
Bulan Syawal kian hampir melabuhkan tirainya, suasana kemeriahan menyambut hari raya Aidilfitri bukan sahaja terpancar melalui pakaian baharu, juadah enak dan kunjungan mesra, tetapi juga melalui tradisi yang penuh nilai, seperti marhaban. Walaupun ia tidaklah sehebat seperti acara-acara rumah terbuka yang kini disambut dengan lebih moden susun atur majlisnya, namun, marhaban tetap menjadi salah satu warisan budaya Islam yang menyemarakkan suasana Aidilfitri, terutamanya di kampung-kampung dan kawasan luar bandar. Tradisi ini kini bukan hanya berlaku pada awal bulan Syawal sahaja namun, ia diteruskan sepanjang bulan Syawal. Bezanya bagi kumpulan – kumpulan marhaban yang memilih untuk menjalankan tradisi ini pada hujung Syawal, mereka memilih waktu malam selepas solat fardhu Isyak agar tidak mengganggu tugasan harian pada waktu siang.
Perkataan ‘Marhaban’ berasal daripada bahasa Arab juga merupakan salah satu kata sapaan yang bermaksud “selamat datang”. Dalam konteks Islam, marhaban sering merujuk kepada nyanyian nasyid atau bacaan puji-pujian kepada Nabi Muhammad SAW. Ia biasanya disampaikan dalam bentuk selawat. Ia juga merupakan salah satu bentuk ekspresi cinta dan penghormatan kepada Rasulullah SAW, dan menjadi amalan dalam pelbagai majlis keagamaan seperti majlis maulid, aqiqah dan tentunya, Hari Raya Aidilfitri.
Di sebahagian tempat, tradisi marhaban pada bulan Syawal dijalankan secara bergilir-gilir, dari satu rumah ke satu rumah, melibatkan ahli kariah atau penduduk kampung. Kumpulan marhaban ini biasanya terdiri daripada kumpulan lelaki dewasa, remaja, malah ada juga kumpulan wanita yang turut mewujudkan kumpulan marhaban mereka sendiri mengikut tempat dan adat setempat. Lebih Istimewa lagi, kanak-kanak tadika juga dilihat turut berusaha untuk melestarikan tradisi ini.
Mereka akan membaca selawat secara beramai-ramai, diiringi dengan paluan kompang atau hanya alunan suara. Bacaan doa selamat untuk penghuni rumah bagi memohon kesejahteraan keluarga, dan keberkatan rezeki juga dilafazkan dengan penuh keikhlasan. Setelah selesai, tuan rumah biasanya akan menghidangkan sedikit jamuan sebagai tanda penghargaan.
Tradisi ini bukan sekadar rutin atau hiburan, sebaliknya mengandungi nilai-nilai rohani dan sosial yang tinggi. Antara nilai yang kita boleh dapat daripada aktiviti marhaban ini antaranya mengeratkan silaturahim antara jiran tetangga dan ahli kariah. Inilah masanya kita mengeratkan lagi jalinan ukhuwah kerana pada hari bekerja sudah pasti kita sibuk dengan urusan harian kita. Selain itu, daripada tradisi marhaban ini juga, umat Islam dapat memupuk cinta serta mengingati Rasulullah SAW dengan selawat alunan puji pujian kepada Baginda SAW. Tradisi marhaban juga sebenarnya secara tidak langsung dapat membangun komuniti yang bersatu hati, kerana marhaban menggalakkan penyertaan semua lapisan umur. Di sini kita berkumpul tanpa mengira umur untuk bersama-sama merayakan Aidilfitri.
Namun begitu, tidak dinafikan tradisi ini juga mempunyai cabaran tersendiri dalam melestarikannya. Ia dilihat semakin kurang diamalkan, khususnya di bandar dan kawasan moden. Kesibukan hidup, kurangnya minat dalam kalangan generasi muda, dan kurang pendedahan menjadikan marhaban dilihat sebagai amalan ‘orang lama.’
Oleh itu, usaha perlu dilakukan untuk memelihara dan menyesuaikan tradisi ini dengan realiti semasa. Mungkin dengan pendekatan kreatif mengikut peredaran zaman dan generasi seperti melibatkan pelajar sekolah, menambah elemen seni moden, atau mengadakan program marhaban digital, tradisi ini boleh terus subur dan diminati oleh setiap lapisan umur masyarakat.
Marhaban bukan sekadar satu amalan, tetapi warisan yang kaya dengan nilai keislaman, perpaduan, dan kasih sayang sesama manusia. Dalam kemeriahan Aidilfitri, marilah kita bersama-sama menghidupkan kembali tradisi ini agar ia tidak luput ditelan zaman. Sesungguhnya, menjaga warisan yang baik adalah sebahagian daripada menghargai sejarah dan membentuk masa hadapan yang lebih bermakna.
Nurulisyazila Othaman
Guru bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)