
Apa khabar graduan? Saban tahun negara mencatatkan peningkatan angka graduan tamat pengajian dari pelbagai institusi di negara kita. Umumnya, graduan akan dianugerahkan pelbagai tahap pengajian secara rasmi pada penghujung tahun. Tahap-tahap pengajian sama ada sijil, diploma, diploma lanjutan, ijazah pertama, sarjana atau doktor falsafah. Tahap-tahap ini melayakkan graduan untuk bekerja mengikut bidang masing-masing. Hal ini membuktikan setiap graduan mempunyai bidang kepakaran masing-masing.
Walau bagaimanapun, kini situasinya berbeza dengan mempertimbangkan perubahan keadaan dunia semasa, kemajuan dunia teknologi terkini dan ekosistem kerjaya yang dinamik memerlukan graduan bersedia. Kesediaan graduan dalam menerokai alam kerjaya semestinya berbeza. Graduan yang berkebolehan, berkeupayaan dan berkemampuan mempunyai kelebihan berbanding yang lain. Majikan akan memilih pekerja yang mempunyai kemahiran (teknikal atau lain-lain) dan kemahiran insaniah yang baik. Hal ini memberi persepsi terhadap ‘bakat’ yang ada pada graduan.
Perkataan ‘bakat’ agak mudah difahami. Bakat pada individu mungkin anugerah atau perlu digilap. Ilmu pengetahuan yang diperoleh oleh graduan sepanjang pengajian adalah sama, yang berbeza adalah kefahaman yang diterjemahkan dalam bentuk keputusan. Sekiranya, hari ini dan masa ini graduan belum direzekikan mempunyai kerjaya, usah termenung lama, ayuh gilap karakter.
Bentuk matlamat dan bina hala tuju. Matlamat penting dalam memastikan graduan fokus tentang perancangan kehidupan selepas menamatkan pengajian. Sama ada telah memulakan kerjaya atau sedang mencari kerja, graduan perlu meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan dengan menambah pengetahuan dan kemahiran berdasarkan bidang. Peluang-peluang kursus jangka pendek, jangka panjang atau kompetensi sentiasa terbuka dan ditawarkan oleh pelbagai pihak. Peningkatan ilmu pengetahuan penting dalam era dunia semasa, dengan pelbagai teknologi terkini, dunia tanpa sempadan. Nilai-nilai ini sekali gus dapat membantu graduan untuk kekal relevan dalam medan dunia semasa.
Peluang-peluang yang ada dalam mempertingkatkan potensi diri perlu digilap dan diterokai oleh graduan. Bahkan peluang sebagai penyelaras sukan peringkat kampung sedikit sebanyak dapat mengilap bakat kepimpinan graduan. Malahan itu dapat membimbing graduan untuk bekerja dalam pasukan secara efektif dan dinamik. Elemen-elemen ini membentuk ciri-ciri graduan yang berkeupayaan dalam mengadaptasi keadaan sekeliling. Kreatif dan inovatif dapat membentuk graduan berfikir secara lebih kritis. Ciri-ciri ini dapat membantu graduan dalam membuat keputusan melalui penyelesaian dalam permasalahan. Cabaran ini dapat memberi nilai tambah dalam kematangan graduan berfikir dan membuat keputusan.
Jangan hanya berharap. Graduan perlu bina kolaborasi dan kerjasama. Elemen ini dapat membantu graduan menyerlahkan bakat dan nilai yang ada pada graduan. Elemen ini tidak hanya tertumpu pada kepakaran graduan tetapi merangkumi keperluan-keperluan lain. Kolaborasi dan kerjasama yang dibuat memungkinkan graduan membina ‘start-up’ perniagaan. Rangkaian-rangkaian ini membolehkan graduan untuk menceburi bidang keusahawanan. Disamping sebagai pemilik syarikat, graduan juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain.
Graduan perlu bijak berkomunikasi sama ada secara lisan atau bertulis. Komunikasi penting dalam penyampaian sesuatu makna. Komunikasi membantu untuk menyampaikan sesuatu maklumat dengan jelas dan tepat. Keupayaan berkomunikasi dengan baik memperlihatkan keupayaan graduan mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan cekap.
Kecanggihan teknologi kini membantu graduan untuk mempertingkatkan kemahiran diri. Penggunaan teknologi juga dapat membantu graduan mendapatkan pekerjaan. Dengan pelbagai laman web kerja yang menyediakan platform untuk graduan melengkapkan maklumat ringkas diri, pendidikan, pengalaman dan seumpamanya. Hal ini dapat membantu graduan menyerlahkan kelebihan diri dan seterusnya menjadi pilihan majikan kerja.
Kesukarelawanan juga mampu membangunkan keperibadian unggul graduan. Melalui kesukarelawanan graduan dapat memupuk ciri-ciri seperti bertimbang rasa, bersemangat, menghormati dan bekerjasama. Nilai-nilai yang dipupuk ini dapat menyumbang kepada karakter graduan secara umumnya dan melengkapkan kemahiran insaniah yang diperlukan bagi seseorang graduan.
Graduan adalah modal insan negara. Pelbagai inisiatif yang dibuat dalam memastikan negara ini diwarisi dalam keadaan terbaik untuk generasi-generasi akan datang. Jati diri dan sikap bertanggungjawab perlu ada dalam diri graduan. Graduan hari ini perlu bina karakter, karakter yang membezakan nilai yang ada pada graduan, sama ada menjadi pilihan atau sebaliknya.
Profesor Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak bin Tajul Arifin
Ketua Jabatan,
Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal,
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
—
Koordinator,
Rekabentuk Kejuruteraan Bersepadu,
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal,
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)