Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YAPEIM) telah menyumbang sebanyak RM30 ribu kepada 300 pelajar iaitu 100 pelajar sekolah kebangsaan, 100 pelajar sekolah menengah dan 100 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

Sumbangan tersebut diserahkan semasa berlangsungnya Program Ramadan Madani YAPEIM peringkat UTHM anjuran bersama Pusat Islam pada 21 Mac 2025 lalu bertempat di Masjid Sultan Ibrahim, kampus induk.

Program itu dilaksanakan bertujuan mengagihkan sumbangan dan bantuan kepada pelajar Muslim yang memerlukan, sekali gus memberi keceriaan kepada mereka yang bakal menyambut Aidilfitri nanti.

Selain itu, program tersebut turut dimeriahkan dengan acara berbuka puasa beramai-ramai bagi mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama insan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq turut hadir menyempurnakan program tersebut selaku wakil rasmi Naib Canselor.

Hadir sama, Pengurus Eksekutif/ Seksyen Pemasaran Divisyen Sumber Dana, YAPEIM, Saiful Nizam Ahmad; Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Perancangan dan Pengurusan), Pejabat Pendidikan Negeri Johor, Ali @ Zainal Abidin Syed Mohamed dan Pengarah Pusat Islam UTHM, Haji Shafry Salim.

Turut berlangsung, tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shahrir Abdul Mutalib, Penolong Pendaftar Pusat Islam.

Program yang dihadiri lebih 400 tetamu itu turut dijayakan dengan kerjasama Sukarelawan Geng Dapo (MSI) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UTHM.