Oleh Profesor Madya Sr. Dr. Azlina Md Yassin
BATU PAHAT – Seramai 50 peserta terdiri daripada lima penghulu dan 45 Ketua Kampung sekitar daerah Batu Pahat telah menyertai program pemerkasaan ilmu “Pengurusan dan Pentadbiran Tanah Kampung” yang telah diadakan pada 26 Februari 2025 lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Program anjuran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), dengan kerjasama Centre of Project, Property and Facilities Management Services (PROFMs) serta Industry Community Relations Centre (ICRC), UTHM yang berlangsung selama satu hari itu turut dihadiri 10 pegawai dari Pejabat Tanah dan Galian, Batu Pahat yang diketuai oleh Pentadbir Tanah Daerah, Haji Nur Faiz Jamil.
Penganjuran program itu telah diinspirasikan oleh program Kampung/Mukim Angkat UTHM berasaskan Quadruple Helix Engagement Model bagi memastikan kelestarian hubungan antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti, yang akhirnya dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Program yang bertujuan untuk memberi pendedahan yang komprehensif kepada masyarakat berkaitan pengurusan dan pentadbiran tanah kampung itu turut disertai oleh penyelidik utama dari Centre of Project, Property and Facilities Management Services (PROFMs) yang diketuai oleh Prof. Sr. Dr. Rozilah Kasim.
Program itu telah membuka platform baharu kepada pihak PROFMs untuk membentuk satu lagi peluang kerjasama bersama pihak Pejabat Tanah dan Galian Batu Pahat.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi Dan perniagaan (FPTP), Prof Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri hadir menyempurnakan majlis perasmian yang diadakan pada hari yang sama.
Pengarah Program, Profesor Madya Sr. Dr. Azlina Md Yassin berkata, program pemerkasaan ilmu ‘Pengurusan dan Pentadbiran Tanah Kampung’ adalah inisiatif awal bagi memberi nilai tambah kepada komuniti melalui perkongsian ilmu, agar manfaatnya tidak hanya dinikmati oleh warga UTHM, malah juga kepada masyarakat setempat.
“Dengan pengetahuan dan kemahiran yang telah diberikan, diharapkan para peserta yang terlibat dapat mengadaptasi praktis sebenar pengurusan dan pentadbiran tanah kampung serta mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi dan memperkukuhkan lagi ekonomi masyarakat pada masa akan datang,” katanya.

