Dalam dunia globalisasi yang semakin mencabar, negara-negara di dalam ASEAN kini berdepan dengan tekanan ekonomi yang kian meningkat, terutamanya apabila Amerika memperkenalkan semula dasar tarif yang lebih agresif terhadap produk import. Tindakan Amerika yang mengenakan tarif tinggi atas alasan melindungi industri tempatan, menangani ketidakseimbangan dagangan, serta menjaga keselamatan negara telah memberi kesan besar kepada rantai bekalan global dan keseimbangan perdagangan antarabangsa.
ASEAN, sebagai sebuah blok ekonomi dan mempunyai potensi besar dalam perdagangan global, perlu bersatu dan mengambil langkah proaktif dalam menghadapi tekanan tarif Amerika agar tidak terus menjadi mangsa dalam percaturan ekonomi kuasa besar dunia. Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN perlu memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju rantau ini. Dengan nilai perdagangan intra-ASEAN mencecah USD 800 bilion, ASEAN perlu diperkasa dengan integrasi ekonomi, keselamatan serantau dan inovasi demi kemampanan dan daya saing rantau ini.
ASEAN merupakan blok ekonomi dinamik yang merangkumi 10 negara dengan merupakan ekonomi kelima terbesar dunia. Kekuatan ASEAN terletak pada kepelbagaian sumber asli, pasaran buruh dan lokasi strategik di tengah-tengah laluan perdagangan global. Rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas dan kerjasama seperti RCEP memperkukuh lagi daya saing rantau ini. ASEAN juga menjadi destinasi utama pelaburan asing langsung, mencecah USD 224 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan potensi ekonominya.
Pertama, kesatuan dalam kalangan negara ASEAN amat penting dalam memperkukuh rundingan dua hala dan pelbagai hala dengan Amerika. Sekiranya negara-negara ASEAN bertindak secara individu, kekuatan rundingan mereka menjadi terhad. Namun, sebagai sebuah entiti yang mewakili lebih 660 juta penduduk dan ekonomi gabungan bernilai lebih USD 3 trilion, ASEAN mempunyai kuasa rundingan yang jauh lebih besar jika bersatu suara. Rundingan kolektif boleh memberi tekanan diplomatik dan ekonomi yang lebih kuat, sekali gus mendesak Amerika supaya menimbang semula pendekatan tarif mereka yang dilihat tidak adil dan berat sebelah terhadap negara membangun.
Tambahan pula, negara-negara ASEAN memiliki tahap keterbukaan ekonomi yang tinggi, dengan banyak daripadanya bergantung kepada eksport sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, sebarang sekatan perdagangan atau kenaikan tarif boleh memberi kesan langsung kepada peluang pekerjaan, pendapatan negara dan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan. Sebagai contoh, Malaysia, Vietnam dan Thailand merupakan antara pengeksport utama produk elektronik, tekstil dan barangan perkilangan ke Amerika. Sekiranya tarif dikenakan terhadap produk-produk ini, ia akan menjejaskan daya saing syarikat tempatan dan mengancam kelangsungan sektor perindustrian yang menyumbang besar kepada KDNK.
Kesatuan ASEAN juga penting dalam membentuk dasar serantau yang selaras dan mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran Amerika. Usaha ke arah pengukuhan pasaran dalaman ASEAN seperti mempercepatkan pelaksanaan RCEP dan memperluas hubungan perdagangan dengan negara-negara bukan tradisional seperti India, Kesatuan Eropah dan negara-negara Timur Tengah adalah langkah yang bijak dalam mengimbangi risiko pergantungan tunggal kepada pasaran Amerika. Dalam jangka panjang, ASEAN perlu memperluaskan peranannya sebagai hab perdagangan serantau yang berdaya tahan dan berdaya saing melalui integrasi ekonomi yang lebih kukuh.
Dalam konteks ini, pelaksanaan strategi diversifikasi pasaran eksport adalah amat penting. Negara-negara ASEAN harus memperkukuh rantaian bekalan serantau dan membina kerjasama yang lebih erat dalam sektor-sektor utama seperti teknologi digital, tenaga bersih, pertanian pintar dan pembuatan berasaskan industri 4.0. Misalnya, kerjasama dalam pembangunan pusat logistik serantau, penyelarasan dasar eksport dan insentif pelaburan antara negara-negara ASEAN dapat membantu meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos transaksi dalam perdagangan rentas sempadan.
