Rucking merupakan salah satu aktiviti kecergasan yang melibatkan aktiviti berjalan atau mendaki dengan membawa beg galas yang berisi muatan. Aktiviti ini berasal daripada latihan ketenteraan, yang mana pasukan tentera perlu menggalas bebanan sekitar 13 hingga 36 kilogram dalam satu perjalanan yang panjang. Istilah ‘rucking’ ini diambil dari kata ‘rucksack’ yang berasal dari bahasa Jerman yang bermaksud beg galas. Kini, aktiviti rucking ini semakin popular kerana ia boleh dilakukan di mana-mana dengan keperluan peralatan yang minima namun memberikan impak yang besar kepada individu.

Sebelum memulakan aktiviti rucking ini, beberapa perkara boleh dibuat seperti berikut:

  • Pilih beg galas yang sesuai – Pastikan beg galas yang digunakan mempunyai sokongan yang baik. Dimulakan dengan membawa bebanan yang ringan dan peningkatan secara beransur-maju bagi meningkatkan bebanan atau muatan.
  • Teknik yang betul – Pastikan postur badan anda betul iaitu berdiri tegak dengan bahu ke belakang dan elakkan daripada membongkok.
  • Kasut yang sesuai – Memakai kasut yang sesuai untuk berjalan jarak jauh dan memberikan sokongan dan keselesaan pada kaki.
  • Pilih laluan yang sesuai – Mula dengan laluan yang rata dan secara beransur-ansur cabar diri anda dengan laluan yang lebih sukar.
  • Konsistensi – Mula dengan berjalan 2 hingga 3 kali seminggu dan tambah kekerapan apabila anda mula selesa dengan aktiviti ini.

Manfaat aktiviti rucking ini secara jelasnya dapat meningkatkan kecergasan kardiovaskular menerusi peningkatan kekuatan dan ketahanan jantung individu. Ini kerana berjalan merupakan kaedah yang terbaik untuk meningkatkan kesihatan kardiovaskular. Kajian yang diterbitkan pada 9 Ogos 2023 dalam European Journal of Preventive Cardiology mendapati bahawa berjalan sebanyak 3,967 langkah setiap hari boleh mengurangkan risiko kematian awal. Kajian ini melibatkan data dari sekitar 227,000 peserta dari 17 kajian di seluruh dunia. Manakala, kajian lain yang diterbitkan pada tahun 2022 menyatakan kesan berjalan di hutan meningkatkan kesihatan fizikal dan mental warga tua. Dengan impak yang rendah, aktiviti ini adalah sesuai untuk dilakukan di pelbagai lapisan berdasarkan kepada keupayaan individu selain membakar lebih banyak kalori berbanding berjalan biasa dan boleh membantu dalam penurunan berat badan.

Secara keseluruhan, rucking adalah aktiviti yang menawarkan pelbagai manfaat kesihatan fizikal dan mental. Dengan persiapan yang betul dan teknik yang sesuai, sesiapa sahaja boleh menikmati manfaat rucking tanpa mengira tahap kecergasan. Tawarkan aktiviti yang sesuai pada tahap kemampuan diri sendiri. Terus aktif!

 

Farhawahidah Ahmad Puad

Bahagian Pembangunan Perniagaan (BizDev)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)