melambatkan atau menghalang penyebaran api, memberikan lebih banyak masa kepada penghuni untuk melarikan diri dan kepada pasukan bomba untuk bertindak.

Bahan kalis api dapat membantu mengekang tragedi kebakaran. Bahan kalis api direka untuk melambatkan penyebaran api. Ini bermakna walaupun kebakaran bermula, ia tidak akan merebak dengan cepat dari satu bahagian rumah ke bahagian lain. Ini memberikan lebih banyak masa kepada penghuni untuk melarikan diri dan mengurangkan kecederaan atau kematian.

Dalam beberapa kes, bahan kalis api boleh digunakan untuk mencipta zon-zon api yang terpisah di dalam rumah. Contohnya, dinding dan pintu yang menggunakan bahan kalis api boleh menghalang api daripada merebak ke bilik-bilik lain, memberikan peluang kepada penghuni untuk melarikan diri.

Dalam pembinaan bangunan moden, penggunaan bahan kalis api seperti konkrit kalis api, panel dinding kalis api dan atap kalis api boleh membantu mengelakkan kebakaran daripada merosakkan struktur utama bangunan. Ini tidak hanya melindungi penghuni, tetapi juga mengurangkan kos pembaikan selepas kebakaran.

Kini banyak perabot moden dan hiasan dalaman kini menggunakan bahan kalis api. Sofa, tilam, dan fabrik perabot yang dilapisi dengan bahan kalis api boleh mengurangkan risiko api merebak dengan cepat apabila terdedah kepada sumber api kecil seperti puntung rokok atau lilin.

Selain bahan kalis api sistem pengesan asap dan api moden juga boleh membantu untuk menyelamatkan nyawa ketika kebakaran. Sistem pengesan asap dan api moden yang dihubungankan secara dalam talian kepada pihak bomba dapat memberikan amaran awal kepada penghuni dan juga bomba  membolehkan mereka bertindak dengan pantas.

Kesedaran tentang pentingnya bahan kalis api masih rendah dalam kalangan masyarakat. Oleh itu kesedaran awam juga perlu ditingkatkan. Ramai rakyat Malaysia mungkin tidak sedar tentang kepentingan bahan kalis api atau bagaimana mereka boleh melindungi keluarga mereka daripada risiko kebakaran. Kempen kesedaran dan pendidikan mengenai keselamatan kebakaran perlu diperluaskan, terutamanya di kawasan perumahan. Masyarakat perlu dididik tentang kepentingan bahan kalis api dan bagaimana ia dapat menyelamatkan nyawa.

Seterusnya kolaborasi industri di antara pemaju, arkitek dan kontraktor perlu ada untuk memastikan penggunaan bahan kalis api dalam projek mereka. Malaysia juga boleh melabur dalam penyelidikan untuk membangunkan bahan kalis api yang lebih cekap dan kos efektif.

Dari segi perundangan, Malaysia boleh memperkasakan undang-undang yang sedia ada berkaitan dengan pembinaan bangunan.  Di Malaysia terdapat satu undang-undang dikenali sebagai Uniform Building By-Laws 1984 (UBBL) atau Undang-Undang Bangunan Seragam 1984.

Ia adalah rujukan utama untuk keselamatan kebakaran dalam pembinaan bangunan di Malaysia. UBBL mengandungi beberapa keperluan berkaitan dengan bahan kalis api, termasuk penggunaan bahan yang memenuhi piawaian kebakaran. Antara keperluan yang dimaksudkan adalah pintu kebakaran, tangga kecemasan, sistem pengesan asap atau api dan kawalan terhadap penyebaran api melalui zon-zon api.

Piawaian atau standard yang dimaksudkan dalam UBBL secara khususnya menyentuh berkaitan dengan bahan atau produk kalis api (fire-resistant atau fire-retardant) untuk kegunaan dalam industri binaan dan hiasan dalaman. Standard-standard ini dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia (DSM) yang juga dikenali sebagai Standard Malaysia, melalui MS (Malaysian Standard) bertujuan untuk memastikan keselamatan penghuni bangunan serta mengurangkan risiko kebakaran.

Berikut adalah beberapa standard utama yang berkaitan dengan bahan kalis api di Malaysia:

 MS 1073:2016 – Bahan Bangunan – Ujian Kebakaran (Building Materials – Fire Tests)

Standard ini merangkumi kaedah ujian kebakaran untuk menilai prestasi bahan bangunan apabila terdedah kepada api. Ia digunakan untuk menentukan sama ada bahan tersebut dapat menahan atau melambatkan penyebaran api. Standard ini digunakan untuk menilai bahan seperti panel dinding, papan lantai dan bahan hiasan dalaman.

