Menjelang Syawal, bukan sahaja jalan raya yang sesak tetapi juga ‘litar ekonomi’ yang semakin sibuk dengan langkah anak muda. Dalam kalangan Generasi Z, hari raya bukan lagi sekadar masa untuk bercuti atau bergaya. Ia kini menjadi peluang emas untuk mencuba, menjual dan mencipta jejak keusahawanan sendiri, walaupun hanya bermula dari bilik asrama, kampung halaman atau telefon bimbit.
‘Beraya dengan berani’ bermaksud mereka tidak takut untuk bermula kecil. Musim Raya bukan alasan untuk berehat panjang, sebaliknya menjadi detik strategik untuk mereka mencuba produk baharu, memanfaatkan media sosial untuk promosi dan menjana pendapatan tambahan. Bagi Gen Z, mereka tidak tunggu peluang, malah mereka mencipta peluang.
Bermula dari pelajar universiti yang menjual kerepek dan biskut raya dari bilik kolej, hinggalah pereka grafik yang menerima tempahan kad ucapan digital, semua ini menunjukkan bahawa jiwa keusahawanan kini semakin kuat dalam kalangan belia. Menurut Statistik Belia Malaysia oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), keterlibatan belia dalam ekonomi digital semakin meningkat, membuktikan minat yang tinggi terhadap bentuk pekerjaan dan perniagaan yang lebih fleksibel.
Salah satu contoh berani beraya dengan niaga ialah Mohd Hairul Zainal, alumni UTHM yang memulakan langkah dengan menjual lemang hasil air tangan ibunya. Bermula secara kecil-kecilan, kini beliau mengurus jenama Lemang King dan pada masa sama mengembangkan perniagaan percetakan di bawah syarikat Ziegers Printing. Kejayaan Hairul bukan sahaja mengubah hidupnya, bahkan memberi inspirasi kepada ramai anak muda B40 untuk berani membina masa depan dengan tangan sendiri.
Keusahawanan Gen Z bukan sekadar musim, tetapi misi. Mereka tidak hanya menunggu tawaran kerja, sebaliknya mereka belajar bina jenama sejak dari kolej, menjual melalui media sosial dan menimba ilmu secara digital. Mereka lebih bebas, lebih cekap memanfaatkan teknologi dan lebih berani mengambil risiko walaupun belum ‘sempurna bersedia.’
Hakikatnya, dalam era yang penuh ketidaktentuan ini, keusahawanan menjadi jalan yang memberi mereka kuasa memilih masa, arah hidup dan pendapatan. Apalagi bagi ramai, permulaan kecil ketika musim Raya menjadi platform kepada sesuatu yang jauh lebih besar.
Namun bukan semua mudah. Tekanan masa, tiada pendapatan tetap dan kekurangan bimbingan antara cabaran besar yang perlu dilalui. Lebih-lebih lagi bila semua orang sedang bercuti dan mereka pula sibuk memenuhi tempahan. Tapi keberanian mereka membuktikan bahawa semangat berniaga ini bukan lagi soal pilihan, tetapi keperluan untuk masa depan.
Oleh itu, peranan institusi pendidikan, agensi sokongan dan masyarakat sangat penting. Dengan latihan praktikal, pendedahan kepada literasi kewangan dan sokongan strategik, tentunya semangat ‘beraya dengan berani’ ini boleh menjadi batu loncatan kepada kejayaan sebenar. Bagi Gen Z, raya bukan sekadar meriah dengan baju baharu tetapi medan sebenar untuk mencabar diri, mencipta nilai dan membuka langkah pertama dalam dunia keusahawanan. Bila raya jadi litar anak muda berniaga, kita bukan sekadar menyambut kemenangan malah kita menyaksikan permulaan kepada generasi pembina masa depan.

Dr. Umi Kartini Rashid,
Pensyarah Kanan/Ketua Jabatan Pemajuan Penyelidikan dan Pembangunan
Johor Business School
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat: 13), 9 April 2025: Gen Z jadikan hari raya bina masa depan melalui perniagaan

