Oleh Dr. Anim Zalina Azizan
BATU PAHAT – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan ‘Projek 100 for 100’ pada akhir Mac lalu bagi membantu 100 murid asnaf di empat sekolah rendah sekitar Parit Raja, Batu Pahat membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Melalui projek itu, seramai 100 murid asnaf telah menerima sumbangan duit raya sebanyak RM100 seorang hasil kutipan dana daripada warga universiti, para dermawan, alumni serta pihak industri yang prihatin terhadap kebajikan murid kurang berkemampuan.
Penyampaian sumbangan yang diketuai oleh Dekan FPTP, Prof. Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri telah diadakan di empat sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sabak Uni, SK Parit Raja, SK Pintas Puding dan SK Pintas Raya.
Dr. Shafie dalam ucapannya berkata projek itu dilaksanakan bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan murid asnaf, di samping menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam komuniti universiti serta masyarakat setempat.
Selain penyampaian duit raya, program itu turut diserikan dengan sesi ramah mesra antara murid dan wakil pengurusan fakulti yang bertujuan memberi motivasi kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Untuk rekod, Projek 100 for 100 merupakan salah satu inisiatif kebajikan tahunan FPTP yang dirancang dan dilaksanakan kurang daripada seminggu dan telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM10 ribu.
Projek yang diilhamkan oleh Dekan FPTP itu diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai penyumbang.
“Dengan adanya program seperti ini, diharapkan lebih ramai murid asnaf dapat menerima manfaat dan merasakan kegembiraan menyambut Aidilfitri seperti rakan-rakan mereka yang lain,” tambah Dr. Shafie.


