Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Walaupun berdiri sebagai salah satu institut pengajian tinggi awam negara, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tetap menyahut cadangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang inginkan penglibatan sektor swasta terutama syarikat-syarikat gergasi menyertai program ‘sekolah angkat,’ sekali gus membantu kerajaan yang telah membelanjakan berbilion ringgit untuk menaik taraf fasiliti sekolah.

Bezanya di UTHM, cadangan itu direalisasikan melalui projek pengubahsuaian dan menaik taraf infrastruktur fizikal di fakulti-fakulti melalui penajaan daripada rakan-rakan industri.

Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata projek yang mula dilaksanakan pada tahun 2024 itu bertujuan mengukuhkan hubungan kerjasama antara universiti-industri, di samping membantu menampung kos perbelanjaan yang melibatkan pengubahsuaian dan penyelenggaraan infrastruktur di UTHM.

“UTHM sebelum ini telah melaksanakan beberapa projek pengubahsuaian ruangan, bilik kuliah dan makmal bagi memberi suasana PdP yang lebih selesa dan kondusif kepada pelajar.

“Antaranya projek pengubahsuaian bilik kuliah ‘FKEE Zone Powered by Yasayan UTHM’ di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; Bilik Aspirasi Industri, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar serta Bilik Pintar Glide, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan,” katanya.

Sementara itu, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) pula terus memperkukuhkan kerjasamanya dengan industri melalui penerimaan dua geran industri daripada Syarikat Visual Tech Sdn. Bhd. dan Seikou Systec Sdn. Bhd.

Geran daripada Visual Tech telah digunakan bagi pembangunan Makmal Pengajian Teknologi, yang kini dikenali sebagai Festo Industry Lab.

Makmal itu dilengkapi dengan peralatan automasi moden termasuk Modular Production System (MPS) dari FESTO, Siemens PLC, Ciros Simulation Software, serta sistem pneumatik canggih seperti Basic Pneumatics (TP101), Basic Electro Pneumatics (TP201), Advance Electro Pneumatics (TP202), Fluidsim Software dan Digitalization in Pneumatics (TP260).

Projek pembangunan makmal yang diketuai oleh Mohd Faiz Md Adam itu telah siap sepenuhnya pada tahun 2024.

Sementara itu, hasil temeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara UTHM dan Seikou Systec, syarikat tersebut telah menyalurkan geran industri untuk membangunkan KNX Training Center di UTHM.

Projek itu sedang dilaksanakan bermula pada tahun 2024 sehingga 2026, termasuklah proses penyediaan lakaran dan mendapatkan kelulusan universiti.

Rentetan daripada kerjasama itu, Pengarah Urusan Seikou Systec, Ts. Pang Wah Siew telah dilantik sebagai Penasihat Industri bagi program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Elektrik & Elektronik) serta Ijazah Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik di FPTV.

Kerjasama strategik seumpama itu membuktikan komitmen UTHM dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta selari dengan keperluan industri, sekali gus memperkasakan pelajar dengan kemahiran terkini dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.