Ramai yang tidak sedar bahawa harta yang dimiliki oleh si mati boleh menjadi tidak dituntut jika waris tidak mengambil tindakan segera. Fenomena ini berlaku apabila pemilik harta meninggal dunia tanpa ada pihak yang menuntut atau menguruskan harta tersebut dalam tempoh tertentu. Harta yang tidak dituntut ini atau harta peninggalan si mati boleh merangkumi wang simpanan, akaun bank, polisi insurans, barang kemas, hartanah dan pelbagai aset lain yang bernilai.

Sehingga kini kira-kira RM65 bilion asset hartanah dan wang tunai milik individu sudah meninggal dunia masih gagal diserahkan kepada waris. Ini membabitkan wang tunai RM500 juta di bawah selian Amanah Raya Berhad, hartanah bernilai kira-kira RM60 bilion di bawah selian Pejabat Tanah dan Galian, dan kira – kira  RM4.5 bilion wang tidak dituntut di dalam simpanan Jabatan Akauntan Negara.

Amanah Raya Berhad, Pejabat Tanah dan Galian, serta Jabatan Akauntan Negara Malaysia memainkan peranan penting dalam menguruskan harta orang yang telah meninggal dunia. Amanah Raya Berhad bertanggungjawab untuk mengurus harta pusaka dan melaksanakan wasiat si mati, manakala Pejabat Tanah dan Galian menguruskan pemindahan hak milik tanah dan hartanah kepada waris yang sah. Jabatan Akauntan Negara pula mengendalikan harta yang tidak dituntut, seperti wang simpanan atau aset lain yang tidak diambil oleh waris dalam tempoh tertentu, dan memastikan ia dipulangkan kepada pihak yang berhak. Ketiga-tiga agensi ini bekerjasama untuk memastikan pengurusan harta pusaka dijalankan dengan teratur dan mengikut undang-undang. Mahkamah Tinggi juga memainkan peranan penting dalam pengurusan harta pusaka supaya setiap urusan dapat dijalankan dengan baik dan telus.

Namun, perkara ini masih ramai yang tidak cakna. Sebagai contoh, harta tidak dituntut boleh berlaku kepada waris yang tidak menyedari hak mereka terhadap akaun bank atau polisi insurans yang telah ditinggalkan oleh si mati. Tanpa pengetahuan atau tindakan lanjut, harta ini boleh hilang begitu sahaja.

 

Proses dalam menuntut harta si mati mengikut prosedur undang-undang

Proses pertama dalam pembahagian harta pusaka ialah mengenalpasti harta yang ditinggalkan si mati sama ada harta pusaka kecil atau harta pusaka biasa. Harta Pusaka biasa ialah harta alih dan harta tak alih yang bernilai RM2,000,000.00 ke atas kesemuanya; harta tak alih (tanah) yang bernilai lebih daripada RM2,000,000.00 dan harta alih sahaja seperti wang, syer, kenderaan walaupun nilai kesemuanya kurang daripada RM2,000,000.00. Manakala Harta Pusaka Kecil ialah Harta peninggalan si mati tanpa wasiat yang bernilai RM 2,000,000.00 ke bawah yang terdiri daripada tanah sahaja; tanah dengan rumah;tanah, rumah dan harta alih seperti barang kemas, syer, caruman KWSP, simpanan wang, kenderaan bermotor, perabot, pakaian dan tanah atau apa-apa jumlah tuntutan di bawah seksyen 7 dan 8 Akta UndangUndang Sivil 1956 [Akta 67]

Proses yang kedua ialah waris boleh membuat pemohonan probet atau surat kuasa mentadbir di Mahkamah Tinggi Sivil untuk menguruskan harta pusaka Probet ialah tindakan untuk memperakukan dan mengesahkan sesuatu wasiat yang ditinggalkan oleh si mati. Manakala Surat Kuasa Mentadbir boleh dipohon jika si mati tidak meninggalkan apa-apa wasiat.

Sebelum proses pemohonan dibuat, waris perlu pastikan setiap dokumen perlu disediakan. Antaranya ialah i) Bukti kematian seperti sijil kematian (death certificate) atau permit untuk mengebumikan mayat; ii) Jika kematian tidak dapat dibuktikan dengan cara biasa, suatu permohonan untuk perintah anggapan kematian (presumption of death) hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi terlebih dahulu; iii) Surat wasiat terakhir si mati (dalam hal permohonan probet); iv) Jadual yang mengandungi butir-butir serta nilai aset dan tanggungan dan senarai waris si mati; v) Sijil Faraid yang diperoleh daripada Mahkamah Syariah (dalam hal orang Islam); vi) Senarai waris, umur, tali persaudaraan dengan si mati dan alamat masing-masing bagi tujuan mendapat persetujuan untuk melantik pentadbir yang dicadangkan;

 

Pentingnya tindakan awal

Sering kali, waris tidak menyedari bahawa mereka berhak menuntut harta si mati. Oleh itu, mereka perlu peka terhadap sebarang aset yang mungkin dimiliki oleh si mati, terutama yang tidak diuruskan selepas kematian. Bagi mereka yang tidak mengambil tindakan segera, harta tersebut boleh diserahkan kepada kerajaan selepas tempoh yang ditetapkan. Walaupun begitu, tidak semua jenis harta akan diserahkan kepada kerajaan; terdapat beberapa jenis aset yang masih boleh dituntut oleh waris walaupun selepas tempoh tersebut jika ada bukti yang kukuh.

Sebagai kesimpulan, penting bagi setiap waris untuk cakna dan bertindak segera dalam menuntut harta yang ditinggalkan oleh si mati. Selain melindungi hak mereka, ia juga dapat memastikan bahawa harta yang berharga tidak hilang begitu sahaja.

 

 

Dr. Nur Yuhanis Ismon

Pensyarah Kanan

Jabatan Pengurusan Harta Tanah

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)