Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran program ‘Bridging Innovation and Learning in TVET’ (BILT) bagi tahun 2025 oleh UNESCO International Centre for Technical and Vocational Education and Training (UNESCO-UNEVOC).

Menurut Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim program BILT2025 bakal dilaksanakan di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur pada 28 hingga 30 Mei 2025 akan datang bersempena penganjuran program Digital TVET Transformation Summit 2025 (DOTS25).

“Dijangka lebih 25 peserta UNEVOC Network Member dari enam benua iaitu Eropah, Amerika Latin dan Caribbean, Amerika Utara, Afrika, Asia Pasifik dan Negara-negara Arab akan menyertai program di Malaysia pada kali ini,” katanya.

Penganjuran BILT saban tahun bertujuan membantu institusi TVET menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, alam sekitar dan sosial.

Dilancarkan pada Julai 2019, program itu menjadi platform untuk perkongsian idea dan amalan terbaik dalam TVET, khususnya di Eropah, Afrika dan rantau Asia-Pasifik.

BILT memberi tumpuan kepada menambah baik kemahiran dan kelayakan dalam TVET melalui empat bidang utama iaitu Pendigitalan bagi memastikan TVET selari dengan dunia digital; Keusahawanan bagi membantu pelajar membina minda dan kemahiran berniaga; Kelestarian (Greening) bagi menggalakkan amalan mesra alam dalam pembelajaran serta Migrasi bagi menyediakan pendidikan dan latihan untuk golongan migran.

Melalui bengkel, persidangan dan sesi perkongsian, BILT menghubungkan institusi TVET di seluruh dunia supaya mereka berpeluang bertemu dan berkongsi ilmu antara satu sama lain.

Program itu juga mengkaji trend terkini untuk memastikan TVET kekal relevan dan memenuhi keperluan pasaran kerja.