MS 1478:2001 – Sistem Penyekat Api (Fire Stopping Systems)

Standard ini memberikan panduan mengenai sistem penyekat api yang digunakan untuk menghalang penyebaran api melalui ruang-ruang terbuka seperti lubang ventilasi, paip dan kabel di dalam bangunan. Standard ini penting dalam reka bentuk bangunan untuk memastikan bahawa api tidak merebak melalui celah-celah struktur bangunan.

MS 1592:2005 – Bahan Hiasan Dalaman – Kebakaran (Interior Finishes – Fire Performance)

Standard ini menetapkan keperluan untuk bahan hiasan dalaman seperti fabrik, perabot, dan tilam untuk memastikan ia mempunyai sifat kalis api yang mencukupi. Ia digunakan untuk menilai bahan seperti karpet, fabrik sofa dan perabot lain yang mungkin mudah terbakar.

MS 1472:2001 – Pintu Kebakaran (Fire Doors)

Standard ini menetapkan spesifikasi untuk pintu kebakaran yang direka untuk menahan api selama tempoh tertentu (biasanya 30 minit hingga 2 jam). Ia digunakan dalam pembinaan pintu bagi zon-zon tertentu seperti tangga kecemasan, bilik mesin dan pintu keluar kecemasan.

MS 1473:2001 – Bahan Penebat Kebakaran (Fire Insulation Materials)

Standard ini merangkumi bahan penebat kebakaran yang digunakan untuk melindungi struktur bangunan daripada haba yang terhasil semasa kebakaran. Biasanya ia digunakan dalam atap, dinding dan paip untuk mengelakkan kerosakan akibat haba tinggi.

MS ISO 9705:2012 – Ujian Kebakaran Ruang (Room Corner Test for Surface Products)

Standard ini digunakan untuk menilai prestasi bahan permukaan (seperti dinding dan langit-langit) dalam situasi kebakaran sebenar. Ia membantu menentukan sama ada bahan tersebut dapat melambatkan penyebaran api. Ia digunakan dalam pembinaan dan hiasan dalaman untuk memastikan keselamatan penghuni.

MS 1723:2003 – Tilam Kebakaran (Fire Resistance Requirements)

Standard ini menetapkan keperluan untuk tilam yang tahan api, memastikan ia tidak mudah terbakar apabila terdedah kepada sumber api kecil seperti puntung rokok. Standard ini penting untuk keselamatan di hotel, hospital dan rumah kediaman.

Walaupun standard-standard ini wujud, namun pelaksanaannya bergantung pada jenis bangunan dan kegunaannya. Contohnya bangunan komersial, hospital, sekolah dan pusat membeli-belah biasanya diwajibkan untuk mematuhi standard ini kerana ia melibatkan ramai orang. Namun untuk rumah kediaman, pematuhan kepada standard ini sering kali bersifat sukarela, kecuali jika dinyatakan dalam undang-undang tempatan atau syarat pemaju.

Dengan adanya standard-standard ini, Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk meningkatkan keselamatan kebakaran dalam industri binaan dan hiasan dalaman. Namun, pelaksanaan dan pematuhan kepada standard ini perlu diperkukuhkan untuk mengelakkan tragedi kebakaran yang boleh dielakkan.

Oleh itu kerajaan boleh memperkasakan UBBL dan mewajibkan penggunaan bahan kalis api dalam semua jenis bangunan, termasuk rumah kediaman mengikut standard-standard yang sedia ada.

Malaysia masih berada di peringkat awal dalam mengaplikasikan bahan kalis api secara meluas dalam industri binaan dan hiasan dalaman rumah kediaman. Namun, tragedi kebakaran yang meragut nyawa di Umbai, Melaka, adalah pengingat yang menyedihkan tentang betapa rapuhnya kehidupan manusia apabila berhadapan dengan kebakaran.

Namun, dengan penggunaan bahan kalis api dalam pembinaan dan hiasan dalaman rumah, kita boleh mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko kebakaran dan melindungi nyawa. Teknologi moden telah memberikan kita alat untuk mengelakkan tragedi seperti ini, dan sudah tiba masanya untuk Malaysia mengambil langkah ke arah yang betul. Dengan kerjasama antara kerajaan, pemaju dan masyarakat, kita boleh memastikan bahawa setiap rumah di Malaysia adalah tempat yang selamat untuk tinggal dan tragedi yang menyayat hati ini tidak akan berulang kembali.

 

 

Mohamed Ismail bin KP Haji Pakir Mohamed

Pensyarah Kanan

Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)