Kenaikan tarif import yang diumumkan oleh Amerika Syarikat sebelum ini memberi tamparan hebat kepada negara-negara pengeksport di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Dengan mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import dan kadar duti yang lebih tinggi terhadap puluhan negara lain, Amerika telah meningkatkan tekanan dalam suasana perdagangan global yang tidak menentu.

Tindakan ini tidak hanya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri, malah turut mengelirukan sekutu-sekutu ekonomi AS sendiri. Dalam menghadapi cabaran ini, Malaysia perlu bijak dan tidak memilih jalan konfrontasi, sebaliknya mengorak langkah secara strategik bagi memastikan kestabilan ekonomi serta kelangsungan hubungan dagangan yang saling menguntungkan.

Langkah unilateral oleh AS ini boleh dianggap sebagai cubaan membina tembok ekonomi baharu, sekali gus merombak semula prinsip liberalisasi perdagangan yang selama ini menjadi teras kepada susunan ekonomi global. Sebagai ekonomi terbuka yang sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa, Malaysia terdedah kepada sebarang ketidaktentuan dasar perdagangan kuasa besar dunia.

Namun begitu, pendekatan Malaysia perlu bertindak dengan menggunakan saluran diplomatik, serta merancang tindakan bersifat jangka panjang yang menjurus kepada peningkatan daya saing negara.

Malaysia tidak boleh melihat kenaikan tarif ini sebagai alasan untuk mengambil tindak balas yang boleh memburukkan lagi keadaan. Sebaliknya, Malaysia perlu memperkukuh kekuatan dalaman melalui reformasi struktur ekonomi dan pengukuhan dasar perindustrian negara.

Kesan langsung kenaikan tarif Amerika

Kenaikan tarif akan menjadi produk Malaysia lebih mahal apabila sampai ke pasaran Amerika. Ini mengurangkan daya tarikan produk Malaysia di mata pengguna dan pengimport di AS, sekali gus menyebabkan permintaan menurun. Antara sektor yang akan terkesan termasuk sektor elektronik, peralatan perindustrian, produk getah dan sawit, serta tekstil dan pakaian.

Produk-produk ini merupakan antara penyumbang utama kepada eksport Malaysia ke AS. Menurut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, AS merupakan antara lima rakan dagang utama Malaysia, justeru sebarang gangguan dalam hubungan perdagangan akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara.

Tambahan pula, syarikat-syarikat kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung kepada pasaran eksport turut terjejas kerana mereka mempunyai margin keuntungan yang lebih kecil dan kurang berdaya tahan untuk menampung kos tambahan. Ini boleh menyebabkan mereka kehilangan pelanggan tetap, terpaksa mengurangkan operasi, atau dalam kes yang lebih teruk, gulung tikar.

Menyedari potensi kesan jangka pendek dan jangka panjang terhadap eksport Malaysia, kerajaan telah menggerakkan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC). NGCC perlu membangunkan strategi komprehensif bagi mengurangkan impak langsung kenaikan tarif, sekali gus memastikan daya saing Malaysia kekal kukuh dalam persekitaran perdagangan yang mencabar.

Perluasan pasaran dan diversifikasi

Sebagai langkah strategik, Malaysia perlu memperluaskan pasaran eksportnya ke negara-negara lain yang lebih stabil dari segi dasar perdagangan. Tumpuan boleh diberikan kepada pasaran ASEAN, Timur Tengah, Afrika dan negara-negara yang tergolong dalam RCEP serta CPTPP. Inisiatif ini akan membantu Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS dan menyebarkan risiko perdagangan.

Diversifikasi juga perlu merangkumi produk dan sektor. Malaysia harus menggalakkan pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti teknologi hijau, bioteknologi dan digital ekonomi, yang mana permintaan global terus meningkat. Penglibatan dalam industri 4.0 bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan, tetapi juga membolehkan syarikat tempatan menawarkan produk yang lebih inovatif dan bernilai tinggi.

Pemerkasaan industri tempatan

Untuk meningkatkan daya saing jangka panjang, kerajaan perlu memperkukuh ekosistem inovasi dalam negara. Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) harus ditingkatkan, terutama sekali dalam sektor-sektor strategik.

Malaysia kini hanya membelanjakan sekitar 1% daripada KDNK untuk R&D, jauh lebih rendah berbanding negara-negara maju seperti Korea Selatan dan Jepun. Sasaran untuk meningkatkan perbelanjaan R&D kepada sekurang-kurangnya 2% daripada KDNK harus diberi keutamaan.

