Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan bagi umat Islam di seluruh dunia. Ibadah puasa yang menjadi rukun Islam ke-3 bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi turut membentuk sahsiah dan peribadi seseorang Muslim sebagaimana firman Allah SWT, “Hai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Al-Baqarah:183). Bagi mahasiswa MADANI, puasa di bulan Ramadan memberikan peluang untuk membentuk akhlak yang terpuji, meningkatkan ketahanan diri, serta mengukuhkan nilai-nilai murni yang seiring dengan prinsip Malaysia MADANI, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Dalam konteks mahasiswa, amalan berpuasa bukan sahaja dapat membentuk disiplin diri, tetapi juga melahirkan insan yang lebih bertanggungjawab, prihatin terhadap masyarakat dan memiliki daya tahan mental yang tinggi dalam menghadapi cabaran akademik serta kehidupan seharian. Berpuasa di bulan Ramadan sangat berkait rapat dengan pembangunan sahsiah mahasiswa MADANI.
Puasa membentuk disiplin dan ketahanan diri
Salah satu hikmah utama berpuasa ialah pembentukan disiplin diri dalam kehidupan seorang Muslim. Mahasiswa MADANI yang berpuasa perlu mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, termasuk menjaga pertuturan dan tingkah laku. Puasa juga mengajar mahasiswa untuk mengurus waktu dengan lebih baik, seperti bangun awal untuk bersahur, menunaikan solat pada waktunya, serta menyusun jadual pembelajaran dan aktiviti seharian dengan lebih teratur. Ketahanan diri juga diuji apabila seseorang itu perlu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Dalam konteks mahasiswa, berpuasa mengajarkan mereka untuk lebih bersabar, tabah dalam menghadapi kesukaran, dan tidak mudah mengalah ketika menghadapi cabaran akademik atau kehidupan kampus. Sifat ini sangat penting dalam melahirkan individu yang cekal dan mampu berdikari, sejajar dengan prinsip daya cipta dalam konsep MADANI.
Meningkatkan kesedaran sosial dan keprihatinan
Puasa juga menanamkan rasa empati dan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Mahasiswa MADANI yang berpuasa akan merasai sendiri keperitan hidup mereka yang kurang mampu, seperti golongan fakir miskin dan mereka yang menghadapi kesukaran mendapatkan makanan seharian. Faktor ini mendorong mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelawan seperti program pemberian makanan kepada golongan memerlukan, derma makanan berbuka atau membantu masyarakat yang kurang berkemampuan. Melalui aktiviti-aktiviti ini, mahasiswa dapat membentuk sikap ihsan dan hormat terhadap sesama manusia, selaras dengan nilai-nilai yang ditekankan dalam konsep MADANI.
Membina sifat jujur dan integriti
Sahsiah yang baik dalam diri mahasiswa MADANI juga berkait rapat dengan nilai kejujuran dan integriti. Puasa mengajar seseorang untuk tidak makan atau minum walaupun tiada orang yang melihatnya. Mahasiswa mampu membentuk kejujuran dalam diri kerana puasa adalah ibadah yang bergantung kepada hubungan individu dengan Allah SWT. Dalam kehidupan mahasiswa, nilai integriti sangat penting, terutama dalam aspek akademik seperti mengelakkan plagiarisme, menulis dan menjalankan tugasan kursus dengan jujur serta tidak meniru semasa peperiksaan. Jika seseorang mahasiswa mampu mengekalkan kejujuran dalam berpuasa, mereka juga dapat menerapkan nilai yang sama dalam kehidupan akademik dan kerjaya mereka pada masa hadapan.
Meningkatkan penguasaan emosi dan kesabaran
Puasa mengajar mahasiswa untuk mengawal emosi mereka, mengelakkan pergaduhan serta menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata kesat atau melakukan perbuatan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti perbuatan buli. Dalam kehidupan kampus, mahasiswa sering berhadapan dengan tekanan akademik, konflik dengan rakan sekuliah, atau bebanan tugas yang banyak. Dengan latihan kesabaran yang diperoleh melalui berpuasa di bulan Ramadan, mahasiswa dapat belajar bagaimana untuk menangani tekanan dengan lebih bijak, mengawal emosi dengan baik, serta membina hubungan yang lebih harmonis dengan rakan-rakan dan pensyarah. Sikap sabar dan tenang ini juga membantu mereka menjadi pemimpin yang lebih matang dan berwibawa, sejajar dengan aspirasi membentuk generasi mahasiswa yang berdaya saing dan berkarakter MADANI.
Memperkukuh hubungan dengan Allah SWT dan pembentukan rohani
Selain membentuk akhlak dan keperibadian yang baik, puasa juga menjadi medium untuk meningkatkan hubungan mahasiswa dengan Allah SWT. Ramadan adalah bulan yang mana umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, dan berdoa. Mahasiswa MADANI yang menjadikan Ramadan sebagai platform untuk memperkukuhkan aspek rohani mereka akan lebih cenderung kepada gaya hidup yang lebih bermakna dan terarah. Mereka akan lebih menghargai nilai keberkatan dan sentiasa mencari ilmu yang bermanfaat bukan sahaja untuk kejayaan dunia, tetapi juga untuk kebahagiaan akhirat. Selain itu, mahasiswa yang dekat dengan Allah SWT cenderung untuk lebih bertanggungjawab dalam setiap aspek kehidupan, baik dari segi akademik, pekerjaan, mahupun pergaulan sosial. Inilah yang melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga menjadi contoh kepada masyarakat dalam menyebarkan nilai-nilai murni MADANI.
Puasa meningkatkan kesedaran terhadap gaya hidup sihat
Puasa bukan sahaja memberikan manfaat dari sudut rohani dan sahsiah, tetapi juga dari segi kesihatan. Mahasiswa yang berpuasa akan belajar tentang kepentingan menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Dengan berpuasa, mereka dapat mengawal pengambilan makanan yang berlebihan, mengurangkan ketagihan terhadap makanan ringan atau minuman berkafein, serta mengelakkan tabiat makan secara tidak terkawal. Kawalan terhadap pemakanan ini sejajar dengan nilai kemampanan yang terdapat dalam konsep MADANI, iaitu membentuk gaya hidup yang seimbang dan tidak berlebihan. Mahasiswa yang mengamalkan pemakanan sihat dan gaya hidup aktif akan lebih bertenaga dan cergas dalam menjalani kehidupan seharian, sekali gus meningkatkan produktiviti mereka dalam bidang akademik dan sosial.
Justeru itu, berpuasa di bulan Ramadan bukan sekadar satu kewajipan agama, tetapi juga merupakan satu proses pembentukan sahsiah yang menyeluruh bagi mahasiswa MADANI. Melalui ibadah ini, mahasiswa dapat membentuk disiplin diri, meningkatkan empati terhadap golongan yang kurang bernasib baik, mengasah nilai kejujuran dan integriti, serta memperkukuhkan hubungan mereka dengan Allah SWT. Di samping itu, puasa juga mengajar mereka untuk lebih bersabar, mengawal emosi dan mengamalkan gaya hidup sihat yang seimbang. Kesemua nilai ini amat penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki keperibadian yang tinggi serta mampu memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan negara. Sebagai generasi yang bakal menerajui masa depan negara, mahasiswa MADANI harus melihat puasa bukan sekadar ritual ibadah, tetapi sebagai satu latihan untuk menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, berakhlak mulia dan bersedia untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks. Dengan menerapkan nilai-nilai Ramadan dalam kehidupan seharian, mereka dapat menjadi generasi yang lebih berkualiti dan mampu membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik.

Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Dr. Anim Zalina Azizan
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
