Konsep Dari Buaian ke Liang Lahad (Cradle to Grave) merujuk kepada pendekatan holistik dalam pengurusan bahan kimia, yang mana setiap fasa hayat sesuatu bahan dianalisa bagi memahami kesannya terhadap alam sekitar dan manusia. Konsep tersebut bukan sahaja terpakai dalam pengurusan bahan kimia tetapi juga dalam penyediaan makanan. Setiap aspek dalam penyediaan makanan, dari sumber bahan mentah hingga pelupusan sisa, perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan kesan negatif terhadap keselamatan dan kesihatan manusia dan juga alam sekitar.

Fasa Buaian: Sumber bahan mentah

  • Penggunaan bahan mentah yang mampan – Memilih hasil pertanian organik mengurangkan penggunaan racun perosak dan baja sintetik yang boleh mencemarkan tanah dan sumber air. Produk organik juga lebih sihat kerana bebas daripada bahan kimia berbahaya.
  • Sokongan kepada petani kecil dan pertanian tempatan – Bahan mentah yang dihasilkan sendiri (tanam sendiri) atau dibeli daripada petani kecil bukan sahaja mengurangkan jejak karbon akibat pengangkutan tetapi juga menyokong ekonomi komuniti setempat.
  • Sumber protein yang bertanggungjawab – Pilihan seperti ikan dari perikanan lestari, daging daripada ladang yang mengamalkan penternakan mesra alam, serta protein berasaskan tumbuhan dapat mengurangkan kesan negatif terhadap biodiversiti dan perubahan iklim.
  • Mengelakkan bahan yang diproses berlebihan – Makanan yang diproses secara berlebihan sering mengandungi bahan pengawet, perisa tiruan dan bahan tambahan yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan dan alam sekitar. Selain itu, makanan segar lebih berkhasiat dan menjimatkan kos.

Fasa Penggunaan: Penyediaan dan pembungkusan

Setelah pemilihan bahan mentah, proses seterusnya adalah penyediaan dan pembungkusan makanan. Penyedia makanan perlu memahami perbezaan antara peralatan yang selamat dan tidak selamat digunakan.

  • Penggunaan peralatan dapur dan bekas makanan yang mesra alam – Menggantikan bekas plastik dengan alternatif seperti bekas kaca, kertas biodegradable atau bioplastik dapat mengurangkan sisa plastik dan kesan pencemaran.
  • Mengurangkan penggunaan plastik sekali guna – Penyedia makanan boleh beralih kepada bekas boleh guna semula seperti bekas makanan yang boleh dikembalikan (returnable containers). Ingat tak dahulu ada mangkuk tipin? Boleh juga dipertimbangkan untuk memperbanyakkan penggunaannya semula ataupun boleh beralih kepada pembungkusan semula jadi seperti menggunakan daun pisang.

Mengamalkan kaedah memasak yang cekap tenaga – Menggunakan peralatan moden seperti dapur induksi yang lebih efisien atau ketuhar tenaga rendah membantu mengurangkan pelepasan karbon dan menjimatkan tenaga.

Fasa Liang Lahad: Pelupusan sisa makanan

Di Malaysia, isu sisa makanan sering menjadi perhatian kerana ia dikaitkan dengan pencemaran alam. Oleh itu, pengurusan sisa yang cekap amat dititikberatkan.

  • Mengurus sisa makanan dengan baik – Sistem kompos boleh digunakan untuk sisa organik, mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, serta mengelakkan pelepasan metana, gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global. Baja kompos yang dihasilkan juga boleh digunakan semula dalam pertanian.
  • Mengitar semula pembungkusan – Penyedia makanan perlu menyediakan tong kitar semula yang berlabel dengan jelas serta mendidik pelanggan tentang cara membuang sisa dengan betul supaya pembungkusan yang boleh dikitar semula tidak berakhir di tapak pelupusan sampah.
  • Menggalakkan alternatif kepada plastik – Penggunaan bahan pembungkusan mesra alam seperti kertas lilin, bioplastik terbiodegradasi atau pati jagung boleh menggantikan plastik tradisional. Selain itu, inovasi seperti bungkusan yang boleh dimakan (edible packaging) boleh dijadikan pilihan mampan.

Warisan zaman silam yang patut diperkasakan

Masalah plastik dalam pembungkusan makanan boleh diatasi dengan kesedaran dan kesediaan untuk kembali kepada amalan hijau yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Sebelum plastik meluas digunakan, manusia menggunakan pelbagai bahan semula jadi untuk memasak dan membungkus makanan, sekali gus mengurangkan sisa plastik yang memerlukan ratusan tahun untuk terurai.

Mengambil semangat menyambut hari raya sepanjang bulan Syawal ini, mari kita lihat bagaimana kaedah tradisional yang mesra alam masih relevan:

  • Ketupat dan lontong – Dibungkus dengan daun kelapa atau daun pisang, menjadikan makanan ini tahan lebih lama tanpa memerlukan bahan pengawet sintetik.
  • Ketupat palas dan lemang – Ketupat palas yang diperbuat daripada pulut dan santan dibungkus dengan daun palas, manakala lemang dibakar dalam buluh yang dialas daun pisang, memberikan rasa unik dan tahan lama.
  • Pulut panggang – Pulut berintikan sambal yang dibakar dalam daun pisang dan ditutup dengan biting, alternatif yang lebih selamat berbanding pengokot atau stapler.
  • Kuih-muih tradisional – Kuih seperti tepung bungkus, koci, lepat pisang, belebat dan lepat ubi menggunakan daun pisang sebagai pembungkus, sekali gus mengurangkan penggunaan plastik.

Masa untuk kembali kepada kaedah hijau

Persoalannya, mengapa kita tidak kembali kepada kaedah hijau ini? Amalan ini bukan sahaja lebih mesra alam tetapi juga lebih sihat dan menjimatkan. Seperti pepatah, “alah bisa tegal biasa”—setiap perubahan mungkin mencabar pada awalnya, tetapi lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan. Marilah kita sama-sama membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa demi kelestarian bumi untuk generasi akan datang.

 

 

 

Profesor Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin

Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia,

Fakulti Teknologi Kejuruteraan,

Universiti tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Dr. Zuritah A. Kadir

Pensyarah Kanan

Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia,

Fakulti Teknologi Kejuruteraan,

Universiti tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 25), 29 April 2025: Sedia juadah cara kuno jauh lebih sihat selamat 

 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 29 April 2025: Sedia juadah cara kuno jauh lebih sihat selamat 

Sedia juadah cara kuno jauh lebih sihat, selamat