Selain itu, pelaksanaan dasar yang menyokong automasi dan pendigitalan dalam kalangan PKS akan memberi impak besar. PKS perlu dibimbing untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja murah dan menumpukan kepada peningkatan produktiviti melalui teknologi seperti AI, IoT, dan data raya. Program seperti Geran Transformasi Digital PKS perlu diperluas agar lebih banyak syarikat dapat menggunakan teknologi terkini.

Reformasi dasar dan insentif fiskal

Kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk menyemak semula dasar fiskal dan peraturan perdagangan agar lebih mesra pelabur dan pengilang. Misalnya, mempercepatkan proses kelulusan untuk insentif pelaburan, mengurangkan birokrasi dan mempertingkatkan ketelusan dalam urusan perdagangan.

Kerajaan juga perlu mempercepat pelaksanaan dasar perindustrian utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Kedua-dua pelan ini merupakan kerangka utama untuk meningkatkan daya tahan industri tempatan, memperkukuh rantaian bekalan, serta merangsang inovasi teknologi dan kelestarian dalam sektor pembuatan.

Peranan agensi seperti MIDA, MATRADE dan SME Corp perlu diperkasakan agar dapat memberikan sokongan yang lebih berkesan kepada pemain industri.

Pemberian insentif cukai kepada syarikat yang melabur dalam teknologi baharu atau yang berjaya menembusi pasaran baharu juga harus dipertimbangkan. Dengan mengurangkan beban kewangan mereka, syarikat tempatan dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa walaupun menghadapi tekanan daripada tarif yang meningkat.

Pendidikan, latihan dan modal insan

Dalam usaha meningkatkan daya saing, aspek pembangunan modal insan tidak boleh diketepikan. Malaysia perlu melahirkan tenaga kerja yang mahir dan mampu menyesuaikan diri dengan keperluan industri moden. Program TVET harus diselaraskan dengan kehendak industri agar graduan yang dihasilkan benar-benar bersedia untuk menyumbang kepada produktiviti syarikat.

Latihan semula dan peningkatan kemahiran juga penting, terutamanya bagi pekerja dalam sektor-sektor yang sedang mengalami perubahan teknologi pantas. Kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan sektor swasta perlu diperkukuhkan untuk memastikan program latihan yang ditawarkan adalah relevan dan berimpak tinggi.

Diplomasi ekonomi

Dalam jangka panjang, Malaysia juga perlu memainkan peranan lebih aktif dalam diplomasi ekonomi antarabangsa. Melalui penglibatan yang strategik dalam forum-forum seperti WTO, APEC, dan ASEAN, Malaysia boleh memperjuangkan kepentingannya dan menyuarakan pandangan terhadap dasar perdagangan yang berat sebelah.

Selain itu, Malaysia perlu mengaktifkan Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) dalam memastikan hubungan ekonomi terus berkembang walaupun di tengah-tengah ketegangan tarif.

Dalam hal ini, diplomasi dua hala dengan AS juga perlu digerakkan untuk membuka ruang rundingan semula mengenai tarif, terutamanya bagi produk yang strategik kepada kedua-dua negara.

Di samping itu, Malaysia boleh memanfaatkan kedudukannya sebagai negara neutral yang mesra perdagangan bebas untuk menarik pelabur asing yang ingin mengurangkan pendedahan mereka kepada risiko geopolitik. Ini boleh dilakukan dengan menawarkan Malaysia sebagai hab pengeluaran alternatif yang berdaya saing dan stabil.

Kesimpulannya, pendekatan strategik Malaysia dalam menghadapi cabaran tarif AS menunjukkan kematangan dasar serta keupayaan negara untuk menyesuaikan diri dengan perubahan global. Malaysia tidak boleh bertindak balas secara konfrontatif, sebaliknya memperkukuh kekuatan sendiri, memperluaskan kerjasama serantau dan antarabangsa, serta merangka dasar jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Malaysia perlu merangka strategi jangka panjang yang lebih mampan untuk meningkatkan daya saing negara. Dengan gabungan dasar yang inklusif, pelaburan yang bijak, dan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta, Malaysia bukan sahaja mampu menangani tekanan tarif dari AS, malah boleh melonjak menjadi ekonomi yang lebih berdaya saing dalam lanskap perdagangan global yang semakin mencabar.

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 11), 7 April 2025: Perlu pendekatan strategik tangani kenaikan tarif AS

 

2. Utusan (utusan.com.my), 7 April 2025: Perlu pendekatan strategik tangani kenaikan tarif AS

Perlu pendekatan strategik tangani kenaikan tarif AS