KUALA LUMPUR – Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Putri Zalia Mohammad Kamal Ariffin yang mewakili kumpulan Akar Seni Malaysia berjaya meraih tempat ketiga ketika menyertai Festival Tari Malaysia 2025 yang berlangsung pada 19 dan 20 April bertempat di Malaysia Tourism Centre (MaTiC).

Pelajar tahun akhir dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik itu berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM8 ribu bersama trofi dan sijil.

Festival berprestij peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu menyaksikan  lapan kumpulan penggiat seni tari terbaik dari seluruh negara berentap mempertaruhkan nasib masing-masing.

Putri Zalia seorang penari yang aktif di Bahagian Kebudayaan PSKU dan Majlis Tertinggi Kelab Warisan 2024.

Beliau sebelum ini banyak mewakili UTHM ke pertandingan peringkat institut pengajian tinggi, Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dan kebangsaan antaranya seperti Festival Tari Rakyat Johor, Festival Tari Kebangsaan UKM dan Festival Kesenian Zapin.