Dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi yang semakin pesat, integrasi nilai Islam dalam bidang kejuruteraan merupakan satu keperluan mendesak. Pendekatan ini memastikan pembangunan yang mampan, beretika dan sejajar dengan kehendak syarak. Sains dan teknologi kejuruteraan tidak seharusnya terhad kepada pencapaian inovasi serta kecemerlangan teknikal semata-mata, tetapi harus berpaksikan kepada konsep tauhid. Melalui pendekatan ini, kita dapat melahirkan golongan profesional yang berintegriti dan bebas daripada amalan tidak bermoral seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran etika profesional.

Konsep tauhid dalam sains dan teknologi kejuruteraan

Tauhid dalam konteks kejuruteraan bermaksud meletakkan nilai ketuhanan sebagai asas dalam setiap aspek pembangunan teknologi. Setiap ciptaan, inovasi dan pembangunan infrastruktur perlu berpandukan prinsip Islam yang menekankan keadilan, kesejahteraan dan keseimbangan alam. Nilai-nilai ini menjamin bahawa kemajuan teknologi bukan sahaja bersifat lestari tetapi juga memberi manfaat kepada seluruh masyarakat tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Sebagai institusi yang menyokong pendekatan ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memainkan peranan penting dalam membangunkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi teknikal tetapi juga mempunyai kefahaman mendalam tentang nilai-nilai murni. Falsafah pendidikan yang diterapkan mencerminkan usaha untuk melahirkan jurutera yang bukan sahaja berkemahiran tetapi juga bertanggungjawab terhadap masyarakat serta alam sekitar selaras dengan misi UTHM iaitu menyediakan penyelesaian teknikal untuk keperluan industri dan komuniti berasaskan paradigma tauhid.

Cabaran profesional kejuruteraan dalam menjunjung integriti

Walaupun ramai jurutera telah berjaya dalam kerjaya masing-masing, masih terdapat segelintir yang terjebak dalam perlakuan yang bertentangan dengan nilai murni dan etika profesional. Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2022, sebanyak 909 tangkapan berkaitan rasuah direkodkan, dengan lebih daripada 40% melibatkan penjawat awam, manakala golongan pengurusan dan profesional menyumbang sekitar 20%. Fenomena ini menunjukkan bahawa tanpa asas integriti yang kukuh, kepakaran teknikal semata-mata tidak mencukupi untuk memastikan pembangunan yang beretika.

Pelbagai kes seperti manipulasi tender projek dan penyalahgunaan kuasa dalam sektor pembinaan terus mencemarkan nama baik institusi dan negara. Situasi ini mengukuhkan lagi keperluan pendidikan yang berteraskan nilai Islam, agar jurutera tidak hanya bergantung pada kemahiran teknikal tetapi juga menjunjung integriti dan amanah dalam setiap tindakan mereka.

Penyelesaian melalui pendidikan berteraskan tauhid

UTHM telah mengambil inisiatif mengintegrasikan elemen tauhid dalam kurikulum akademik, khususnya dalam bidang kejuruteraan. Pendekatan ini dirangka untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berkebolehan tinggi tetapi juga beretika dan bertanggungjawab terhadap masyarakat. Pengenalan kursus yang memupuk nilai integriti dan tanggungjawab sosial di samping penguasaan teknikal yang kompeten menjadi langkah penting dalam memastikan pendidikan yang dihasilkan mampu memenuhi kehendak industri dan komuniti. Di dalam program sarjana muda kejuruteraan sebagai contoh, terdapat beberapa kursus disusun sepanjang pengajian bagi memperlengkapkan pelajar dengan kebolehan berikut:

  1. Menggunakan penaakulan yang dimaklumkan oleh pengetahuan kontekstual untuk menilai isu-isu berkaitan kemasyarakatan, kesihatan, keselamatan, perundangan dan budaya. Pelajar diajar untuk memahami tanggungjawab yang berkaitan dengan amalan kejuruteraan profesional, termasuk menyelesaikan masalah kejuruteraan yang kompleks berdasarkan pemahaman ini.
  2. Memahami kesan penyelesaian kejuruteraan profesional dalam konteks masyarakat dan alam sekitar. Pengetahuan ini membantu pelajar menghargai keperluan pembangunan mampan dan memastikan pendekatan mereka dalam menangani isu-isu kejuruteraan memberi manfaat kepada generasi kini serta akan datang.
  3. Menggunakan prinsip etika dan menunjukkan komitmen terhadap etika profesional serta norma amalan kejuruteraan. Nilai-nilai ini diterapkan agar setiap pelajar menyedari tanggungjawab mereka untuk menjunjung integriti dan keadilan dalam setiap tindakan profesional.

UTHM turut memperkenalkan pendekatan GRITT (Global, Resilience, Innovative, Trustworthy, Talent) bagi membentuk sahsiah mahasiswa. Elemen-elemen GRITT bertujuan mendidik pelajar untuk berfikir secara global, mempunyai ketahanan mental dan emosi, serta berinovasi dalam menyelesaikan masalah sebenar. Dengan modul ini, mahasiswa dilatih agar menjunjung nilai amanah dalam kehidupan seharian serta memanfaatkan kebolehan semula jadi mereka untuk kebaikan dan kemajuan bersama.

Peranan Jurutera sebagai pemimpin masyarakat

Selain memupuk nilai kejuruteraan berteraskan tauhid, jurutera juga perlu memahami impak pembangunan teknologi terhadap masyarakat dan alam sekitar. Mereka mempunyai tanggungjawab sosial dalam memastikan setiap projek yang dilaksanakan adalah mesra alam dan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti. Pendekatan ini tidak hanya memberi penekanan pada keberkesanan teknikal, tetapi turut mengutamakan kelestarian serta keseimbangan alam sekitar.

Jurusan kejuruteraan moden menuntut profesional yang bukan sahaja mahir tetapi juga sedar akan impak sosial dan etika dalam setiap tindakan mereka. Dengan ini, jurutera dapat menjadi pemimpin yang beretika dan memainkan peranan penting dalam menjamin kemajuan teknologi yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara menyeluruh.

Untuk memastikan kejuruteraan terus berkembang dengan nilai tauhid, kerjasama erat antara universiti, industri dan badan pengawalseliaan perlu diperkukuh. Prinsip seperti kejujuran, amanah, dan keadilan perlu ditanam dalam jiwa setiap jurutera bagi memastikan pembangunan teknologi yang maju dan membawa keberkatan.

Kesimpulannya pembinaan tamadun kejuruteraan yang berasaskan tauhid adalah kunci kepada kejayaan sebenar. Dengan mendukung nilai Islam dalam bidang sains dan teknologi serta membangunkan pendekatan holistik dalam pendidikan, kita dapat melahirkan profesional kejuruteraan yang kompeten dan bertanggungjawab. Usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan teknologi yang lestari tetapi juga kepada kesejahteraan ummah serta kelestarian alam sejagat.

 

 

 

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Saifulnizan Jamian

Ketua Jabatan

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad

Pensyarah Kanan

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)