
Kebocoran gas merupakan salah satu ancaman kepada keselamatan awam dan persekitaran yang sering kali dipandang ringan sehingga berlakunya tragedi. Kejadian letupan akibat kebocoran gas di Putra Heights, Puchong baru-baru ini membuka mata masyarakat tentang betapa seriusnya ancaman ini. Letupan itu bukan sahaja mengakibatkan kerosakan kepada premis perniagaan dan kediaman berdekatan, malah turut mengancam nyawa penduduk sekitar.
Secara keseluruhan, insiden tersebut melibatkan 1,254 individu daripada 308 keluarga. Sebanyak 87 rumah musnah sepenuhnya dan tidak lagi boleh didiami, manakala 148 rumah mengalami kerosakan tetapi masih selamat dihuni selepas pemeriksaan. Kebakaran turut mengakibatkan terbentuknya kawah sedalam 9.8 meter bersaiz 21×24 meter.
Situasi seperti ini menuntut perhatian khusus daripada pihak berkuasa, pemilik premis, pemaju serta masyarakat dalam usaha membendung kejadian seumpama ini daripada berulang. Justeru, pengurusan risiko bersepadu perlu diberi keutamaan sebagai langkah pencegahan yang berkesan.
Pengurusan risiko bersepadu mampu menggabungkan pelbagai elemen secara sistematik seperti penilaian risiko, pengenalpastian bahaya, analisis risiko, kawalan risiko, pemantauan dan semakan semula, serta komunikasi risiko secara menyeluruh. Ia bukan sekadar mengesan risiko secara reaktif, tetapi mengatur strategi secara proaktif dalam mencegah insiden daripada berlaku. Dalam konteks ini, pendekatan ini harus melibatkan semua pihak yang berkaitan termasuk pengeluar, pengedar, pemilik premis, penyelenggara dan pengguna akhir. Pengurusan risiko yang berkesan memerlukan integrasi semua elemen ini secara teratur dan sistematik.
Salah satu elemen utama dalam pengurusan risiko ialah pengenalpastian bahaya. Langkah ini mampu mengenal pasti semua potensi risiko dan bahaya yang berkaitan dengan penggunaan, penyaluran dan penyimpanan gas. Risiko boleh datang dalam bentuk fizikal seperti kebocoran silinder gas, pemasangan paip tidak mengikut piawaian, atau penggunaan peralatan yang rosak. Selain itu, bahaya juga boleh datang dari aspek organisasi seperti kurang latihan keselamatan kepada pekerja atau kekurangan prosedur kecemasan.
Setelah bahaya dikenal pasti, langkah seterusnya adalah analisis risiko. Proses ini melibatkan penilaian terhadap kemungkinan sesuatu insiden berlaku dan impaknya terhadap manusia, harta benda dan persekitaran. Melalui analisis risiko, organisasi dapat memfokuskan sumber kepada risiko yang paling kritikal. Contohnya, jika silinder gas diletakkan berhampiran dengan sumber haba, maka langkah segera perlu diambil bagi mengurangkan risiko letupan. Antara faktor lain adalah kerja-kerja pengorekan atau kimpalan yang melibatkan paip gas lama yang sudah terkakis.
Kemudian, penilaian dan kawalan risiko perlu dilakukan dalam usaha mengekang kebocoran gas. Langkah ini merangkumi pelaksanaan langkah-langkah pencegahan seperti penggunaan peralatan yang mematuhi piawaian keselamatan, pemasangan sistem pengesan kebocoran automatik, dan pengasingan kawasan penyimpanan gas dari kawasan umum. Kawalan kejuruteraan, seperti pemasangan ventilasi yang mencukupi, penggunaan injap keselamatan automatik dan pemutus bekalan automatik apabila berlaku kebocoran adalah antara contoh terbaik tindakan kawalan risiko. Elemen ini membantu mengurangkan potensi impak sekiranya berlaku kebocoran gas.
Selain itu, pemantauan dan semakan semula perlu dilakukan secara berterusan. Syarikat atau pemilik premis perlu memastikan bahawa semua sistem keselamatan berfungsi dengan baik. Audit keselamatan berkala, pemeriksaan sistem, dan semakan prosedur operasi standard (SOP) perlu dilaksanakan secara berkala agar setiap kelemahan dapat dikenalpasti lebih awal. Sistem pengurusan keselamatan yang dinamik juga perlu dikaji semula dari semasa ke semasa, selaras dengan perubahan teknologi, persekitaran kerja atau undang-undang baharu yang dikuatkuasakan.
