
Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu perayaan yang paling dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Di Malaysia, perayaan ini bukan sahaja menjadi simbol kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga menjadi platform penting untuk menyatukan perpaduan antara kaum dan masyarakat berbilang bangsa.
Hari raya disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Tradisi seperti bermaaf-maafan dan ziarah-menziarahi memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan antara keluarga dan masyarakat. Amalan ini mengingatkan kita tentang pentingnya memaafkan dan melupakan perselisihan, serta memperbaharui ikatan persaudaraan.
Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi. Hari Raya disambut oleh pelbagai kaum, termasuk Melayu, Cina dan India. Setiap kaum mempunyai cara tersendiri untuk meraikan perayaan ini, namun semangat kebersamaan dan toleransi tetap menjadi fokus utama. Ini menunjukkan bagaimana hari raya menjadi platform untuk memahami dan menghormati antara satu sama lain. Bukan cuma pada Hari Raya Aidilfitri, namun, masyarakat saling menghargai dan menyambut semua perayaan dengan penuh kemeriahan tanpa mengira latar belakang setiap bangsa.
Salah satu aspek yang paling menarik tentang hari raya adalah dengan mengadakan rumah terbuka. Aktiviti ini membolehkan masyarakat dari pelbagai latar belakang berkumpul untuk meraikan bersama. Rumah terbuka bukan sahaja menawarkan pelbagai hidangan lazat, tetapi juga menjadi ruang untuk membina hubungan yang lebih erat dan mengurangkan jurang antara kaum. Kita dapat lihat dengan jelas usaha mengadakan rumah terbuka bukan sahaja dalam kalangan individu namun kini, usaha tersebut semakin meluas pada peringkat kebangsaan, negeri, daerah, sehingga peringkat komuniti sendiri. Usaha baik ini sudah pasti menjadi salah satu platform menguatkan lagi perpaduan sesama kita rakyat Malaysia.
Bukan itu sahaja, antara yang ditunggu-tunggu adalah usaha pihak media menyiarkan serta mempromosikan perpaduan semasa hari raya melalui pelbagai iklan yang kreatif dan menarik. Iklan, program televisyen dan liputan berita sering menekankan nilai-nilai kebersamaan dan toleransi. Ini secara tidak langsung turut membantu menyebarkan mesej positif dan menggalakkan masyarakat untuk meraikan perbezaan dengan cara yang harmoni. Masyarakat turut dapat mengenali dan mendekati sesuatu budaya melalui drama – drama hari raya, iklan-iklan hari raya yang disiarkan.
Kisah-kisah peribadi turut memberikan sentuhan emosi sesama kita pada musim perayaan ini. Sebagai contoh, seorang rakan penulis, berkongsi bagaimana hari raya telah membantu beliau membina hubungan yang lebih baik dengan jiran-jiran bukan Islam. Melalui rumah terbuka dan aktiviti komuniti, beliau merasakan bahawa perpaduan antara kaum semakin kukuh. Aktiviti gotong-royong semasa hari raya dalam taman-taman perumahan dan kawasan kejiranan turut galak diadakan. Aktiviti menghias kampung dengan lampu-lampu yang berwarna warni juga tidak kurang hebatnya. Aktiviti-aktiviti seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara jiran-jiran, tetapi juga memberikan peluang untuk bekerjasama dan saling membantu tanpa mengira latar belakang kaum dan masyarakat.
Seorang lagi rakan yang beragama Buddha, sering dijemput ke rumah terbuka Aidilfitri oleh rakan-rakannya. Beliau merasakan bahawa pengalaman ini memberinya peluang untuk memahami budaya dan tradisi Melayu dengan lebih mendalam. Beliau juga berkongsi bahawa melalui perayaan ini, beliau dapat membina persahabatan yang lebih erat dengan rakan-rakan kaum Melayu khususnya. Seterusnya menzahirkan perasaan gembira apabila diberi peluang merasa makanan masyarakat Melayu yang ada antaranya beliau baharu pertama kali mencubanya. Lebih teruja lagi apabila beliau bersemangat mengenakan busana Melayu ketika hadir ke rumah terbuka tersebut.
Walaupun Hari Raya Aidilfitri membawa banyak kegembiraan, terdapat juga cabaran dalam usaha menyatukan perpaduan. Isu-isu seperti prasangka dan ketidakfahaman masih wujud. Namun, dengan semangat hari raya, kita boleh terus berusaha untuk memperkukuh hubungan sesama masyarakat. Harapan kita adalah untuk melihat Malaysia yang lebih harmoni dan bersatu padu.
Nurulisyazila Othaman
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)