Oleh Hamizah Mohd Safuan

PAGOH – Melalui pelbagai inisiatif akademik dan penyelidikan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bukan sahaja berperanan dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada mahasiswa, tetapi juga dalam memperluas akses kepada pengetahuan dan inovasi teknologi untuk manfaat masyarakat setempat.

Sebagai sebuah institusi yang komited terhadap pembangunan ilmu, FAST UTHM aktif menganjurkan pelbagai seminar, bengkel, kursus dan latihan bertujuan untuk menyebarluaskan pengetahuan saintifik dan teknologi, seterusnya memperkasakan masyarakat dengan kemahiran dan maklumat terkini khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Antaranya adalah memberikan sumbangan dalam inovasi pendidikan dengan memperkenalkan kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) Matematik Tambahan secara digital menggunakan teknologi terkini melalui penganjuran siri Bengkel Upskill Digital Matematik Tambahan.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan kefahaman murid terhadap konsep Matematik Tambahan melalui bahan interaktif yang menarik dan mudah diakses.

Menggunakan platform digital GeoGebra dan realiti terimbuh/augmented reality (AR), kaedah itu membolehkan murid meneroka konsep abstrak Matematik Tambahan dengan lebih jelas melalui visualisasi dinamik dan simulasi interaktif.

Menurut ketua projek ini, Prof. Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan, pendekatan digital bukan sahaja membantu meningkatkan minat murid dalam subjek Matematik Tambahan, malah turut mempersiapkan mereka dengan kemahiran teknologi yang selari dengan keperluan dunia digital semasa.

 “Kami percaya bahawa teknologi boleh memainkan peranan penting dalam meningkatkan pemahaman murid terhadap konsep Matematik yang kompleks.

“Melalui kaedah digital ini, kami berharap dapat menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih kreatif, interaktif dan inovatif,”  kata Dr. Hamizah.

Penganjuran bengkel bersiri itu melibatkan beberapa sekolah antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penghulu Saat, Batu Pahat yang juga merupakan sekolah angkat UTHM, Sekolah Rintis Bangsa Johor iaitu SMK Tasek Utara, Johor Bahru dan kumpulan guru Matematik Tambahan dari seluruh daerah Batu Pahat.

Projek ini dijangka diteruskan lagi di banyak dearah dan negeri seluruh Malaysia agar lebih ramai guru dan murid STEM A, khususnya, mengadaptasi kaedah PdP yang lebih moden dan berkesan.

Dengan sokongan teknologi, pembelajaran Matematik Tambahan kini lebih fleksibel, interaktif dan mudah diakses di mana-mana sahaja.