Komponen penting yang sering diabaikan ialah komunikasi risiko. Elemen ini melibatkan penyampaian maklumat berkaitan risiko kepada semua pihak berkepentingan, termasuk pekerja, pelanggan, kontraktor, komuniti setempat dan pihak berkuasa. Melalui komunikasi yang jelas dan berkesan, semua pihak akan lebih bersedia menghadapi risiko dan mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan. Selain itu, komunikasi risiko juga termasuk amaran awal, pemberitahuan sistem pengesanan automatik, dan prosedur pemindahan sekiranya berlaku kebocoran besar.
Pematuhan kepada peraturan dan piawaian keselamatan industri adalah juga aspek penting dalam pengurusan risiko. Setiap syarikat yang menggunakan gas untuk tujuan komersial atau perindustrian perlu mematuhi undang-undang dan garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Tenaga, Jabatan Bomba dan Penyelamat. Pemeriksaan keselamatan secara berkala, pelesenan penggunaan gas, serta kelulusan kejuruteraan perlu dijadikan syarat wajib bagi operasi berkenaan. Pematuhan ini bukan sahaja melindungi pengguna dan pekerja, malah menjamin reputasi perniagaan dalam jangka masa panjang.
Pendidikan dan latihan berkala kepada pekerja serta penghuni premis adalah juga komponen penting dalam pengurusan risiko. Banyak kejadian letupan gas berpunca daripada kecuaian manusia seperti penggunaan peralatan yang tidak sesuai, pemasangan tidak mengikut spesifikasi, atau kegagalan mengambil tindakan segera apabila terhidu bau gas. Oleh itu, program latihan yang menjelaskan prosedur keselamatan, langkah pencegahan dan tindakan kecemasan apabila berlaku kebocoran gas perlu dijalankan secara berkala. Latihan simulasi juga boleh meningkatkan tahap kesiapsiagaan pekerja dalam menghadapi situasi sebenar.
Pendekatan pengurusan risiko bersepadu juga perlu melibatkan penggunaan sistem pemantauan dan pengurusan automatik yang berasaskan teknologi digital. Dengan kemajuan teknologi semasa, penggunaan sistem pemantauan gas pintar yang boleh memberikan amaran awal kepada pengguna atau pihak berkuasa perlu diperluaskan. Teknologi Internet of Things (IoT) misalnya, membolehkan pengawasan tahap tekanan gas, kebocoran kecil dan suhu secara masa nyata. Sistem ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada pengawasan manual, malah membolehkan tindakan pantas diambil sekiranya terdapat sebarang petunjuk bahaya.
Kerjasama antara pihak industri dan kerajaan dalam menyusun pelan mitigasi risiko juga memainkan peranan penting. Pihak berkuasa tempatan boleh mewujudkan mekanisme pelaporan risiko yang mudah dan responsif kepada aduan berkaitan kebocoran gas. Selain itu, penubuhan pasukan khas antara agensi seperti bomba, polis, pihak berkuasa tempatan dan pakar teknikal boleh mempercepatkan tindak balas apabila berlaku insiden kecemasan. Langkah ini penting untuk mengelakkan kehilangan nyawa dan harta benda dalam skala besar.
Budaya keselamatan juga perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat dan industri. Kesedaran masyarakat tentang bahaya kebocoran gas serta kepentingan melaporkan sebarang tanda-tanda awal kebocoran perlu dipertingkatkan melalui kempen kesedaran secara berterusan. Pihak media juga boleh memainkan peranan dengan melaporkan isu-isu berkaitan keselamatan gas dengan lebih bertanggungjawab dan mendidik. Sikap sambil lewa terhadap bau gas atau kebocoran kecil mesti diubah agar menjadi satu keutamaan tindakan segera.
Kesimpulannya, kejadian kebocoran gas yang mengakibatkan letupan di Putra Heights adalah peringatan jelas bahawa langkah keselamatan konvensional sahaja tidak mencukupi. Pendekatan pengurusan risiko bersepadu perlu menjadi teras utama dalam merangka strategi keselamatan gas sama ada di peringkat rumah, premis komersial atau industri. Ia memerlukan komitmen kolektif daripada kerajaan, industri, pekerja dan Masyarakat untuk membina satu sistem keselamatan yang mampan dan proaktif. Dengan pengurusan risiko yang tersusun, sistem pemantauan moden, dan kesedaran yang tinggi, kejadian kebocoran gas boleh dielakkan sekali gus melindungi nyawa, harta benda dan kelangsungan ekonomi negara.
Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 16), 8 April 2025: Elak kebocoran gas berulang
2. Utusan (utusan.com.my), 8 April 2025: Elak kebocoran gas berulang