Selain itu, ASEAN juga perlu memperkukuh daya tahan ekonomi melalui pelaburan dalam modal insan, penyelidikan dan pembangunan serta pembaharuan struktur ekonomi. Dalam menghadapi perang tarif global, negara-negara yang mempunyai kapasiti teknologi tinggi dan keupayaan inovasi yang mantap akan lebih mudah menyesuaikan diri dan bersaing dalam pasaran antarabangsa. Maka, pelaburan dalam TVET, peningkatan kemahiran digital, serta sokongan terhadap PKS dalam menerapkan automasi dan digitalisasi adalah langkah strategik yang mesti diperkasakan secara kolektif.
Dari sudut diplomasi ekonomi, ASEAN perlu memainkan peranan aktif dalam pelbagai forum antarabangsa seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), APEC dan Sidang Kemuncak ASEAN-AS. Melalui platform ini, ASEAN boleh membawa isu tarif ini ke perhatian masyarakat antarabangsa dan membina sokongan daripada negara-negara lain yang turut terjejas oleh dasar Amerika. Diplomasi kolektif ini bukan sahaja meningkatkan legitimasi tuntutan ASEAN, malah menunjukkan bahawa rantau ini bersatu dalam memperjuangkan perdagangan yang adil dan terbuka.
Perlu diingat bahawa dasar tarif Amerika bukan semata-mata tindakan ekonomi, tetapi juga alat geopolitik dalam persaingan dengan kuasa lain seperti China. Oleh itu, ASEAN tidak boleh membiarkan dirinya terlibat dalam konflik kuasa besar ini. Pendekatan berkecuali yang bijak, bersama-sama dengan strategi memperkukuh ekonomi dalaman dan membina rangkaian perdagangan alternatif, adalah penting agar ASEAN tidak terperangkap dalam dilema memilih antara dua kuasa.
Lebih penting lagi, penyatuan ASEAN dalam menghadapi cabaran tarif ini harus disokong oleh struktur institusi serantau yang lebih kukuh. Sekretariat ASEAN perlu diberi kuasa yang lebih besar untuk menyelaras dasar perdagangan dan ekonomi serantau. Mekanisme pemantauan dan penyelesaian pertikaian dalam kalangan negara anggota juga perlu diperkasa agar dasar bersama dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan cepat.
Di samping itu, sektor swasta juga perlu dilibatkan secara aktif dalam membentuk strategi menghadapi tarif ini. Melalui kerjasama antara kerajaan dan industri, ASEAN boleh mengenal pasti sektor-sektor terjejas, membangunkan strategi mitigasi risiko, dan memperkenalkan insentif baharu untuk pelaburan dan pengeluaran di negara-negara anggota. Penubuhan Majlis Ekonomi ASEAN-Swasta yang lebih aktif dan responsif terhadap isu semasa boleh menjadi pemangkin kepada dasar yang lebih mesra pelabur dan mesra eksport.
Peranan media dan masyarakat juga tidak boleh diketepikan. Kesedaran awam mengenai impak dasar tarif ini kepada ekonomi dan pekerjaan harus dipertingkatkan melalui kempen maklumat dan pendidikan pengguna. Ini penting agar wujud sokongan akar umbi terhadap langkah-langkah kolektif ASEAN yang diambil oleh kerajaan masing-masing. Dalam suasana global yang semakin tidak menentu, kerjasama menyeluruh antara semua pihak adalah kunci kepada ketahanan dan kemakmuran jangka panjang rantau ini.
Pendekatan unilateral dalam menghadapi tarif Amerika bukan lagi pilihan yang berkesan untuk negara-negara ASEAN. Blok ini perlu bangkit sebagai kuasa serantau yang bersatu, bijak dan strategik dalam melindungi kepentingan ekonominya. Dengan mengambil pendekatan serantau yang berpaksikan solidariti, diplomasi ekonomi yang mantap, pemodenan struktur perdagangan dan pelaburan dalam inovasi serta teknologi, ASEAN bukan sahaja mampu menghadapi tekanan tarif Amerika, malah dapat muncul sebagai model ekonomi serantau yang mapan dan tahan krisis.
Masa depan rantau ini bergantung kepada sejauh mana ASEAN mampu memanfaatkan kekuatannya sebagai satu kesatuan ekonomi dan cabaran tarif Amerika merupakan ujian besar terhadap kerjasama setiap anggota dalam kesatuan ini.
Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
